Petikan dari Kitab Injil: Matius 5:1-48.
Yang diberkati
1Ketika Isa melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah para pengikut-Nya kepada-Nya. 2Dia pun mula mengajar mereka:
3‘Diberkatilah mereka yang miskin, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga.
4Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur.
5Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini.
6Diberkatilah mereka yang dahagakan kebenaran, kerana mereka akan dipuaskan.
7Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga.
8Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah.
9Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah.’
10Diberkatilah mereka yang dianiaya kerana menegakkan kebenaran, kerana kerajaan syurga untuk mereka.
11‘Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu kerana mengikut-Ku. 12Bersukacita dan bergembiralah, kerana ganjaran besar telah disediakan untukmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya.
Garam dan cahaya
13‘Kamu ialah garam bumi ini. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.
14‘Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi. 15Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah bekas; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah. 16Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga.
Isa dan hukum Taurat
17‘Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. 18Ingatlah: Selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku. 19Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga. 20Oleh itu ingatlah: Untuk memasuki kerajaan syurga, kamu mestilah melaksanakan kehendak Allah lebih daripada guru Taurat dan orang Farisi.
21‘Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: “Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh orang akan dihakimi.” 22Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya “bodoh” akan dihumbankan ke dalam api neraka.
23‘Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu, 24tinggalkanlah persembahanmu, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu.
25‘Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai berkenaan, yang akan memenjarakanmu. 26Sudah pasti kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.
Berzina
27‘Kamu telah mendengar ajaran ini: “Jangan berzina.” 28Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. 29Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. 30Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.
Perceraian
31‘Ada ajaran demikian: “Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.” 32Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana zina, orang itu menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa yang berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu berzina juga.
Membuat sumpah
33‘Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: “Jangan melanggar sumpah. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.” 34Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah. 35Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Baitulmaqdis, kerana itu kota Raja Agung iaitu Allah. 36Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai. 37Katakan saja “Ya” atau “Tidak” dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana.
Mata diganti mata
38‘Kamu telah mendengar ajaran begini: “Mata diganti dengan mata, gigi diganti dengan gigi.” 39Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya. 40Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga. 41Jika sesiapa memaksamu berjalan sebatu dengannya, pergilah dua batu bersamanya. 42Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu, berikanlah. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripadamu, usahlah berpaling daripadanya.
Mengasihi musuhmu
43‘Kamu telah mendengar ajaran berikut: “Kasihilah sahabatmu dan bencilah musuhmu.” 44Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu. 45Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari yang dicipta-Nya untuk orang yang benar dan orang yang mungkar. Dia menurunkan hujan untuk orang yang taat mahupun yang ingkar akan kehendak-Nya. 46Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihimu, layakkah kamu mendapat ganjaran daripada Allah? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian? 47Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun melakukannya. 48Kamu haruslah mengasihi semua orang sebagaimana Bapamu yang di syurga mengasihi semua orang. Dengan demikian kamu sempurna seperti Dia.
Petikan dari Kitab Injil: Matius 6:1-34.
Bersedekah kepada orang miskin
6:1‘Ingatlah: Jangan buat kerja amal di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga.
2‘Oleh itu, ketika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik di saumaah dan di jalan raya, supaya dipuji orang. Orang begitu sudahpun mendapat ganjaran mereka. 3Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu. 4Jangan siapapun mengetahuinya. Bapamu yang melihat amalmu yang tersembunyi itu akan memberikan ganjaran kepadamu.
Doa
5‘Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Mereka itu sudahpun mendapatkan ganjaran mereka. 6Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu. 7Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. 8Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.
9‘Berdoalah demikian:
“Ya Bapa kami yang di syurga,Sucilah Nama-Mu.
10Datanglah kerajaan-Mu.Terlaksanalah kehendak-Mudi bumi sebagaimana di syurga.
11Berilah makanan kami untuk hari ini.
12Ampunkanlah kesalahan kami sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.
13Janganlah biarkan kami tergoda, Selamatkanlah kami daripada si durjana. Engkaulah yang memiliki kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.”
14‘Jika kamu mengampuni orang yang bersalah kepadamu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. 15Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.
Berpuasa
16‘Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Mereka ini sudahpun mendapat ganjaran mereka. 17Ketika berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambutmu 18supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu.
Harta di syurga
19‘Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya. 20Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya. 21Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.
22‘Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu dipenuhi cahaya. 23Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, gelap-gelitalah keadaannya!
24‘Seorang hamba tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.
Jangan runsing
25‘Oleh itu, janganlah runsing tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai untuk menutupnya. Bukankah hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian? 26Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung? 27Siapakah di kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan bersikap runsing?
28‘Jadi, mengapakah kamu runsing tentang pakaian? Lihatlah bunga bakung di padang, yang tidak bekerja atau bertenun. 29Tetapi Raja Sulaiman dengan segala kehebatannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. 30Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberimu pakaian? Sungguh tipis kepercayaanmu kepada-Nya! 31Jangan runsing tentang makanan, minuman atau pakaianmu. 32Kerunsingan ini dialami oleh orang yang tidak mengenal Allah. Bapamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. 33Utamakanlah kerajaan Allah dan laksanakan kebenaran-Nya; Allah akan memberikan semua itu kepadamu. 34Oleh itu, jangan runsing tentang hari esok, kerana hari esok akan runsing tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari.
Petikan dari Kitab Injil: Matius 7:1-28.
Menghakimi orang lain
7:1‘Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi. 2Kerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan Allah untuk menghakimi kamu.
3‘Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari? 4Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah aku keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan kayu balak terpampang di matamu sendiri? 5Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar dari mata saudaramu.
6‘Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijaknya lalu berpaling menyerangmu.
Nasihat supaya berdoa
7‘Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu. 8Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.
9‘Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti? 10Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan? 11Kamu yang berdosa pun tahu memberikan sesuatu yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan sesuatu yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya. 12Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukan kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi.
Memilih jalan yang betul
13‘Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan ke neraka itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya. 14Sebaliknya pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya.
Pokok dan buahnya
15‘Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas. 16Kamu akan mengenal mereka daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri? 17Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik. 18Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik. 19Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar. 20Demikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka.
21‘Tidak semua orang yang memanggil-Ku, “Junjungan kami, Junjungan kami,” akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. 22Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, “Junjungan kami, Junjungan kami, bukankah kami telah menyampaikan perkhabaran Allah dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?” 23Tetapi aku akan menjawab, “Aku tidak mengenalmu. Pergilah dari sini, hai kamu yang mungkar.”
Dua jenis asas
24‘Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu. 25Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu. 26Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. 27Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!’
28Setelah selesai Isa menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum akan cara Dia mengajar. 29Isa mengajar secara berwibawa, tidak seperti guru Taurat mereka.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |
Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…
Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…
Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…
Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…
Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…
Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…