Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 5:1-24.

Musa dan Harun Menghadap Raja

1Kemudian Musa dan Harun pergi menghadap raja Mesir dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, Allah umat Israel, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat beribadat kepada-Ku di padang gurun.’ ”

2“Siapakah TUHAN itu?” tanya raja. “Mengapakah beta harus mendengarkan dia dan membenarkan orang Israel pergi? Beta tidak kenal akan TUHAN itu, dan beta tidak akan membenarkan orang Israel pergi.”

3Musa dan Harun berkata, “Allah orang Ibrani telah menampakkan diri kepada hamba berdua. Benarkanlah hamba sekalian pergi ke padang gurun sejauh tiga hari perjalanan untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah hamba semua. Jika hamba sekalian tidak melakukan hal ini, Dia akan membunuh hamba semua dengan penyakit atau peperangan.”

4Raja bertitah kepada Musa dan Harun, “Mengapa kamu menyebabkan semua orang itu melalaikan pekerjaan mereka? Suruhlah abdi-abdi itu bekerja! 5Bangsa kamu sudah lebih banyak daripada orang Mesir. Sekarang kamu mahu mereka berhenti bekerja!”

6Pada hari itu juga raja Mesir memberikan perintah kepada pengerah-pengerah abdi berbangsa Mesir dan mandur-mandur berbangsa Israel. Raja bertitah, 7“Jangan berikan jerami kepada bangsa itu untuk membuat batu bata. Biarlah mereka pergi mencarinya sendiri. 8Tetapi suruhlah mereka membuat batu bata sebanyak dahulu; jangan kurangkan bilangannya walau seketul pun. Mereka tidak mempunyai cukup pekerjaan, itulah sebabnya mereka minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada Allah mereka. 9Paksalah umat itu bekerja lebih keras lagi, supaya mereka sibuk dengan pekerjaan dan tidak mempunyai masa untuk mendengar cerita-cerita bohong.”

10Pengerah-pengerah abdi berbangsa Mesir dan mandur-mandur berbangsa Israel keluar lalu berkata kepada orang Israel, “Raja memberikan perintah bahawa kamu tidak diberikan jerami lagi. 11Kamu sendiri mesti pergi mencari jerami di mana sahaja kamu boleh mendapatinya. Tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.” 12Oleh itu orang Israel menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk mencari jerami. 13Para pengerah abdi terus mendesak agar setiap hari orang Israel membuat batu bata sebanyak yang dibuat pada masa mereka diberikan jerami dahulu. 14Pengerah-pengerah abdi memukul mandur-mandur berbangsa Israel yang telah ditugaskan untuk mengawasi pekerjaan itu. Mereka bertanya, “Mengapa kamu tidak membuat batu bata sebanyak dahulu?”

15Kemudian mandur-mandur itu pergi menghadap raja dan mengadu, “Mengapakah tuanku melakukan hal ini kepada hamba sekalian? 16Hamba semua tidak diberikan jerami, namun hamba sekalian dipaksa membuat batu bata. Sekarang, hamba semua dipukul pula, padahal pegawai-pegawai tuanku itulah yang bersalah.”

17Raja menjawab, “Kamu memang malas dan tidak mahu bekerja. Itulah sebabnya kamu minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN. 18Sekarang pergilah bekerja lagi. Jerami tidak akan diberikan kepada kamu, tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.” 19Mandur-mandur itu sedar bahawa mereka dalam kesusahan apabila diberitahu bahawa setiap hari mereka mesti tetap membuat batu bata sebanyak dahulu.

20Apabila mandur-mandur keluar dari istana, mereka bertemu dengan Musa dan Harun, yang sedang menunggu mereka. 21Mandur-mandur itu berkata kepada Musa dan Harun, “TUHAN melihat apa yang telah kamu lakukan. Dia akan menghukum kamu! Kamulah yang menyebabkan raja dan pegawai-pegawainya membenci kami. Kamu telah memberi mereka alasan untuk membunuh kami.”

Musa Bersungut kepada TUHAN

22Kemudian Musa menghadap TUHAN lagi dan berkata, “Ya Tuhan, mengapa Engkau menganiaya umat-Mu? Mengapa Engkau menghantar aku ke sini? 23Sejak aku menghadap raja dan berkata-kata atas nama-Mu, raja telah menganiaya umat-Mu. Engkau pula tidak melakukan sesuatu pun untuk menolong mereka!”

24Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa. “Sekarang engkau akan melihat apa yang akan Aku lakukan kepada raja Mesir. Aku akan memaksa dia membenarkan umat-Ku pergi. Sesungguhnya, Aku akan memaksa dia mengusir mereka keluar dari negerinya.”

 

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 6:1-12.

Allah Memanggil Musa

1Allah berfirman kepada Musa, “Akulah TUHAN. 2Aku telah menampakkan diri kepada Abraham, Ishak, dan Yakub sebagai Allah Yang Maha Kuasa, tetapi Aku tidak memperkenalkan diri kepada mereka dengan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. 3Aku juga telah membuat perjanjian dengan mereka. Aku berjanji untuk memberi mereka tanah Kanaan, tanah tempat mereka dahulu tinggal sebagai orang asing. 4Aku telah mendengar keluhan orang Israel yang diperhamba oleh bangsa Mesir, lalu Aku mengingat perjanjian-Ku itu. 5Oleh itu, beritahulah orang Israel bahawa Aku berfirman kepada mereka, ‘Akulah TUHAN; Aku akan membebaskan kamu daripada perhambaan orang Mesir. Aku akan menggunakan kuasa-Ku yang besar untuk menyelamatkan kamu dan untuk menjatuhkan hukuman berat ke atas bangsa Mesir. 6Aku akan menjadikan kamu umat-Ku sendiri, dan Aku akan menjadi Allah kamu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, apabila Aku membebaskan kamu daripada perhambaan di negeri Mesir. 7Aku akan membawa kamu masuk ke negeri yang telah Aku janjikan dengan sumpah untuk diberikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai milik kamu sendiri. Akulah TUHAN.’ ” 8Musa menyampaikan semua firman itu kepada orang Israel, tetapi mereka tidak mahu mendengarkan kata-katanya, kerana perhambaan yang kejam itu telah menyebabkan mereka putus asa.

9Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, 10“Pergilah menghadap raja Mesir dan katakan bahawa dia mesti membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya.”

11Tetapi Musa menjawab, “Orang Israel sendiri tidak mahu mendengarkan kata-kataku, apalagi raja Mesir. Aku tidak pandai berkata-kata.”

12Tetapi TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Beritahulah orang Israel dan raja Mesir bahawa Aku telah memerintah engkau untuk memimpin orang Israel keluar dari Mesir.”

 

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 6:27-29.

TUHAN Memberikan Perintah kepada Musa dan Harun

27Ketika TUHAN berfirman kepada Musa di negeri Mesir, 28TUHAN berfirman, “Akulah TUHAN. Beritahulah raja Mesir segala sesuatu yang telah Aku firmankan kepadamu.” 29Tetapi Musa berkata, “Engkau tahu bahawa aku tidak pandai berkata-kata. Mana mungkin raja mahu mendengarkan kata-kataku?”

 

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 7:1-13.

1TUHAN berfirman kepada Musa, “Dengarlah, Aku akan menjadikan engkau seperti Allah di hadapan raja, dan Harun, saudaramu akan bercakap kepadanya sebagai nabimu. 2Beritahulah Harun segala perintah-Ku kepadamu. Suruhlah dia memberitahu raja supaya membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya. 3Tetapi Aku akan menyebabkan raja itu berdegil, dan dia tidak akan mendengar kata-kata kamu, sungguhpun Aku mendatangkan banyak bencana di Mesir. 4Kemudian Aku akan menghukum negeri itu dengan dahsyat, lalu membawa umat-Ku Israel keluar dari Mesir. 5Kemudian orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN apabila Aku menghukum mereka dan membawa orang Israel keluar dari negeri Mesir.” 6Musa dan Harun melakukan apa yang diperintahkan oleh TUHAN. 7Musa berumur 80 tahun dan Harun 83 tahun ketika mereka menghadap raja Mesir.

Tongkat Harun

8TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, 9“Jika raja minta kamu melakukan keajaiban sebagai bukti, suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan mencampakkan tongkat itu di hadapan raja. Tongkat itu akan berubah menjadi ular.” 10Oleh itu Musa dan Harun pergi menghadap raja dan melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan raja dan para pegawainya, lalu tongkat itu berubah menjadi ular. 11Selepas itu raja memanggil orang yang berilmu dan para tukang sihir, lalu dengan ilmu sihir, mereka melakukan perkara yang sama. 12Mereka mencampakkan tongkat-tongkat mereka, lalu tongkat-tongkat itu berubah menjadi ular. Tetapi tongkat Harun menelan tongkat-tongkat mereka. 13Namun raja tetap berdegil dan tidak mahu mendengar kata-kata Musa dan Harun, seperti yang sudah difirmankan TUHAN.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini