Petikan dari Kitab Injil: Yahya 18:28-40.
28Kemudian mereka membawa Isa dari rumah Kayafas ke istana pemerintah Rom. Tetapi orang Yahudi tidak turut masuk ke dalam istana itu kerana pagi masih awal. Mereka tidak mahu terkena najis, kerana mereka hendak menyertai jamuan Paska. 29Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, ‘Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?’
30Mereka menjawab, ‘Jika orang ini tidak melakukan perbuatan jahat, sudah tentu kami tidak akan membawa-Nya ke hadapanmu.’
31Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, ‘Ambillah Dia, adili mengikut undang-undangmu.’
Orang Yahudi menjawab, ‘Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.’ 32Dengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Isa tentang cara kematian-Nya.
33Selepas itu Pilatus masuk semula ke istana dan memanggil Isa lalu bertanya, ‘Adakah kamu Raja orang Yahudi?’
34Isa menjawab, ‘Adakah kata-kata ini daripada dirimu sendiri, atau adakah orang lain mengatakannya kepadamu tentang diri-Ku?’
35Pilatus menjawab, ‘Adakah aku seorang Yahudi? Bangsa-Mu sendiri dan ketua-ketua imam telah membawa-Mu kepadaku. Apakah yang telah Kaulakukan?’
36Isa menjawab, ‘Kerajaan-Ku bukanlah daripada dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku dari dunia ini, tentulah para pengikut-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah dari sini.’
37Dengan demikian Pilatus pun berkata kepada-Nya, ‘Jadi, adakah kamu seorang raja?’ Isa menjawab, ‘Betul katamu. Aku seorang raja. Aku dilahirkan ke dunia untuk memberi kesaksian tentang kebenaran. Setiap orang yang memihak kepada kebenaran mendengar suara-Ku.’
38Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Apakah itu kebenaran?’ Kemudian dia keluar mendapatkan orang Yahudi lalu berkata, ‘Aku mendapatinya tidak bersalah sama sekali. 39Tetapi kamu ada satu adat, iaitu aku harus membebaskan seorang daripada bangsamu pada perayaan Paska. Mahukah kamu kubebaskan Raja orang Yahudi?’
40Mereka semua berteriak lagi, ‘Jangan bebaskan orang itu. Bebaskan Barabas.’ Barabas itu seorang perompak.
Petikan dari Kitab Injil: Yahya 19:1-16.
1Setelah itu, Pilatus pun membawa Isa dan mengarahkan supaya Isa disesah. 2Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Isa. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya. 3Mereka datang kepada-Nya dan berkata, ‘Daulat Raja orang Yahudi!’ lalu menampar-Nya.
4Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, ‘Lihat, aku bawakan Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.’ 5Isa pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, ‘Lihatlah orang ini!’
6Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, ‘Salibkan Dia! Salibkan Dia!’
Pilatus berkata kepada mereka, ‘Kamu ambil dan saliblah Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.’
7Orang Yahudi itu menjawab, ‘Kami ada undang-undang, dan menurut undang-undang itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Putera Allah.’
8Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut. 9Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Isa, ‘Dari manakah Kamu ini?’ Tetapi Isa tidak menjawab. 10Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?’
11Isa menjawab, ‘Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.’
12Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, ‘Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah penyokong Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.’
13Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Isa, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut ‘Laman Batu’, dalam bahasa Ibrani Gabbatha. 14Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk perayaan Paska, kira-kira jam keenam.
Pilatus berkata kepada orang Yahudi, ‘Lihatlah Raja kamu!’
15Tetapi mereka berseru, ‘Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!’
Pilatus berkata kepada mereka, ‘Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?’
Ketua-ketua imam menjawab, ‘Kami tidak ada raja selain Kaisar.’
Isa disalib
16Oleh itu Pilatus pun menyerahkan Isa kepada mereka untuk disalib.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |
Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…
Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…
Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…
Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…
Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…
Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…