Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 7:14-25.
Darah
14Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Raja sangat degil; dia tidak mahu membenarkan orang Israel pergi. 15Oleh itu pergilah menghadap raja pada waktu pagi, ketika dia turun ke Sungai Nil. Bawalah tongkat yang pernah berubah menjadi ular, dan tunggulah dia di tebing sungai. 16Katakan kepada raja, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, mengutus hamba untuk menyampaikan firman-Nya kepada tuanku supaya membenarkan umat-Nya pergi untuk beribadat kepada-Nya di padang gurun. Tetapi sampai sekarang, tuanku masih tidak mahu mendengarkan firman itu. 17Maka TUHAN berfirman bahawa tuanku akan tahu siapa TUHAN itu daripada apa yang akan dilakukan-Nya. Lihatlah, hamba akan memukul air sungai dengan tongkat ini, lalu airnya akan berubah menjadi darah. 18Ikan akan mati, dan sungai ini akan menjadi begitu busuk sehingga orang Mesir tidak dapat meminum airnya.’ ”
19TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan menghulurkannya ke atas segala sungai, saluran air, dan kolam di Mesir. Air akan berubah menjadi darah, dan di seluruh negeri akan terdapat darah, bahkan di dalam tong kayu dan tempayan batu.”
20Kemudian Musa dan Harun melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Di hadapan raja dan para pegawainya, HarunHarun: Naskhah Ibrani: dia. Ada alasan-alasan yang menyokong bahawa ‘dia’ itu ‘Musa’. mengangkat tongkatnya dan memukul air Sungai Nil. Maka air sungai itu berubah menjadi darah. 21Ikan-ikan di dalam sungai itu mati, dan baunya begitu busuk sehingga orang Mesir tidak dapat meminum air sungai itu. Darah terdapat di seluruh negeri Mesir. 22Kemudian tukang-tukang sihir negeri Mesir juga melakukan perkara seperti itu dengan ilmu sihir mereka, sehingga raja tetap berdegil. Seperti yang telah difirmankan TUHAN, raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun. 23Sebaliknya, raja pulang ke istananya tanpa menghiraukan perkara yang berlaku itu sedikit pun. 24Semua orang Mesir menggali lubang di sepanjang tebing sungai untuk mendapatkan air minum, kerana mereka tidak dapat meminum air sungai itu.
25Tujuh hari telah berlalu sejak TUHAN mengubah air sungai itu menjadi darah.
Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 8:1-32.
Katak
1Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja dan beritahulah dia bahawa TUHAN berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 2Jika engkau menolak, Aku akan memenuhi negerimu dengan katak sebagai hukuman. 3Sungai Nil akan terlalu penuh dengan katak, sehingga katak keluar dari air lalu masuk ke dalam istanamu, ke dalam bilik tidur dan ke atas katilmu, serta ke rumah para pegawaimu dan rakyatmu, bahkan ke dalam ketuhar roti dan tempat adunan roti. 4Katak akan melompat ke atasmu, rakyatmu, dan semua pegawaimu.’ ”
5TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun menghulurkan tongkatnya ke atas sungai, saluran air, dan kolam, supaya katak akan muncul dan memenuhi seluruh tanah Mesir.” 6Harun menghulurkan tongkatnya ke atas air, maka katak-katak muncul sehingga meliputi seluruh negeri itu. 7Tetapi tukang-tukang sihir Mesir juga menggunakan ilmu sihir, dan menyebabkan katak-katak muncul sehingga meliputi seluruh negeri.
8Raja memanggil Musa dan Harun, lalu bertitah, “Berdoalah kepada TUHAN supaya Dia menghapuskan katak-katak ini, maka beta akan membenarkan bangsa kamu pergi, agar mereka dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN.”
9Musa berkata kepada raja, “Hamba bersedia berdoa untuk tuanku. Tentukanlah masanya, lalu hamba akan berdoa untuk tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tuanku akan dibebaskan daripada katak-katak itu, dan tiada lagi yang akan tinggal kecuali katak yang di dalam Sungai Nil.”
10Raja menjawab, “Berdoalah untuk beta esok.”
Musa berkata, “Hamba akan berdoa sebagaimana tuanku minta, maka tuanku akan tahu bahawa tidak ada yang seperti TUHAN, Allah hamba semua. 11Katak-katak itu akan dijauhkan daripada tuanku, rumah-rumah tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tiada lagi katak yang akan tinggal kecuali yang di dalam Sungai Nil.” 12Kemudian Musa dan Harun meninggalkan raja. Musa berdoa kepada TUHAN supaya menghapuskan katak-katak yang didatangkan-Nya kepada raja. 13TUHAN mengabulkan permintaan Musa lalu katak-katak di dalam rumah, di halaman, dan di ladang, semuanya mati. 14Orang Mesir mengumpulkan bangkai-bangkai katak itu sampai bertimbun-timbun, sehingga seluruh negeri berbau busuk. 15Apabila raja nampak bahawa semua katak sudah mati, raja menjadi degil semula. Raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN.
Agas
16Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun memukul tanah dengan tongkatnya, dan debu akan berubah menjadi agas di seluruh negeri Mesir.” 17Oleh itu Harun memukul tanah dengan tongkatnya, lalu debu di seluruh negeri Mesir berubah menjadi agas yang mengerumuni manusia dan haiwan. 18Tukang-tukang sihir cuba menggunakan ilmu sihir mereka untuk mengadakan agas, tetapi tidak berjaya. Agas terdapat di merata tempat. 19Tukang-tukang sihir itu berkata kepada raja, “Allah telah melakukan hal ini!” Tetapi raja masih berdegil dan tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN.
Lalat
20TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, ketika dia pergi ke sungai. Beritahulah dia bahawa TUHAN berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi beribadat kepada-Ku. 21Jika engkau menolak, Aku akan mendatangkan lalat kepadamu, para pegawaimu, dan rakyatmu. Rumah-rumah orang Mesir, bahkan seluruh negeri akan diliputi lalat. 22Tetapi Aku akan membuat kekecualian bagi kawasan Gosyen, tempat umat-Ku tinggal. Lalat tidak akan terdapat di sana. Aku melakukan hal ini supaya engkau tahu bahawa Aku, TUHAN, berkuasa di negeri ini. 23Aku akan membuat perbezaanBeberapa buah terjemahan kuno: perbezaan. Naskhah Ibrani: penebusan. antara umat-Ku dan rakyatmu. Mukjizat ini akan berlaku pada hari esok.’ ” 24TUHAN mendatangkan lalat yang banyak sekali ke istana raja dan ke rumah para pegawainya. Seluruh negeri Mesir sangat menderita kerana lalat-lalat itu.
25Kemudian raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah persembahkan korban kepada Allah kamu di negeri ini.”
26Tetapi Musa menjawab, “Hamba sekalian tidak boleh berbuat begitu, kerana orang Mesir akan tersinggung apabila melihat hamba semua mempersembahkan binatang sebagai korban kepada TUHAN, Allah hamba semua. Jika hamba sekalian menggunakan binatang yang menyinggung perasaan mereka, hamba semua akan direjam sampai mati oleh mereka. 27Hamba sekalian mesti pergi ke padang gurun sejauh tiga hari perjalanan untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah hamba semua, sebagaimana yang telah diperintahkan-Nya.”
28Raja bertitah, “Beta akan membenarkan kamu pergi ke padang gurun untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kamu, asal kamu tidak pergi terlalu jauh. Berdoalah untuk beta.”
29Musa menjawab, “Sebaik saja hamba pergi, hamba akan berdoa kepada TUHAN agar esok lalat-lalat itu meninggalkan tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tetapi janganlah tipu hamba sekalian lagi, dan jangan halang orang Israel pergi untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN.”
30Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN. 31TUHAN mengabulkan doa Musa. Lalat-lalat meninggalkan raja, para pegawai, dan rakyatnya; tiada seekor pun yang tertinggal. 32Tetapi kali ini pun raja berdegil, dan tidak mahu membenarkan bangsa itu pergi.
Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 9:1-35.
Ternakan Mati
1TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 2Jika engkau masih tidak mahu membenarkan mereka pergi, 3Aku akan menghukum engkau. Aku akan mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada semua ternakanmu: kuda, keldai, unta, lembu, domba, dan kambing. 4Aku akan membezakan ternakan orang Israel dengan ternakan orang Mesir. Seekor pun ternakan orang Israel tidak akan mati. 5Aku, TUHAN telah menetapkan hari esok untuk melaksanakan hal ini.’ ”
6Pada keesokan harinya TUHAN melakukan seperti yang difirmankan-Nya, lalu semua ternakan orang Mesir mati, tetapi ternakan orang Israel tidak ada yang mati. 7Raja menanyakan apa yang telah berlaku, lalu raja diberitahu bahawa ternakan orang Israel tidak seekor pun yang mati. Namun, raja masih berdegil dan tidak mahu membenarkan orang Israel pergi.
Bisul
8Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah beberapa genggam abu dari relau. Musa harus menghamburkan abu itu ke udara di hadapan raja. 9Abu itu akan tersebar seperti debu halus ke seluruh tanah Mesir. Abu itu akan menimbulkan bisul yang pecah menjadi luka bernanah pada manusia dan binatang.” 10Oleh itu Musa dan Harun mengambil abu dari relau dan berdiri di hadapan raja. Musa menghamburkan abu itu ke udara, lalu abu itu menimbulkan bisul yang pecah menjadi luka bernanah pada manusia dan binatang. 11Tukang-tukang sihir tidak dapat bertemu dengan Musa kerana mereka diliputi bisul seperti orang Mesir yang lain. 12Tetapi TUHAN menyebabkan raja berdegil, dan sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN, raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun.
Hujan Batu
13Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 14Kali ini Aku akan menghukum bukan hanya para pegawai dan rakyatmu, tetapi engkau juga, agar engkau tahu bahawa tiada sesiapa pun yang seperti Aku di seluruh dunia. 15Jika Aku telah menghukum engkau dan rakyatmu dengan penyakit, tentu kamu sudah binasa sama sekali. 16Tetapi Aku membiarkan engkau hidup untuk menunjukkan kuasa-Ku kepadamu, supaya nama-Ku termasyhur di seluruh dunia. 17Namun engkau masih angkuh dan tidak mahu membenarkan umat-Ku pergi. 18Kira-kira waktu ini esok, Aku akan menurunkan hujan batu yang lebat, yang belum pernah berlaku sepanjang sejarah negeri Mesir. 19Sekarang berikanlah perintah supaya ternakan dan segala kepunyaanmu yang berada di luar dibawa ke tempat terlindung. Semua manusia dan ternakan yang berada di luar dan tidak terlindung akan mati ditimpa hujan batu.’ ” 20Beberapa orang antara pegawai raja takut kerana firman TUHAN itu. Oleh itu, mereka membawa abdi dan ternakan mereka masuk ke dalam rumah supaya terlindung. 21Tetapi para pegawai yang lain tidak mempedulikan firman TUHAN dan membiarkan abdi serta ternakan mereka di luar.
22Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, lalu hujan batu akan turun di serata tanah Mesir. Hujan itu akan menimpa manusia, ternakan, dan segala tumbuhan di padang.” 23Oleh itu, Musa mengangkat tongkatnya ke arah langit, lalu TUHAN mendatangkan guruh dan hujan batu; kilat pun menyambar ke tanah. TUHAN menurunkan 24hujan batu yang lebat, dan kilat menyambar ke sana-sini. Itulah hujan batu yang paling dahsyat yang pernah berlaku sepanjang sejarah negeri Mesir. 25Di seluruh negeri Mesir, hujan batu memusnahkan segala sesuatu yang berada di luar, termasuk semua manusia dan ternakan. Hujan batu itu memusnahkan segala tumbuhan di padang dan menumbangkan semua pokok. 26Hanya kawasan Gosyen, tempat tinggal orang Israel, tidak ditimpa hujan batu.
27Kemudian raja memanggil Musa dan Harun, lalu bertitah, “Kali ini beta telah berdosa. TUHAN memang yang benar; beta dan rakyat beta bersalah. 28Berdoalah kepada TUHAN. Kami sudah cukup menderita kerana guruh dan hujan batu ini. Beta berjanji untuk membenarkan kamu pergi. Kamu tidak usah tinggal di sini lagi.”
29Musa berkata kepada raja, “Sebaik saja hamba keluar dari kota, hamba akan berdoa kepada TUHAN sambil mengangkat tangan. Guruh akan berhenti dan hujan batu akan reda, supaya tuanku tahu bahawa bumi ini milik TUHAN. 30Tetapi hamba tahu bahawa tuanku dan para pegawai tuanku belum takut akan TUHAN Allah.”
31Tanaman rami dan barli musnah, kerana barli sudah matang dan rami sedang berbunga, 32tetapi gandum tidak musnah kerana belum matang.
33Kemudian Musa meninggalkan raja dan pergi ke luar kota. Di situ dia berdoa kepada TUHAN dengan mengangkat tangan, lalu guruh, hujan batu, dan hujan berhenti. 34Apabila raja melihat apa yang telah terjadi, raja berdosa lagi. Raja dan para pegawainya tetap berdegil. 35Sebagaimana yang difirmankan TUHAN melalui Musa, raja tidak mahu membenarkan orang Israel pergi.
Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 10:1-29.
Belalang
1Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja. Aku telah menyebabkan dia dan para pegawainya berdegil, agar Aku dapat melakukan mukjizat-mukjizat ini di tengah-tengah mereka, 2dan supaya kamu dapat memberitahu anak cucu kamu bagaimana Aku membodohkan orang Mesir, ketika Aku melakukan mukjizat-mukjizat. Kamu semua akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”
3Oleh itu, Musa dan Harun pergi menghadap raja lalu berkata kepadanya, “TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Berapa lama lagi engkau tidak mahu tunduk kepada-Ku? Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 4Jika engkau masih menolak, maka esok Aku akan mendatangkan belalang ke negerimu. 5Seluruh permukaan tanah akan diliputi belalang yang sangat banyak. Belalang akan memakan segala tanaman dan juga pokok yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu. 6Belalang akan memenuhi istanamu dan rumah para pegawaimu, serta rumah segenap rakyatmu. Bencana ini akan lebih dahsyat daripada apa yang pernah dialami oleh nenek moyangmu.’ ” Kemudian Musa berpaling lalu pergi.
7Para pegawai raja berkata kepada raja, “Berapa lama lagi orang itu harus menyusahkan kita? Biarkanlah orang Israel pergi supaya mereka dapat beribadat kepada TUHAN, Allah mereka. Lihatlah, negeri kita ini sudah hancur!”
8Oleh itu Musa dan Harun dipanggil semula untuk menghadap raja. Raja bertitah kepada mereka, “Kamu boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu. Tetapi siapakah antara kamu yang akan pergi?”
9Musa menjawab, “Kami semua akan pergi, termasuk anak-anak serta orang tua. Anak lelaki dan perempuan, semua domba, kambing, dan lembu akan dibawa kerana kami mesti mengadakan suatu perayaan besar untuk menghormati TUHAN.”
10Raja bertitah kepada mereka, “Beta bersumpah demi TUHAN bahawa beta tidak akan membenarkan kamu membawa kaum wanita dan anak-anak! Jelaslah bahawa kamu merancang pemberontakan. 11Tidak! Hanya kaum lelaki boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, jika hal itu yang kamu mahu.” Selepas itu, Musa dan Harun diusir keluar dari istana.
12Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Hulurkan tanganmu ke atas tanah Mesir untuk mendatangkan belalang. Belalang akan datang untuk memakan segala tumbuhan yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu.” 13Oleh itu Musa mengangkat tongkatnya, dan TUHAN menyebabkan angin timur bertiup ke negeri itu sepanjang hari dan sepanjang malam. Menjelang pagi, angin itu telah membawa belalang. 14Belalang datang dalam kawanan-kawanan yang besar sehingga meliputi seluruh negeri. Orang belum pernah melihat belalang sebegitu banyak, dan selepas itu pun hal seperti itu tidak terjadi lagi. 15Belalang meliputi permukaan tanah sampai tanah kelihatan hitam. Belalang memakan segala sesuatu yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu, termasuk semua buah di pokok. Di seluruh Mesir, tidak ada sesuatu pun yang hijau tertinggal pada pokok ataupun tumbuhan.
16Raja segera memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Beta telah berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu dan terhadap kamu. 17Ampunkanlah dosa beta sekali ini saja, dan berdoalah kepada TUHAN, Allah kamu agar Dia menjauhkan hukuman yang dahsyat ini daripada beta.” 18Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN. 19Oleh itu TUHAN mengubah arah angin timur sehingga menjadi angin barat yang sangat kencang. Belalang-belalang ditiup oleh angin itu dan dibawa ke Laut Gelagah,Laut Gelagah, maka tiada seekor belalang pun yang tertinggal di seluruh tanah Mesir. 20Tetapi TUHAN menyebabkan raja tetap berdegil, dan raja tidak membenarkan umat Israel pergi.
Kegelapan
21TUHAN berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, maka kegelapan yang pekat akan meliputi seluruh tanah Mesir.” 22Musa mengangkat tangannya ke arah langit, lalu kegelapan yang pekat meliputi seluruh tanah Mesir selama tiga hari. 23Orang Mesir tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun yang keluar dari rumah sepanjang masa itu. Tetapi tempat tinggal orang Israel tetap terang.
24Kemudian raja memanggil Musa dan bertitah, “Kamu boleh pergi dan beribadat kepada TUHAN. Isteri dan anak-anak kamu juga boleh pergi bersama dengan kamu, tetapi kamu tidak boleh membawa domba, kambing, dan lembu kamu.”
25Musa menjawab, “Jika demikian, tuanku mesti menyediakan ternakan sebagai korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN,Korban untuk menyenangkan hati TUHAN: Harfiah: korban bakar. Lihat Kamus. Allah hamba sekalian. 26Hamba semua mesti membawa semua ternakan; seekor pun tidak boleh ditinggalkan. Hamba sekalian mesti memilih ternakan yang akan dipersembahkan kepada TUHAN, Allah hamba semua. Selepas hamba sekalian tiba di sana, barulah hamba semua tahu ternakan mana yang akan dipersembahkan.”
27TUHAN menyebabkan raja berdegil sehingga raja tidak mahu membenarkan orang Israel pergi. 28Raja bertitah kepada Musa, “Pergilah dari sini! Jangan menghadap beta lagi! Jika engkau menghadap beta lagi, engkau akan mati.”
29“Seperti titah perintah tuanku,” jawab Musa, “hamba tidak akan menghadap tuanku lagi.”
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |
Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…
Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…
Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…
Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…
Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…
Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…