Petikan dari Kitab Injil: Lukas 22:1-23.
Komplot menentang Isa
1Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu perayaan Paska telah menjelang. 2Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Isa secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu. 3Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, salah seorang daripada dua belas pengikut Isa. 4Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal rumah ibadat untuk membincangkan bagaimana dia dapat menyerahkan Isa kepada mereka. 5Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya. 6Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang yang baik untuk menyerahkan Isa kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.
Isa bersedia untuk makan jamuan Paska
7Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba korban harus disembelih untuk jamuan Paska. 8Isa menyuruh Petrus dan Yahya, ‘Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.’
9Mereka bertanya kepada Isa, ‘Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?’
10Isa menjawab, ‘Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang menjunjung sebuah buyung air akan bertemu dengan kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya 11lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, “Guru menyuruh kami bertanya: Di manakah bilik tempat Aku hendak makan jamuan Paska bersama pengikut-pengikut-Ku?” 12Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah bilik besar yang lengkap dengan perabot di tingkat atas. Di situlah kamu sediakan jamuan Paska.’
13Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan oleh Isa, lalu mereka menyediakan jamuan Paska.
Perjamuan Tuhan
14Apabila tiba masanya, Isa pun duduk bersama pengikut-pengikut yang dua belas itu. 15Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama kamu sebelum Aku menderita. 16Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paska dinyatakan di dalam kerajaan Allah.’
17Setelah itu, Isa mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, ‘Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu. 18Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air buah anggur lagi sehingga kerajaan Allah datang.’
19Lalu Isa mengambil roti kemudian mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu lalu memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya, sambil berkata, ‘Inilah tubuh-Ku yang diberikan untukmu. Berbuatlah sedemikian demi mengingati-Ku.’
20Begitu juga setelah makan, Dia mengambil cawan minuman dan berkata, ‘Cawan ini ialah perjanjian baru yang dimateraikan dengan darah-Ku yang dicurahkan untukmu. 21Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini. 22Putera Insan akan mati seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!’ 23Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah di antara mereka yang akan berbuat demikian.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |