Petikan dari Kitab Injil: Lukas 1:26-56.
Pemberitahuan tentang kelahiran Isa
26Dalam bulan yang keenam, malaikat Jibrail diutus Allah ke Nasaret, sebuah kota di jajahan Galilea, 27kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maryam. 28Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, ‘Salam kepadamu yang amat diredai Allah! Tuhan bersamamu!’
29Hati Maryam runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut. 30Seterusnya, malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Maryam, kerana engkau telah diredai Allah. 31Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Isa. 32Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Putera Allah Yang Maha Tinggi. Allah, Tuhan kita akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya. 33Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaannya berkekalan.’
34Lalu Maryam berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?’
35Malaikat itu menjawab, “Roh Suci akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Putera Allah. 36Tambahan pula, saudaramu Ashba yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua. 37Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil.
38Maryam berkata, ‘Aku ini hamba Tuhan. Jadilah kepada aku mengikut kata-katamu itu.’ Lalu malaikat pun meninggalkannya.
Maryam melawat Ashba
39Setelah itu, Maryam bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yudea. 40Dia masuk ke dalam rumah Zakaria dan memberi salam kepada Ashba. 41Apabila Ashba mendengar salam Maryam, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Ashba dipenuhi Roh Suci. 42Dia berseru, ‘Diberkati engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu. 43Siapakah aku ini sehingga ibu Junjunganku datang kepadaku? 44Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan. 45Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!’
Nyanyian pujian Maryam
46Maryam berkata,
‘Jiwaku meninggikan Tuhan;
47rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku,
48kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina ini.
Dari sekarang hingga selama-lamanya,
orang akan berkata aku diberkati,
49kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar
untuk aku.
Sucilah Nama-Nya.
50Dia memberkati mereka yang
takut akan Dia,
daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain.
51Dia telah menunjukkan kekuatan
tangan-Nya;
Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak.
52Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka
dan mengangkat tinggi orang yang hina;
53Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik,
tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong.
54Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya
kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya
55yang dijanjikan kepada nenek moyang kita Ibrahim
dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.’
56Maryam tinggal bersama Ashba selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.
Petikan dari Kitab Injil: Lukas 2:1-40.
Kelahiran Isa
1Pada masa itu Kaisar Augustus menitahkan penduduk di seluruh kerajaan Rom dibanci. 2Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria. 3Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.
4Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nasaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Baitlahim di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud. 5Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maryam, tunangnya yang sedang hamil. 6Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. 7Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.
Gembala dan malaikat
8Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. 9Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. 10Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, ‘Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. 11Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu al-Masih, Junjungan itu. 12Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.’
13Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan besar dari syurga yang memuji-muji Allah:
14‘Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai
sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.’
15Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita pergi ke Baitlahim untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.’
16Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maryam dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung. 17Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu. 18Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka; 19tetapi Maryam mengingati segala perkara ini dan merenunginya. 20Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.
Isa dipersembahkan di rumah ibadat
21Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberikan nama Isa, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maryam.
22Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Isa ke Baitulmaqdis untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan. 23Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan. 24Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.
25Pada masa itu ada seorang di Baitulmaqdis yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan bertakwa kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia diasertai Roh Suci. 26Roh Suci telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat al-Masih yang dijanjikan oleh Tuhan. 27Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam rumah ibadat. Ketika Isa, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu, 28Simeon mendukung Dia dan bersyukur kepada Allah lalu berkata:
29‘Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera,
menurut firman-Mu:
30kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu
31yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa,
32satu cahaya yang akan menunjukkan jalan
kepada bangsa-bangsa asing
dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.’
33Ibu bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu. 34Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maryam, ibu anak itu, ‘Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang Israel kelak; Dia menjadi tanda daripada Allah yang akan dibantahi orang 35supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.’
36Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana binti Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Dia berkahwin selama tujuh tahun 37dan menjadi balu selama lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan rumah ibadat, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam. 38Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Baitulmaqdis.
39Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nasaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea. 40Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Kasih kurnia Tuhan ada pada-Nya.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |