Isa memberi makan kepada lima ribu orang

Petikan dari Kitab Injil: Matius 14:13-21.

13Sebaik-baik mendengar tentang Yahya, Isa menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Isa melalui jalan darat dari kota. 14Setelah Isa turun dari perahu dan melihat mereka, hati-Nya berasa kasihan lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit di kalangan mereka.

15Apabila menjelang petang, para pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.’

16Tetapi Isa menjawab, ‘Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.’

17Kata para pengikut Isa, ‘Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.’

18Isa berkata, ‘Bawalah makanan itu kepada-Ku.’ 19Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Dia mengambil makanan itu dan menengadah ke langit mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. 20Setiap orang makan sehingga kenyang dan lebihan yang dikumpulkan oleh para pengikut Isa sebanyak dua belas bakul. 21Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini