Orang Israel diAniaya di Mesir

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 1:1-22.

Orang Israel Dianiaya di Mesir

1Yakub yang juga dinamakan Israel, pergi ke Mesir bersama dengan anak-anaknya dan keluarga masing-masing. Anak-anak Yakub ialah2Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, 3Isakhar, Zebulon, Benyamin, 4Dan, Naftali, Gad, dan Asyer. 5Keturunan Yakub semuanya berjumlah tujuh puluh orang. Yusuf, anak Yakub, sudah berada di Mesir. 6Lama-kelamaan Yusuf dan saudara-saudaranya meninggal, demikian juga semua orang yang seangkatan dengan dia. 7Tetapi keturunan mereka, iaitu orang Israel, mempunyai anak yang banyak. Mereka beranak cucu sangat banyak, dan bilangan mereka bertambah dengan cepat sekali sehingga negeri Mesir penuh dengan mereka.

8Kemudian seorang raja baru, yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah negeri Mesir. 9Raja itu bertitah kepada rakyat, “Orang Israel sangat berbahaya bagi kita, kerana mereka banyak sekali dan lebih kuat daripada kita. 10Sekiranya berlaku peperangan, ada kemungkinan mereka bergabung dengan musuh untuk menentang kita, lalu lari meninggalkan negeri ini. Kita mesti mencari jalan supaya bilangan mereka tidak bertambah lagi.” 11Oleh itu orang Mesir melantik beberapa orang pengerah abdi untuk menindas orang Israel dengan kerja paksa. Orang Israel dipaksa membina kota Pitom dan Raamses yang dijadikan pusat penyimpanan perbekalan bagi raja Mesir. 12Tetapi semakin keras orang Mesir menindas orang Israel, semakin banyak pula bilangan mereka, dan mereka tersebar luas di seluruh negeri itu, sehingga orang Mesir takut kepada mereka. 13Orang Mesir menindas orang Israel dengan kejam, 14dan menyebabkan hidup mereka menderita. Tanpa belas kasihan, orang Israel dipaksa bekerja keras di projek-projek pembinaan dan di ladang-ladang.

15Kemudian raja Mesir memberikan perintah kepada Sifra dan Pua, bidan-bidan yang menolong perempuan Ibrani bersalin. 16Raja Mesir bertitah, “Pada masa kamu menolong perempuan Ibrani bersalin, ingatlah akan hal ini: Jika bayi itu lelaki, bunuhlah dia. Jika bayi itu perempuan, biarkan dia hidup.” 17Tetapi bidan-bidan itu takut akan Allah. Mereka tidak mahu melaksanakan perintah raja, sebaliknya mereka membiarkan bayi lelaki hidup. 18Kemudian raja memanggil bidan-bidan itu dan bertanya, “Mengapa kamu melakukan hal ini? Mengapa kamu membiarkan bayi lelaki hidup?”

19Mereka menjawab, “Perempuan Ibrani tidak seperti perempuan Mesir; perempuan Ibrani melahirkan anak dengan mudah saja. Sebelum bidan tiba, bayi sudah dilahirkan.” 20-21Oleh itu Allah memperlakukan bidan-bidan itu dengan baik dan mengurniakan keturunan kepada mereka, kerana mereka takut akan Allah. Orang Israel pun bertambah banyak dan kuat. 22Kemudian raja Mesir bertitah kepada segenap rakyat, “Tiap-tiap anak lelaki orang Ibrani mesti dibuang ke dalam Sungai Nil, tetapi semua anak perempuan mereka boleh dibiarkan hidup.”

 

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 2:1-15.

Kelahiran Musa

1Pada masa itu seorang lelaki daripada suku Lewi berkahwin dengan seorang perempuan daripada suku itu juga. 2Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki. Apabila dia melihat betapa comelnya bayi itu, dia menyembunyikan bayinya selama tiga bulan. 3Tetapi dia tidak dapat menyembunyikan bayinya lebih lama lagi. Oleh itu dia mengambil sebuah bakul yang dibuat daripada gelagah, lalu dia memakal bakul itu dengan gala-gala dan minyak tar supaya tidak dapat dimasuki air. Dia meletakkan bayinya di dalam bakul itu, lalu menaruhnya di tengah-tengah rumpun gelagah di pinggir sungai. 4Kakak bayi itu berdiri tidak berapa jauh dari situ untuk melihat apa yang akan berlaku kepada bayi itu.

5Pada masa itu puteri raja turun ke sungai untuk bersiram, sementara dayang-dayangnya berjalan-jalan di pinggir sungai. Tiba-tiba puteri raja ternampak bakul di tengah-tengah rumpun gelagah. Puteri raja menyuruh seorang hamba perempuan untuk mengambil bakul itu. 6Puteri raja membuka bakul itu lalu nampak seorang bayi lelaki sedang menangis. Puteri raja berasa kasihan terhadap bayi itu dan berkata, “Inilah seorang daripada bayi Ibrani.”

7Kemudian kakak bayi itu bertanya kepada puteri itu, “Tuan puteri, sudikah tuan puteri sekiranya hamba pergi mendapatkan seorang perempuan Ibrani untuk menyusui bayi ini?”

8Puteri raja menjawab, “Baik, pergilah.” Gadis itu pun pergi dan memanggil ibu bayi itu sendiri. 9Puteri raja berkata kepadanya, “Ambillah bayi ini dan susuilah dia untukku; aku akan mengupah kamu.” Kemudian perempuan itu mengambil bayi itu dan menyusui dia. 10Apabila bayi itu besar, perempuan itu membawanya kepada puteri raja, lalu puteri raja menjadikan dia anak angkatnya. Puteri raja berkata, “Aku menamakan dia Musa, kerana aku telah menarik dia keluar dari air.”

Musa Melarikan Diri ke Midian

11Apabila Musa sudah dewasa, dia keluar untuk melawat orang Ibrani, orang sebangsanya. Dia melihat bagaimana mereka dipaksa melakukan kerja yang berat. Musa juga nampak seorang Mesir memukul seorang Ibrani, orang bangsa Musa sendiri. 12Musa melihat di sekeliling, dan apabila dia nampak bahawa tiada sesiapa pun yang mengawasi dia, dia membunuh orang Mesir itu lalu menyembunyikan mayatnya di dalam pasir. 13Pada keesokan harinya Musa pergi ke sana lagi, lalu nampak dua orang Ibrani bergaduh. Musa bertanya kepada orang yang bersalah, “Mengapa engkau memukul orang sebangsamu sendiri?”

14Orang itu menjawab, “Siapakah yang melantik kamu menjadi pemerintah dan hakim kami? Adakah kamu hendak membunuh aku sebagaimana kamu membunuh orang Mesir itu?” Musa berasa takut dan berfikir, “Tentu orang sudah mengetahui apa yang telah aku lakukan.” 15Apabila raja mendengar tentang peristiwa itu, raja cuba mencari jalan untuk membunuh Musa, tetapi Musa melarikan diri ke negeri Midian dan tinggal di sana.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini