Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 19:1-22.

Orang Israel di Gunung Sinai

1-2Kemudian orang Israel meninggalkan Rafidim. Pada hari pertama bulan ketiga setelah mereka keluar dari Mesir, mereka sampai di padang gurun Sinai. Mereka memasang khemah di situ, di kaki Gunung Sinai. 3Musa naik ke atas gunung itu untuk bertemu dengan Allah.

TUHAN memanggil Musa dari gunung itu dan menyuruh dia memberitahu orang Israel, keturunan Yakub, 4“Kamu telah melihat apa yang Aku lakukan kepada orang Mesir, dan bagaimana Aku membawa kamu kepada-Ku di tempat ini, seperti seekor burung helang yang membawa anaknya di atas sayapnya. 5Sekarang, jika kamu taat kepada-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat-Ku sendiri. Seluruh bumi ini kepunyaan-Ku, tetapi kamu akan menjadi umat pilihan-Ku. 6Kamu akan menjadi umat yang ditahbiskan untuk diri-Ku sendiri, dan kamu akan mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.” 7Oleh itu Musa turun, lalu memanggil para pemimpin umat supaya berkumpul. Kemudian dia memberitahu mereka segala perkara yang diperintahkan TUHAN kepadanya. 8Segenap umat menjawab dengan serentak, “Kami akan melakukan segala yang telah difirmankan TUHAN.” Musa melaporkan hal ini kepada TUHAN.

9TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan datang kepadamu dalam awan yang tebal agar umat dapat mendengar Aku berfirman kepadamu; mulai saat itu mereka akan sentiasa percaya kepadamu.”

Musa menyampaikan jawapan umat kepada TUHAN. 10TUHAN berfirman kepadanya, “Pergilah menemui umat dan suruh mereka menyucikan diri pada hari ini dan esok. Mereka mesti membasuh pakaian mereka 11dan siap pada hari lusa. Pada hari itu Aku akan turun ke Gunung Sinai. Di situ segenap umat akan dapat melihat Aku. 12Buatlah sempadan di sekeliling gunung itu supaya umat tidak melintasinya. Beritahulah mereka supaya tidak naik ke gunung itu ataupun mendekatinya. Sesiapa yang melintasi sempadan itu akan dihukum mati. 13Orang itu mesti direjam ataupun dipanah, dan tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun. Peraturan ini berlaku kepada manusia dan binatang; semua yang melintasi sempadan itu tidak boleh dibiarkan hidup. Tetapi apabila kedengaran bunyi panjang dari trompet, umat harus mendaki gunung.”

14Kemudian Musa turun dari gunung dan menyuruh umat bersiap untuk beribadat. Mereka membasuh pakaian, 15lalu Musa berkata kepada mereka, “Bersiaplah untuk hari lusa, dan sementara ini kamu tidak boleh bersetubuh.”

16Pada hari yang ketiga, pada waktu pagi, ada guruh dan kilat di atas gunung. Awan yang tebal kelihatan di situ, dan bunyi trompet yang kuat sekali kedengaran. Segenap umat di perkhemahan itu gementar ketakutan. 17Musa membawa mereka keluar dari perkhemahan untuk bertemu dengan Allah, lalu mereka berdiri di kaki gunung. 18Seluruh Gunung Sinai diliputi asap kerana TUHAN telah turun ke atasnya di dalam api. Asap itu naik berkepul-kepul seperti asap relau, dan seluruh gunung itu bergoncang dengan kuat.seluruh gunung itu bergoncang dengan kuat; atau semua orang itu gementar dengan kuat. 19Bunyi trompet semakin kuat. Musa berkata-kata dan Allah menjawabnya dengan guruh. 20TUHAN turun di atas puncak Gunung Sinai, lalu memanggil Musa ke atas gunung itu. Musa mendaki gunung, 21lalu TUHAN berfirman kepadanya, “Turunlah dan ingatkan umat supaya tidak melintasi sempadan itu untuk melihat Aku. Jika mereka melintasinya, banyak orang akan mati. 22Imam-imam sekalipun yang datang menghampiri Aku mesti menyucikan diri. Jika tidak, Aku akan menghukum mereka.”

23Musa berkata kepada TUHAN, “Umat tidak dapat naik ke sini, kerana Engkau telah menyuruh kami menganggap gunung ini suci dan membuat sempadan di sekelilingnya.”

24TUHAN menjawab, “Turunlah, lalu baliklah ke sini bersama-sama Harun. Tetapi para imam dan umat yang lain tidak boleh melintasi sempadan itu untuk datang kepada-Ku. Jika mereka melintasinya, Aku akan menghukum mereka.” 25Kemudian Musa turun untuk menemui umat dan memberitahu mereka apa yang telah difirmankan TUHAN.

 

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 20:1-21.

Sepuluh Hukum Allah

1Kemudian Allah berfirman, dan inilah firman-Nya, 2“Akulah TUHAN, Allah kamu yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba.

3Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja.

4Jangan buat patung bagi diri kamu, patung yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi. 5Jangan sujud atau sembah kepada patung apa pun, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu, dan Aku tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Aku juga menghukum keturunan mereka sehingga generasi yang ketiga dan keempat. 6Tetapi Aku menunjukkan kasih-Ku kepada beribu-ribu keturunanberibu-ribu keturunan; atau beribu-ribu. orang yang mengasihi Aku dan taat kepada hukum-Ku.

7Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat kerana Aku TUHAN, Allah kamu, menghukum sesiapa sahaja yang menyalahgunakan nama-Ku.

8Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah hari itu sebagai hari yang suci. 9Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, 10tetapi hari yang ketujuh ialah hari rehat yang ditahbiskan untuk Aku. Pada hari itu satu pun tidak boleh bekerja: sama ada kamu, anak kamu, abdi kamu, ternakan kamu, atau bangsa asing yang tinggal di negeri kamu. 11Dalam masa enam hari Aku, TUHAN, telah menciptakan bumi, langit, laut, dan semua yang ada di dalam segalanya itu, tetapi pada hari yang ketujuh Aku berehat. Itulah sebabnya Aku, TUHAN, memberkati hari Sabat dan mengekhaskannya bagi-Ku.

12Hormatilah bapa dan ibu kamu, supaya kamu panjang umur di tanah yang akan Aku berikan kepada kamu.

13Jangan membunuh.

14Jangan berzina.

15Jangan mencuri.

16Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain.

17Jangan ingini kepunyaan orang lain: rumahnya, isterinya, abdinya, ternakannya, keldainya atau apa-apa pun miliknya.”

Orang Israel Ketakutan

18Apabila orang Israel mendengar bunyi guruh dan trompet, serta melihat kilat dan gunung berasap, mereka gementar ketakutan lalu berdiri jauh dari situ. 19Mereka berkata kepada Musa, “Jika tuan bercakap kepada kami, kami akan mendengar. Tetapi jika Allah berfirman kepada kami, kami akan mati.”

20Musa menjawab, “Jangan takut; Allah datang hanya untuk menguji kamu, supaya kamu tetap taat kepada-Nya dan supaya kamu tidak berdosa.” 21Tetapi umat itu masih berdiri jauh dari situ, dan hanya Musa yang menghampiri awan gelap di tempat Allah berada.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini