Kata-Kata Terakhir Isa

Petikan dari Kitab Injil: Yahya 13:1-38.

Isa membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya

1Sebelum perayaan Paska, Isa tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Isa mengasihi mereka hingga ke saat akhir.

2Semasa Isa dan pengikut-pengikut-Nya sedang makan malam, Iblis sudahpun menimbulkan niat di hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Isa. 3Isa tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya. 4Dengan demikian, Isa berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya. 5Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah besen lalu membasuh kaki para pengikut-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya.

6Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, ‘Junjungan, wajarkah Junjungan membasuh kakiku?’

7Isa menjawab, ‘Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.’

8Petrus berkata kepada Isa, ‘Tidak! Junjungan sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!’

Namun, Isa menjawab, ‘Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.’

9Simon Petrus berkata, ‘Junjungan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!’

10Isa berkata kepadanya, ‘Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.’ 11(Isa tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, ‘Bukan semua yang bersih.’)

12Setelah membasuh kaki para pengikut-Nya, Isa memakai semula jubah-Nya lalu bertelekan di meja dan berkata kepada mereka, ‘Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu? 13Kamu memanggil-Ku Guru dan Junjungan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Junjungan. 14Jika Aku sebagai Junjungan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri. 15Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu. 16Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak mungkin lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya. 17Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.

18‘Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat di dalam Kitab Suci pasti terjadi, “Orang yang makan bersama-Ku akan berpaling menentang-Ku.”

19‘Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia. 20Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menyambut orang yang Kuutus, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut-Ku, menyambut Dia yang mengutus-Ku.’

Isa mengatakan tentang pengkhianatan-Nya

21Setelah melafazkan kata-kata itu, Isa berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus-terang, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, salah seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.’

22Para pengikut Isa berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Isa. 23Salah seorang pengikut yang dikasihi oleh Isa bertelekan di sisi-Nya. 24Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, ‘Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.’

25Pengikut itu melayah dekat kepada Isa lalu bertanya, ‘Siapakah dia, ya Junjungan?’

26Isa menjawab, ‘Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.’ Isa pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot. 27Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya.

Isa pun berkata kepadanya, ‘Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan.’ 28Tidak seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Isa berkata demikian kepada Yudas. 29Beberapa orang pengikut Isa menyangka Isa menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk perayaan Paska, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka. 30Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Isa lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam.

31Setelah Yudas pergi, Isa berkata, ‘Sekarang Putera Insan dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya. 32Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia di dalam diri-Nya segera.

33‘Anak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, “Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.”

34‘Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. 35Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-Ku.’

Isa memperingatkan Petrus

36Simon Petrus bertanya kepada Isa, ‘Ke mana Junjungan hendak pergi?’

Isa menjawab, ‘Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ.’

37Petrus bertanya lagi, ‘Junjungan, mengapa aku tidak dapat mengikut Engkau sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, Junjungan!’

38Isa menjawab, ‘Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali.

 

Petikan dari Kitab Injil: Yahya 14:1-31.

Isa menghiburkan hati para pengikut

1‘Janganlah kamu bimbang. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku. 2Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. 3Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada. 4Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi.’

5Tomas berkata kepada Isa, ‘Junjungan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?’

6Isa menjawab, ‘Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tidak seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. 7Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudahpun melihat-Nya.’

Keesaan dengan Bapa

8Filipus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami.’

9Isa menjawab, ‘Sekian lama aku bersama kamu semua, belum lagi kau kenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, “Tunjukkanlah Bapa kepada kami?” 10Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu. 11Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan. 12Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Kulakukan, malah pekerjaan lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa. 13Apa sahaja yang kamu minta dengan nama-Ku, Aku akan melakukannya supaya kemuliaan Bapa ternyata melalui Putera-Nya. 14Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku dengan nama-Ku akan Kulakukan.

Isa menjanjikan Roh Kebenaran

15‘Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku. 16Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. 17Penolong itu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat menerima-Nya kerana tidak dapat melihat atau mengenal-Nya. Tetapi kamu mengenal-Nya kerana Dia tetap dalammu dan akan ada dalam dirimu. 18Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu. 19Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab aku hidup, kamu juga akan hidup. 20Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu. 21Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya.’

22Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Isa, ‘Junjungan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?’

23Isa menjawab, ‘Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya. 24Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, pada hal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku.

25‘Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu. 26Namun, Penolong, iaitu Roh Suci yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu. 27Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Usah risau dan janganlah takut.

28‘Kamu telah mendengar Aku berkata, “Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.” Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku. 29Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku. 30Aku tidak dapat bercakap lama lagi denganmu, kerana sudah tiba waktunya pemerintah dunia ini datang. Sebenarnya dia tidak berkuasa ke atas diri-Ku. 31Namun, Aku menjalankan semua perintah Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa.

‘Bangkitlah, marilah kita beredar dari sini.

 

Petikan dari Kitab Injil: Yahya 15:1-27.

Pokok anggur yang benar

1‘Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur. 2Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya bersih dan berbuah lebih lebat lagi. 3Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu. 4Tetaplah dalam-Ku seperti Aku dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap dalam-Ku.

5‘Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap dalam-Ku dan Aku dalam-Mu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa. 6Sesiapa yang tidak tetap dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar. 7Sekiranya kamu tetap dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan. 8Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar pengikut-Ku.

Perintah supaya saling mengasihi

9‘Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku. 10Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya. 11Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu. 12Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu. 13Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya. 14Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan. 15Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu. 16Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka Bapa akan mengabulkan apa sahaja permohonanmu dalam nama-Ku. 17Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri.

Dunia membenci Isa dan pengikut-Nya

18‘Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu. 19Andainya kamu milik dunia, dunia akan mengasihimu seperti anak-anaknya sendiri. Tetapi aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu. 20Ingatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, “Seorang hamba tidaklah lebih besar daripada tuannya.” Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga. 21Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku. 22Kalaulah Aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, tidaklah mereka berdosa. Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai alasan bagi dosa mereka. 23Sesiapa yang membenci-Ku, membenci Bapa-Ku juga. 24Sekiranya Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di hadapan mata mereka, mereka tidaklah berdosa. Tetapi mereka telah melihat sendiri apa yang Kulakukan dan mereka tetap membenci-Ku dan Bapa-Ku. 25Hal ini semestinya begitu, supaya berlaku apa yang tersurat di dalam Taurat mereka: “Mereka membenci-Ku tanpa alasan.”

26‘Apabila Penolong, Roh Kebenaran daripada Bapa, yang Kuutus kepadamu datang, Dia akan bersaksi tentang-Ku. 27Kamu juga akan bersaksi tentang-Ku, kerana kamu semua bersama-Ku dari mula lagi.

 

Petikan dari Kitab Injil: Yahya 16:1-33.

Peringatan Isa

1‘Semua ini Kukatakan kepadamu supaya kamu tidak sesat. 2Mereka akan menyingkirkanmu daripada saumaah. Masanya akan tiba ketika semua orang yang membunuhmu menganggap bahawa dengan berbuat demikian dia mengabdi kepada Allah. 3Perkara ini akan dilakukan oleh mereka, kerana mereka belum mengenal Bapa mahupun Aku. 4Semua ini Kukatakan kepadamu supaya ketika berlaku nanti, kamu akan ingat bahawa Aku sudahpun memberitahumu. Aku tidak memberitahumu dari mulanya lagi kerana Aku masih bersamamu.

Pekerjaan Roh Suci

5‘Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus-Ku. Tidak seorang pun antaramu bertanya, “Ke mana Aku hendak pergi?” 6Sekarang kamu bersedih, kerana Aku telah memberitahu perkara ini kepadamu. 7Apa yang Kukatakan kepadamu ini benar; untuk kepentinganmu, baiklah Aku pergi. Selagi Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepadamu. Jika Aku pergi, Aku akan mengutus-Nya kepadamu. 8Setelah Dia datang nanti, Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, kebenaran, dan penghakiman; 9tentang dosa kerana mereka tidak percaya kepada-Ku; 10tentang kebenaran kerana Aku akan pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat-Ku lagi; 11dan tentang penghakiman kerana pemerintah dunia ini telah dihakimi.

12‘Ada banyak lagi yang ingin Kukatakan kepadamu, tetapi kamu belum berupaya menerimanya. 13Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran, datang Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran. Roh itu tidak akan mengatakan sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi. 14Roh itu akan memuliakan-Ku, kerana Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu. 15Segala milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Maka itulah Kukatakan bahawa Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.’

16Isa berkata, ‘Tidak lama lagi, kamu tidak akan melihat-Ku dan tidak lama kemudian, kamu akan melihat-Ku.’

Kedukaan dan kegembiraan

17Sebilangan pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, ‘Apakah maksud kata-Nya, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku”? Dia juga berkata, “Aku akan pergi kepada Bapa.” ’ 18Mereka berkata, ‘Apakah maksud “tidak lama lagi”? Kami tidak faham erti kata-kata-Nya!’

19Isa tahu bahawa mereka ingin bertanya kepada-Nya. Lalu kata-Nya kepada mereka, ‘Tadi Aku berkata, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku.” Adakah kamu mempersoalkan kata-Ku itu? 20Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan. 21Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia. 22Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapapun. 23Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. 24Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.

25‘Aku telah mengatakan semua ini kepadamu secara kiasan. Tetapi akan sampai ketikanya Aku tidak lagi menggunakan kiasan; Aku akan berterus-terang kepadamu tentang Bapa. 26Pada hari itu, kamu akan meminta dalam nama-Ku. Aku tidak berkata Aku akan meminta kepada Bapa bagi pihakmu. 27Bapa sendiri mengasihimu, kerana kamu mengasihi-Ku dan percaya Aku datang daripada Bapa. 28Aku memang berasal daripada Bapa dan datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini dan pulang semula kepada Bapa.’

29Para pengikut-Nya berkata, ‘Sekarang barulah Junjungan bercakap terus-terang, tanpa menggunakan kiasan. 30Sekarang kami faham bahawa Junjungan mengetahui segala-galanya dan sesiapapun tidak perlu lagi bertanya apa-apa kepada-Mu. Oleh itu kami percaya bahawa Junjungan datang daripada Allah.’

31Isa berkata kepada mereka, ‘Percayakah kamu sekarang? 32Saatnya akan datang, malah sudahpun sampai, ketika kamu akan bertempiaran. Kamu akan menjaga diri masing-masing, dan meninggalkan Aku keseorangan. Tetapi sebenarnya Aku tidaklah keseorangan, kerana Bapa bersama-Ku.

33‘Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi pancaroba; tetapi tabahkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia.’

 

Petikan dari Kitab Injil: Yahya 17:1-26.

Doa Isa untuk pengikut-Nya

1Setelah itu, Isa menengadah ke langit lalu berkata,

‘Bapa, sudah sampailah saatnya. Muliakanlah Putera-Mu, supaya Putera-Mu dapat memuliakan Bapa. 2Engkau telah memberi Putera-Mu kekuasaan ke atas umat manusia, supaya Dia pun memberikan hidup kekal kepada setiap orang yang telah Kauserahkan kepada-Nya. 3Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Tuhan Yang Benar, dan mengenal Isa al-Masih yang Kauutus. 4Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku. 5Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersamamu sebelum dunia ini diwujudkan.

6‘Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang di dunia ini yang telah Kauserahkan kepada-Ku. Mereka semua milik-Mu. Engkau telah mengamanahkan mereka kepada-Ku. Kini mereka taat akan firman-Mu. 7Sekarang mereka tahu bahawa segala yang Kauberikan kepada-Ku itu sebenarnya berasal daripada-Mu. 8Firman yang Kauberikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka dan mereka menerimanya. Mereka benar-benar tahu bahawa Aku sesungguhnya berasal daripada-Mu, dan percaya bahawa Engkau telah mengutus-Ku. 9Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia. Aku berdoa untuk orang yang telah Kauserahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. 10Semua milik-Ku, milik-Mu juga. Semua milik-Mu, milik-Ku juga. Aku dimuliakan melalui mereka. 11Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu. 12Sepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa, kecuali anak kebinasaan itu supaya berlaku apa yang tersurat di dalam Kitab Suci.

13‘Sekarang Aku akan datang kepada-Mu. Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya. 14Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan daripada dunia ini. 15Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku memohon semoga Engkau melindungi mereka daripada Si Durjana. 16Sebagaimana Aku bukan dari dunia ini, begitu jugalah mereka. 17Sucikanlah mereka dengan kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran. 18Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus-Ku ke dunia. 19Demi kebaikan mereka Aku menyucikan diri-Ku supaya mereka juga disucikan dalam kebenaran.

20‘Aku bukan berdoa untuk mereka saja tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui kata-kata mereka. 21Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu sebagaimana Engkau di dalam-Ku dan Aku di dalam-Mu dan supaya mereka juga ada di dalam Kita. Dengan demikian dunia dapat percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku. 22Aku memberi mereka kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Kita adalah satu. 23Aku di dalam mereka dan Engkau di dalam-Ku, supaya mereka bersatu sepenuhnya. Dengan demikian dunia akan tahu bahawa Engkau sebenarnya telah mengutus-Ku, dan Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi-Ku.

24‘Bapa, Aku menghendaki mereka yang Kauserahkan kepada-Ku ada bersama-Ku di mana Aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi-Ku ketika dunia ini belum diwujudkan lagi.

25‘Bapa Yang Maha Benar! Dunia tidak mengenal-Mu, namun Aku mengenal-Mu, dan kesemua mereka ini tahu bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku. 26Aku telah menyatakan nama-Mu kepada mereka. Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku bertapak kukuh di hati mereka dan supaya Aku di dalam mereka.’

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini