Petikan daripada Kitab Zabur Surah 22.
Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu ‘Rusa Subuh’. Mazmur Daud.
1Ya Allah, Ya Tuhanku, mengapa Kau tinggalkan aku?
Mengapa Engkau terlalu jauh untuk menolongku,
dan untuk mendengar kata-kata rintihanku?
2Ya Allah Tuhanku,
aku meratap sepanjang siang, tetapi Engkau tidak mendengar,
dan semalaman aku tidak berhenti merayu.
3Tetapi Engkau suci;
bertakhta di atas puji-pujian umat Israel.
4 Nenek moyang kami percaya kepada-Mu;
mereka percaya dan Engkau menyelamatkan mereka.
5 Mereka merayu kepada-Mu, lalu mereka diselamatkan;
mereka percaya kepada-Mu, dan tidak kecewa.
6 Tetapi aku makhluk melata, bukan manusia,
dikeji dan dihina orang.
7 Semua yang melihatku mentertawakanku;
mereka mencaciku, menggeleng kepala,
sambil berkata:
8 ‘Dia percaya kepada Tuhan;
biar Tuhan selamatkan dia.
Biar Tuhan lepaskan dia,
kerana Tuhan berkenan kepadanya.’
9 Tetapi Engkaulah yang mengeluarkan aku dari rahim;
Engkau membuat aku percaya ketika masih disusui ibuku.
10 Aku diserahkan kepada-Mu sejak lahir;
semenjak di rahim ibuku lagi Engkaulah Allah Tuhanku.
11 Janganlah jauh daripadaku,
kerana kesusahan dekat denganku dan tiada siapa yang menolong.
12 Banyak lembu jantan mengelilingiku;
lembu jantan Bashan yang kuat telah mengepungku.
13 Mereka merenungku dengan mulut ternganga
seperti singa yang mengaum ganas.
14 Aku dicurah keluar seperti air,
dan semua tulangku terseliuh daripada sendinya.
Hatiku seperti lilin;
dan telah cair dalam diriku.
15 Kekuatanku telah kering-kontang,
dan lidahku melekat ke langit-langitku;
Engkau telah membawaku ke debu maut.
16 Anjing-anjing telah mengelilingiku;
gerombolan orang durjana mengepungku,
mereka telah menembusi tangan dan kakiku.
17 Aku dapat membilang semua tulangku;
mereka membelalak merenungku.
18 Mereka membahagikan pakaianku antara mereka
dan untuk itu mereka membuang undi.
19 Tetapi Engkau, Ya Tuhan, janganlah jauh daripadaku;
Ya Tuhan kekuatanku, segeralah datang menolongku.
20 Selamatkan aku daripada pedang,
dan nyawaku yang satu-satunya daripada cengkaman.
21 Selamatkan aku daripada mulut singa;
dan daripada tanduk lembu liar.
22 Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara- saudaraku;
di tengah-tengah perhimpunan aku akan memuji-Mu.
23 Kamu yang takut akan Tuhan, pujilah Dia!
Semua kamu zuriat Yakub, muliakan Tuhan!
Dan takutilah Dia, semua kamu anak cucu Israel!
24 Kerana Dia tidak menghina
atau menjijikkan derita orang yang menderita;
dan Dia tidak menyembunyikan wajah-Nya daripada dia.
Apabila dia berseru kepada-Nya, Dia mendengar.
25 Pujuan-pujian aku untuk-Mu kelak di perhimpunan besar;
aku akan menunaikan sumpahku di hadapan mereka yang takut akan Dia.
26 Orang miskin akan makan sehingga puas;
mereka yang mencari Tuhan akan memuji-Nya —
semoga hatimu hidup selama-lamanya!
27 Setiap pelosok dunia akan ingat dan berpaling kepada Tuhan,
dan semua suku bangsa akan menyembah-Mu,
28 kerana kerajaan milik Tuhan
dan Dia memerintah segala bangsa.
29 Semua orang yang makmur di bumi akan berjamu dan menyembah Tuhan;
semua yang turun ke debu akan tunduk kepada-Nya —
termasuk yang tidak dapat memelihara nyawa sendiri.
30 Orang kemudian akan melayani-Nya;
perihal Tuhan akan disampaikan kepada keturunan akan datang.
31 Mereka akan datang mengisytiharkan kebenaran-Nya
kepada bangsa yang akan lahir —
bahawa Dia telah melakukan ini.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |