Petikan dari Kitab Taurat Surah Yesaya 42:1-4.

Hamba TUHAN

1TUHAN berfirman,

“Inilah hamba-Ku, yang telah Kukuatkan; seorang yang telah Kupilih, dan yang menyenangkan hati-Ku.

Kuasa-Ku telah Kuberikan kepadanya, dia akan membawa keadilan kepada setiap bangsa.

2Dia tidak akan berteriak ataupun menyaringkan suaranya, dan suaranya tidak akan terdengar di jalan.

3Dia tidak akan mematahkan buluh halus yang terkulai, ataupun memadamkan pelita yang kelap-kelip.

Dia akan mendatangkan keadilan kepada semua orang.

4Dia tidak akan kehilangan semangat atau putus asa sehingga dia menegakkan keadilan di bumi.

Negeri-negeri yang jauh menanti-nantikan ajarannya.”

 

Petikan dari Kitab Taurat Surah Yesaya 49:1-6.

Israel, Cahaya yang Menerangi Bangsa-Bangsa

1Dengarkan aku, hai penduduk pulau-pulau, penduduk negeri-negeri yang jauh!

Sebelum aku dilahirkan, TUHAN telah memilih aku, dan melantik aku menjadi hamba-Nya.

2Dia membuat kata-kataku tajam seperti pedang, Dia melindungi aku dengan tangan-Nya sendiri.

Dia menjadikan aku seperti anak panah yang tajam dan siap untuk digunakan.

3Dia berfirman kepadaku,

“Hai Israel, kamu hamba-Ku; kerana kamu, orang akan memuji Aku.”

4Aku berkata,

“Aku telah berusaha, tetapi sia-sia saja! Aku telah menghabiskan tenagaku tetapi tidak mencapai apa-apa.”

Namun aku percaya kepada TUHAN untuk membela perkaraku; Allah akan memberi aku ganjaran untuk usahaku.

5Sebelum aku lahir, TUHAN telah melantik aku; Dia menjadikan aku hamba-Nya untuk membawa kembali umat-Nya, untuk mengumpulkan Israel, umat-Nya.

TUHAN memberi aku kehormatan, Allahku adalah sumber kekuatanku.

6TUHAN berfirman kepadaku,

“Tugas yang lebih besar menanti engkau, hai hamba-Ku.

Bukan sahaja engkau akan memulihkan kemuliaan umat Israel yang terselamat, tetapi Aku juga akan menjadikan engkau cahaya untuk menerangi bangsa-bangsa supaya seluruh dunia dapat diselamatkan.”

 

Petikan dari Kitab Taurat Surah Yesaya 50:4-9.

Ketaatan Hamba TUHAN

4TUHAN Raja telah mengajar aku tentang apa yang harus kukatakan, supaya aku dapat menguatkan orang yang letih lesu.

Tiap-tiap pagi Dia membangkitkan keinginanku untuk mendengar ajaran-Nya bagiku.

5TUHAN telah memberi aku pengertian, aku tidak memberontak atau berpaling daripada-Nya.

6Aku memberikan belakangku kepada mereka yang memukul aku, dan pipiku kepada orang yang mencabut janggutku.

Aku tidak memalingkan mukaku ketika aku dihina dan diludahi.

7Namun hinaan mereka tidak dapat menyakiti aku, kerana TUHAN Raja menolong aku.

Aku menguatkan hatiku supaya tabah.

Aku tahu aku tidak akan dipermalukan, 8kerana Allah menyertai aku.

Dia akan membuktikan bahawa aku tidak bersalah. Beranikah sesiapa menuduh aku?

Marilah kita ke pengadilan. Biarlah dia mengajukan tuduhan.

9TUHAN Raja sendiri membela aku; siapakah dapat mengatakan aku bersalah?

Semua pendakwaku akan lenyap; mereka akan lenyap seperti kain usang dimakan gegat.

 

Petikan dari Kitab Taurat Surah Yesaya 52:13-15.

Hamba yang Menderita

13TUHAN berfirman,

“Hamba-Ku akan berjaya dalam tugasnya; dia akan disanjung tinggi.disanjung tinggi; atau disanjung dan ditinggikan lagi.

14Dahulu banyak orang terperanjat melihat dia, kerana rupanya dicacati sehingga tidak lagi seperti rupa manusia.

15Tetapi sekarang bangsa-bangsa hairan melihat dia, raja-raja terpegun kerana kagum.

Mereka akan melihat dan memahami perkara-perkara yang belum pernah diketahui mereka.”

 

Petikan dari Kitab Taurat Surah Yesaya 53:1-12.

1Bangsa itu menjawab,

“Siapakah yang percaya akan laporan kami?

Kepada siapakah kuasa TUHAN dinyatakan?

2TUHAN menghendaki hamba-Nya membesar seperti tunas yang tumbuh di tanah gersang.

Rupanya tidak elok ataupun tampan, sehingga kita tidak tertarik kepadanya.

Tiada apa-apa padanya yang menarik hati, yang membuat kita mengingini dia.

3Kita menghina dan menolak dia, dia menderita kesengsaraan dan kesakitan.

Tidak seorang pun hendak memandang dia; kita pun tidak mempedulikan dia.

4Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritanya.

Selama ini kita menyangka bahawa penderitaannya itu hukuman Allah baginya.

5Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita.

Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya.

6Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing-masing mengikut jalan sendiri.

Tetapi TUHAN menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita.

7Dia diperlakukan dengan kasar, tetapi dia menanggungnya dengan sabar;

Dia tidak membuka mulutnya seperti anak domba yang dibawa ke pembantaian, atau induk domba yang dicukur bulunya.

8Dia ditahan dan dihakimi, lalu digiring untuk dihukum mati.

Tidak seorang pun mempedulikannya; dia dihukum mati kerana dosa bangsa kita.

9Dia dikuburkan bersama-sama orang jahat, dia dikebumikan bersama-sama orang kaya, walaupun dia tidak pernah melakukan jenayah dan tidak pernah berdusta.”

10TUHAN berfirman,

“Penderitaannya memang menurut kehendak-Ku; dia menyerahkan nyawanya sebagai korban bagi pengampunan dosa.

Oleh itu dia akan panjang umur; dia akan melihat keturunannya, dan melalui dia maksud-Ku akan terlaksana.

11Selepas penderitaan, dia akan bersukacita semula; dia akan tahu bahawa penderitaannya tidak sia-sia.

Hamba-Ku yang setia dan yang Aku perkenankan akan menanggung hukuman banyak orang, dan kerana dia, Aku akan mengampuni mereka.

12Oleh itu Aku akan memberi dia kedudukan yang mulia, kedudukan di kalangan orang besar dan kenamaan.

Dia rela mengorbankan nyawanya, dan dia dianggap sebagai orang jahat.

Dia menanggung dosa banyak orang, dan berdoa agar mereka diampuni.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini