Isa berjalan di atas air

Petikan dari Kitab Injil: Matius 14:22-33.

22Setelah itu Isa menyuruh para pengikut-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. 23Setelah menyuruh mereka pulang, Isa naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Isa berada di situ seorang diri. 24Ketika itu perahu yang dinaiki oleh para pengikut-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan.

25Antara dinihari dan pagi, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka. 26Apabila mereka melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, ‘Hantu!’

27Isa segera berkata kepada mereka, ‘Tenanglah. Aku Isa. Jangan takut.’

28Petrus berkata, ‘Junjungan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.’

29‘Marilah,’ sahut Isa.

Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Isa. 30Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. ‘Junjungan! Selamatkan aku!’ serunya.

31Isa segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, ‘Engkau yang kurang percaya, mengapa engkau ragu?’

32Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada. 33Selepas itu para pengikut Isa yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, ‘Sesungguhnya Engkaulah Putera Allah!’

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini