Isa menyembuhkan seorang lumpuh

Petikan dari Kitab Injil: Markus 2:1-12.

1Beberapa hari kemudian, Isa pulang ke Kapernaum dan tersebarlah khabar itu. 2Ramailah orang datang berhimpun di rumah tempat Dia tinggal itu, sehingga penuh sesak sampai ke pintu. Isa pun menyampaikan firman kepada mereka. 3Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh. 4Oleh sebab kesasakan itu, mereka tidak dapat membawanya kepada Isa. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Isa berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. 5Melihat iman mereka yang begitu teguh, Isa berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.’

6Guru-guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, 7‘Lancangnya dia mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!’

8Tetapi Isa segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, ‘Mengapa kamu berfikir begitu? 9Manakah yang lebih mudah dikatakan: “Dosamu telah diampunkan,” atau, “Bangun, angkat tikarmu dan berjalanlah”? 10Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Putera Insan berkuasa mengampunkan dosa…’ Berkatalah Dia kepada orang lumpuh itu, 11‘Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah.’ 12Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ kehairanan lalu memuji Allah. Mereka berkata, ‘Belum pernah kami lihat kejadian begini!’

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini