Petikan dari Kitab Injil: Markus 11:1-33.
Isa masuk ke Baitulmaqdis
1Apabila mereka sudah berhampiran Baitulmaqdis, di Baitfagi dan Baitani, di Bukit Zaitun, Isa mengutus dua orang pengikut-Nya, 2kata-Nya, ‘Pergilah ke kampung yang setentang denganmu. Sebaik-baik kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke mari. 3Jika sesiapa bertanya kepadamu, “Mengapa kau berbuat demikian?” katakan, “Junjungan memerlukannya, dan Dia akan segera memulangkannya.” ’
4Mereka pun pergi dan mendapati anak keldai itu tertambat di pintu di tepi jalan, lalu mereka melepaskannya. 5Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, ‘Apa yang kamu buat, melepaskan anak keldai itu?’ 6Mereka menjawab seperti yang diperintahkan oleh Isa, lalu mereka dibenarkan pergi. 7Mereka membawa anak keldai itu kepada Isa dan meletakkan jubah mereka di atas belakangnya. Isa pun duduk di atas belakang anak keldai itu. 8Ramai orang membentangkan jubah mereka di atas jalan. Yang lain memotong dahan-dahan rimbun daripada pokok-pokok di situ dan meletakkannya sepanjang jalan. 9Setelah itu mereka yang berjalan di hadapan dan yang mengikut dari belakang berseru,
‘Hosana!’
‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!’
10‘Diberkatilah kerajaan bapa kita Daud!
Yang datang dengan nama Allah!’
‘Hosana di tempat yang maha tinggi!’
11Isa masuk ke Baitulmaqdis dan terus masuk ke dalam rumah ibadat. Setelah Dia melihat semuanya, kerana hari sudah lewat petang, Dia pun pergi ke Baitani dengan pengikut-Nya yang dua belas itu.
Isa membersihkan rumah ibadat
12Esoknya, setelah mereka keluar dari Baitani, Isa berasa lapar. 13Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara. 14Oleh itu Isa berkata kepada pokok itu, ‘Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.’ Para pengikut-Nya mendengar kata-kata itu.
15Apabila sampai di Baitulmaqdis, Isa masuk ke rumah ibadat. Dia menghalau keluar orang yang berjual beli di dalam rumah ibadat, dan menterbalikkan meja para pengurup wang serta tempat duduk penjual burung merpati. 16Dia tidak membenarkan siapapun mengangkat barangan melalui rumah ibadat. 17Kemudian Dia mengajar mereka, kata-Nya, ‘Tidakkah tersurat:
‘ “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa bagi semua bangsa.”?
‘Tetapi kamu telah menjadikannya “sarang pencuri.” ’
18Guru-guru Taurat dan ketua-ketua imam mendengarnya lalu mencari jalan hendak membinasakan Isa, kerana mereka takut kepada-Nya, memandangkan semua orang mengagumi ajaran-Nya.
19Setelah lewat petang, Isa keluar dari kota itu.
Isa mengutuk pohon ara
20Pada pagi esoknya, ketika mereka lalu di situ, mereka melihat pokok ara itu telah layu kering daripada akarnya. 21Petrus teringat lalu berseru, ‘Tuan Guru, lihat! Pokok ara yang Engkau sumpah itu telah mati.’
22Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Berimanlah kepada Allah. 23Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, “Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,” tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu. 24Oleh itu Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta ketika berdoa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya. 25Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu. 26Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.’
Kekuasaan Isa dipersoalkan
27Selepas itu mereka masuk semula ke Baitulmaqdis. Sedang Dia berjalan di dalam rumah ibadat, ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua datang kepada-Nya. 28Mereka berkata kepada-Nya, ‘Dengan kekuasaan apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapa yang memberi-Mu kekuasaan untuk melakukannya?’
29Tetapi Isa menjawab, ‘Aku juga akan bertanya satu soalan kepadamu. Jawablah soalan-Ku, maka Aku akan memberitahumu dengan kekuasaan apa Aku melakukan perkara-perkara ini. 30Pengimadan Yahya – adakah daripada syurga atau daripada manusia? Jawablah soalan-Ku!’
31Mereka berbincang sesama sendiri, ‘Kalau kita berkata, “Daripada syurga”, nanti kata-Nya, “Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?” 32Tetapi, kalau kita berkata, “Daripada manusia”…’ (Mereka takut akan orang ramai itu yang semuanya menganggap Yahya seorang nabi.)
33Oleh itu mereka menjawab, ‘Kami tidak tahu.’
Lalu Isa berkata, ‘Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kekuasaan apa Aku melakukan perkara-perkara ini.’
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |