Isa mengajar Nikodemus

Petikan daripada Kitab Injil:Yahya 3:1-21.

1Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi dari golongan Farisi bernama Nikodemus. 2Dia mengunjungi Isa pada suatu malam lalu berkata, ‘Tuan Guru, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya.’

3Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah.’

4Nikodemus bertanya, ‘Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!’

5Isa menjawab, ‘Apa yang Kukatakan ini benar. Tidak mungkin seseorang masuk ke dalam kerajaan Allah kecuali dia dilahirkan daripada air dan Roh Suci. 6Yang dilahirkan manusia adalah manusia, dan yang dilahirkan Roh adalah roh. 7Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula. 8Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Suci.’

9Nikodemus bertanya, ‘Bagaimana hal itu boleh berlaku?’

10Isa menjawab, ‘Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini? 11Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, apa yang kami ketahui, itulah yang kami katakan, dan apa yang telah kami lihat, itulah yang kami saksikan, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. 12Jika kamu tidak percaya ketika Aku bercakap tentang hal-hal dunia, bagaimana mungkin kamu percaya sekiranya Aku bercakap tentang hal-hal syurga? 13Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Putera Insan yang turun dari syurga. 14Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Putera Insan akan diangkat 15supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal.

16‘Allah begitu mengasihi umat manusia sehingga menganugerahkan Putera-Nya yang tunggal supaya orang yang percaya kepada Putera itu tidak binasa tetapi mendapat hidup kekal. 17 Allah mengutus Putera-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan. 18 Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudahpun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Putera Allah yang tunggal. 19Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. 20Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah. 21 Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah.’