Petikan dari Kitab Injil: Matius 25:31-46.

31‘Apabila Putera Insan datang dengan segala kemuliaan-Nya, diiringi sekalian malaikat suci, Dia akan duduk di atas takhta kemuliaan-Nya. 32Semua bangsa akan berhimpun di hadapan-Nya, dan Dia akan mengasing-asingkan mereka, sebagaimana gembala mengasing-asingkan domba daripada kambing. 33Dia akan meletakkan domba di sebelah kanan-Nya dan kambing di sebelah kiri-Nya.

34‘Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, “Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta. 35Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu; 36Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.”

37‘Orang yang benar itu pun bertanya, “Junjungan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman? 38Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian? 39Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?”

40‘Raja akan menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.”

41‘Selepas itu Dia akan berkata kepada mereka yang di sebelah kiri-Nya, “Nyahlah dari sisiku, kamu yang terlaknat, ke dalam api abadi yang telah disediakan untuk Iblis dan para penyokongnya; 42kerana Aku lapar dan kamu tidak memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu tidak memberi-Ku minuman. 43Aku orang asing dan kamu tidak menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu tidak memberi-Ku pakaian; Aku sakit, Aku di dalam penjara, dan kamu tidak melawat-Ku.”

44‘Mereka akan berkata, “Junjungan kami, bilakah kami melihat-Mu lapar, atau dahaga, orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau di dalam penjara, dan tidak mengambil berat tentang-Mu?”

45‘Dia akan menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu tidak melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-saudara-Ku ini, ertinya kamu tidak melakukannya kepada-Ku.”

46‘Mereka itu akan menanggung azab hukuman selama-lamanya, manakala mereka yang benar akan menikmati hidup kekal.’

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini