Isa melakukan mukjizat dan penyembuhan

Petikan dari Kitab Injil: Markus 5:21-43.

21Setelah itu, Isa kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali. 22Datanglah Yairus, seorang ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Isa, dia sujud di hadapan-Nya 23dan merayu, ‘Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.’ 24Isa pun pergi bersama Yairus.

Begitu ramainya orang yang mengikut Isa sehingga Dia diasak dari semua pihak. 25Di situ ada seorang wanita yang sudah dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan. 26Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, semakin parah keadaannya. 27Wanita itu telah banyak mendengar tentang Isa. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya. 28 ‘Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,’ kata wanita itu, ‘tentu aku akan sembuh.’ 29Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan dirinya sudah sembuh.

30Pada saat itu Isa sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, ‘Siapa yang menyentuh jubah-Ku?’ 31Para pengikut-Nya berkata, ‘Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?’

32Tetapi Isa memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu. 33Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Isa serta menceritakan segala-galanya. 34Isa berkata kepadanya, ‘Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkan kamu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.’

35Sedang Isa berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, ‘Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Tuan Guru lagi.’

36Isa tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus, ‘Jangan takut, percaya saja.’

37Lalu Isa tidak membenarkan siapapun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus. 38Apabila tiba di rumah Yairus, Isa melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat. 39Isa masuk lalu berkata kepada mereka, ‘Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.’ 40Tetapi mereka mentertawakan Isa.

Setelah menyuruh mereka semua keluar, Isa mengajak ibu bapa anak itu dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring. 41Isa memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, ‘Talitha kum!’ (maksudnya, ‘Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!’). 42Anak perempuan yang berusia dua belas tahun itu segera bangkit lalu berjalan. Mereka semua sungguh kagum. 43Tetapi dengan tegas Isa melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini