Petikan dari Kitab Injil: Matius 1:18-2:23.

1:18Inilah kisah kelahiran Isa al-Masih: Ibu-Nya, Maryam bertunang dengan Yusuf, tetapi sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan, Maryam mengandung melalui kuasa Roh Suci. 19Yusuf, seorang yang takwa dan berakhlak, tidak mahu memalukan Maryam di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam.

20Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata,

‘Hai Yusuf keturunan Daud! Janganlah takut mengambil Maryam sebagai isterimu. Dia mengandung melalui kuasa Roh Suci. 21Maryam akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Isa. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.’

22Segala ini terjadi supaya berlakulah firman Tuhan melalui nabi-Nya:

23 ‘Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, maka Anak itu akan dipanggil Immanuel’ bererti, ‘Allah menyertai kita’ dalam bahasa Ibrani.

24Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maryam. 25Tetapi Yusuf tidak menyentuh Maryam sebagai isterinya hinggalah Maryam melahirkan Anak itu. Yusuf menamai Anak itu Isa.

2:1Isa dilahirkan di Baitlahim, Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Baitulmaqdis. 2Mereka bertanya,

‘Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya.’

3Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Baitulmaqdis. 4Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan guru Taurat berhimpun lalu bertanya, ‘Raja yang dijanjikan oleh Allah itu, di manakah tempat lahirnya?’ 5Mereka menjawab, ‘Di Baitlahim, Yudea. Seorang nabi telah bernubuat tentangnya:

6‘Hai Baitlahim di Yudea, Kau bukanlah yang terkecil antara kota utama Yudea, kerana daripadamu akan muncul seorang Pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.’

7Setelah itu Raja Herodes berjumpa secara rahsia dengan ahli-ahli ilmu bintang itu dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit. 8Raja Herodes menyuruh ahli-ahli ilmu bintang pergi ke Baitlahim dengan perintah demikian:

‘Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya. Apabila kamu menjumpai-Nya beritahulah aku, supaya aku juga dapat pergi menyembah-Nya.’

9Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu. 10Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu. 11Mereka masuk ke situ dan melihat Anak itu dengan ibu-Nya Maryam. Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu mempersembahkan emas, dupa dan mur kepada-Nya. 12Allah memberikan peringatan kepada mereka melalui mimpi supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu mereka pun pulang ke negeri mereka mengikut jalan lain.

13Selepas itu malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata,

‘Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu.’

14Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. 15Mereka tinggal di situ hingga kematian Raja Herodes. Maka berlakulah firman Tuhan menerusi nabi-Nya: ‘Aku memanggil Putera-Ku keluar dari Mesir.’

16Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh ahli-ahli ilmu bintang dari Timur itu, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Baitlahim dan kawasan yang berdekatan. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli ilmu bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul. 17Oleh yang demikian berlakulah apa yang dinubuatkan oleh Yeremia:

18‘Satu suara terdengar di Ramah, rintih ratap dan perkabungan. Rahel meratapi anak-anaknya, tidak mungkin dilipur hatinya,kerana mereka tiada lagi.’

19Selepas kematian Herodes, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi kepada Yusuf di Mesir. 20Kata malaikat itu,

‘Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel, kerana orang yang hendak meragut nyawa Anak itu telah mati.’

21Yusuf pun bangun lalu membawa Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel. 22Tetapi apabila mendengar bahawa Arkelaus telah naik takhta menggantikan bapanya Herodes di Yudea, Yusuf pun takut pergi ke sana. Setelah mendapat peringatan daripada Allah dalam mimpi, dia pun pergi ke Galilea. 23Dia menetap di kota yang bernama Nasaret. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh para nabi: ‘Dia akan dipanggil Orang Nasaret.’

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini