Petikan dari Kitab Taurat: 1 Samuel 16:1-23.

Daud Dilantik Menjadi Raja

1Kemudian TUHAN berfirman kepada Samuel, “Berapa lama lagi engkau bersedih hati kerana Saul? Aku sudah menolak dia sebagai raja Israel. Sekarang, bawalah minyak zaitun dan pergilah ke Betlehem, kepada seorang yang bernama Isai, kerana Aku sudah memilih seorang daripada anaknya untuk menjadi raja.”

2Samuel bertanya, “Bagaimana mungkin aku berbuat demikian? Jika Raja Saul mendengar hal ini, tentu baginda akan membunuh aku!”

TUHAN menjawab, “Bawalah seekor anak lembu dan katakanlah bahawa engkau ke sana untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. 3Jemputlah Isai ke upacara mempersembahkan korban itu. Aku akan memberitahu engkau apa yang harus engkau lakukan. Orang yang Aku tunjukkan kepadamu harus engkau lantik menjadi raja.”

4Samuel melakukan apa yang difirmankan TUHAN kepadanya. Dia pergi ke Betlehem dan para pemimpin kota itu datang menyambutnya dengan gementar ketakutan. Mereka bertanya, “Adakah lawatan tuan membawa kesejahteraan?”

5“Ya,” jawab Samuel. “Saya datang untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. Sucikanlah diri kamu dan ikutlah saya.” Dia juga menyuruh Isai dan anak-anaknya menyucikan diri, dan menjemput mereka ke upacara mempersembahkan korban itu.

6Apabila mereka sudah berkumpul, Samuel nampak Eliab, anak Isai. Dia berfikir, “Orang yang berdiri di hadapan TUHAN ini tentulah orang yang dipilih-Nya.” 7Tetapi TUHAN berfirman kepada Samuel, “Jangan perhatikan tinggi badannya atau kacak rupanya; bukan dia yang Aku kehendaki. Aku tidak menilai orang seperti cara manusia menilai orang. Manusia melihat rupa tetapi Aku melihat hati.”

8Selepas itu Isai memanggil anaknya Abinadab, lalu menyuruh dia menghadap Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Dia juga tidak dipilih oleh TUHAN.” 9Kemudian Isai menyuruh Syama menghadap. Samuel berkata, “Dia juga tidak dipilih oleh TUHAN.” 10Demikianlah Isai menyuruh tujuh orang anaknya menghadap Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Tidak seorang pun antara mereka yang dipilih oleh TUHAN.” 11Kemudian Samuel bertanya kepada Isai, “Hanya inikah anak lelakimu?”

Isai menjawab, “Masih ada seorang lagi, yang bongsu, tetapi dia sedang menggembalakan domba.”

Samuel berkata, “Suruhlah orang memanggil dia, kerana kita tidak akan makan bersama-sama sebelum dia datang.” 12Oleh itu Isai menyuruh orang memanggil anak bongsunya. Ternyata dia seorang pemuda yang kacak, sihat, dan matanya bersinar. TUHAN berfirman kepada Samuel, “Inilah orangnya. Lantiklah dia!” 13Samuel mengambil minyak zaitun, lalu melantik Daud dengan melumuri kepala Daud dengan minyak di hadapan semua abang Daud. Ketika itu juga Roh TUHAN menguasai Daud dan menyertai dia sejak hari itu. Kemudian Samuel pulang ke Rama.

Daud di Istana Raja Saul

14Roh TUHAN meninggalkan Raja Saul, dan baginda diseksa oleh roh jahat yang disuruh oleh TUHAN. 15Maka hamba-hamba Raja Saul berkata kepadanya, “Hamba sekalian tahu bahawa roh jahat yang disuruh oleh TUHAN menyeksa tuanku. 16Jika tuanku setuju, hamba semua bersedia mencari seorang yang pandai bermain kecapi. Apabila tuanku diseksa oleh roh jahat, orang itu dapat memainkan kecapinya dan tuanku akan berasa tenang lagi.”

17Oleh itu Raja Saul memberikan perintah, “Carilah seorang yang pandai bermain muzik, dan bawalah dia ke mari.”

18Mendengar hal itu salah seorang hamba raja berkata, “Isai, orang Betlehem itu mempunyai seorang anak lelaki yang pandai bermain muzik. Dia juga seorang yang berani dan askar yang baik. Lagipun dia kacak dan pandai bercakap. TUHAN menyertai dia.”

19Kemudian Raja Saul mengutus orang kepada Isai dengan pesan, “Suruhlah anakmu Daud, yang menggembalakan domba itu datang menghadap beta.” 20Kemudian Isai menyediakan seekor keldai, lalu memuatinya dengan roti dan kirbat kulit yang penuh dengan wain; dia menyediakan juga seekor anak kambing. Semuanya itu diberikannya kepada Daud untuk dipersembahkan kepada Raja Saul. 21Demikianlah Daud datang kepada Raja Saul dan berkhidmat kepada baginda. Raja Saul sangat suka kepada Daud, lalu memilih dia menjadi pembawa senjatanya. 22Kemudian Raja Saul mengirim berita kepada Isai, “Beta suka kepada Daud. Benarkanlah dia tetap tinggal di sini dan berkhidmat kepada beta.” 23Sejak itu, setiap kali Raja Saul dirasuki roh jahat, Daud memainkan kecapinya. Kemudian roh jahat itu meninggalkan Raja Saul, lalu Raja Saul pun menjadi tenang dan baik semula.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini