Isa menghidupkan anak lelaki seorang balu

Petikan dari Kitab Injil: Lukas 7:11-17.

11Tidak lama kemudian, Isa pergi ke sebuah bandar yang bernama Nain; pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi bersama-Nya. 12Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama dengan wanita itu. 13Apabila Isa melihat balu itu, Dia berasa kasihan terhadapnya lalu berkata kepadanya, ‘Janganlah menangis.’

14Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Isa berkata, ‘Hai pemuda, Aku berkata kepadamu – bangun!’ 15Orang yang sudah mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Isa mengembalikannya kepada ibunya.

16Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: ‘Seorang nabi yang agung telah muncul di kalangan kita!’ dan ‘Allah telah mendatangi umat-Nya.’ 17Khabar tentang Isa ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea dan daerah di sekelilingnya.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini