Isa menyembuhkan seorang yang dirasuk roh iblis

Petikan dari Kitab Injil: Markus 5:1-20.

1Lalu sampailah mereka di seberang laut, di daerah Gerasa. 2Sebaik-baik Isa turun dari perahu, seorang lelaki yang kerasukan roh durjana keluar dari perkuburan lalu menemui-Nya. 3Orang itu tinggal di kawasan perkuburan. Tiada siapa terdaya mengikatnya lagi, meskipun dengan rantai. 4Berkali-kali dia dirantai dan dibelenggu, tetapi dapat diputuskannya rantai itu dan dipatahkannya belenggu itu. Tiada seorang pun dapat menguasainya. 5Siang malam dia merayau di perkuburan dan di bukit, sambil menjerit-jerit dan mencederakan badannya dengan batu.

6Dari jauh dia melihat Isa lalu lari mendekati-Nya dan sujud di hadapan-Nya. 7Orang itu berseru dengan suara keras, ‘Hai Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi, apa urusan-Mu dengan aku? Demi Allah, jangan seksa aku!’ 8Kerana sebelumnya Isa berkata kepadanya, ‘Roh durjana, keluarlah kamu daripada orang ini!’

9Kemudian Isa bertanya kepadanya, ‘Siapa namamu?’

Orang itu menjawab, ‘Legion, kerana kami ini ramai sekali.’ 10Dia memohon sungguh-sungguh kepada Isa supaya tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu.

11Berdekatan tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit. 12Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa, ‘Suruhlah kami pindah ke babi itu, biarlah kami masuk ke dalam tubuh babi itu.’ 13Isa bersetuju, lalu roh-roh durjana itu keluar dan masuk ke dalam tubuh kawanan babi itu. Kesemua babi itu, kira-kira dua ribu ekor, terjun dari tepi cenuram ke dalam laut lalu mati lemas.

14Penjaga-penjaga babi itu lari lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di desa. Para penduduk pun keluar hendak melihat apa yang telah terjadi. 15Mereka menghampiri Isa lalu melihat orang yang tadinya dirasuk roh iblis yang banyak itu, kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman. Mereka semua pun ketakutan. 16Semua yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan segala-galanya tentang orang yang kerasukan roh iblis dan kawanan babi itu. 17Oleh itu mereka meminta Isa meninggalkan daerah itu.

18Ketika Isa menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh iblis itu memohon kepada-Nya, supaya dia dibenarkan menyertai-Nya. 19Tetapi Isa tidak membenarkan, sebaliknya berkata, ‘Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan pada kamu.’ 20Orang itu pun mula menjelajahi daerah sepuluh kota dan menceritakan segala yang telah dilakukan oleh Isa untuknya. Mereka semua kehairanan.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini