Categories: Article

Perkhabaran Natan dan Pertaubatan Raja Daud

Petikan dari Kitab Taurat: 2 Samuel 12:1-25.

Perkhabaran Natan dan Pertaubatan Raja Daud

1Selepas itu TUHAN mengutus Nabi Natan kepada Raja Daud. Natan menghadap Raja Daud dan berkata, “Ada dua orang lelaki yang tinggal di sebuah kota; yang seorang kaya dan yang seorang lagi miskin. 2Si kaya itu mempunyai banyak lembu dan domba, 3tetapi si miskin itu hanya mempunyai seekor anak domba yang dibelinya. Dia memelihara anak domba itu di dalam rumahnya bersama dengan anak-anaknya. Anak domba itu diberi makan daripada makanan orang itu, minum daripada cawannya, dan tidur di pangkuannya. Pendek kata, anak domba itu diperlakukan seperti anak perempuannya sendiri. 4Pada suatu hari, ada tetamu tiba di rumah si kaya. Si kaya tidak mahu menyembelih domba atau lembunya sendiri supaya dimasak untuk menjamu tetamu itu. Sebaliknya, dia mengambil anak domba si miskin itu supaya dimasak untuk tetamunya.”

5Setelah mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka terhadap perbuatan orang kaya itu, sehingga Raja Daud bertitah, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa si kaya itu mesti dihukum mati! 6Orang itu mesti mengganti anak domba itu empat kali ganda, kerana perbuatannya itu sangat kejam.”

7Natan berkata kepada Raja Daud, “Tuanku adalah orang itu! Inilah yang difirmankan TUHAN, Allah umat Israel, ‘Aku sudah melantik engkau menjadi raja Israel dan menyelamatkan engkau daripada Saul. 8Aku sudah memberikan kerajaan Saul dan isteri-isterinya kepadamu. Bahkan engkau sudah Aku jadikan raja Israel dan Yehuda. Jika semuanya ini masih belum cukup, tentu Aku akan memberi engkau sebanyak dua kali ganda lagi. 9Tetapi mengapa engkau melawan perintah-Ku? Mengapa engkau melakukan perkara yang jahat itu? Engkau sengaja membiarkan Uria terbunuh di medan peperangan. Engkau membiarkan orang Amon membunuh dia, lalu engkau mengambil isterinya! 10Oleh sebab engkau tidak mentaati Aku dan engkau mengambil isteri Uria, maka dalam setiap generasi keturunanmu akan ada yang mati terbunuh. 11Aku bersumpah akan menimpa engkau dengan kesusahan yang disebabkan oleh anggota keluargamu sendiri. Aku akan mengambil isteri-isterimu di hadapan matamu sendiri, lalu Aku akan memberikan mereka kepada orang lain yang akan berseketiduran dengan mereka secara terang-terang. 12Engkau berbuat dosa secara sembunyi-sembunyi, tetapi Aku akan membiarkan hal yang sama terjadi secara terang-terang di hadapan segenap umat Israel.’ ”

13Raja Daud bertitah kepada Natan, “Sesungguhnya beta sudah berdosa terhadap TUHAN.”

Natan menjawab, “TUHAN sudah mengampuni tuanku, dan tuanku tidak akan mati. 14Tetapi kerana tuanku telah menghina TUHAN dengan perbuatan itu, putera tuanku yang baru lahir itu akan mangkat.” 15Kemudian Natan pulang ke rumahnya.

Putera Raja Daud Mangkat

Putera Raja Daud yang dilahirkan oleh Batsyeba, bekas isteri Uria, dibiarkan TUHAN menjadi sakit tenat. 16Raja Daud berdoa kepada Allah bagi kesembuhan anak itu. Raja Daud berpuasa dan setiap malam baginda berbaring di lantai biliknya semalam suntuk. 17Para pegawai istana cuba membujuk Raja Daud supaya bangun, tetapi baginda tidak mahu. Baginda tidak mahu makan bersama-sama mereka. 18Seminggu kemudian anak itu mangkat, dan para pegawai Raja Daud takut untuk memberitahukan hal itu kepada baginda. Kata mereka, “Pada masa anak itu masih hidup, raja tidak mahu mendengarkan kita ketika bercakap dengan raja. Apalagi sekarang sesudah putera raja mangkat! Jangan-jangan raja akan nekad, lalu menyakiti diri baginda sendiri!”

19Apabila Raja Daud nampak mereka berbisik-bisik, baginda sedar bahawa anak itu sudah mangkat. Oleh itu baginda bertanya kepada mereka, “Adakah anak itu sudah mangkat?”

“Ya,” jawab mereka.

20Kemudian Raja Daud bangun dari lantai, mandi, menyikat rambut, dan menukar pakaian. Selepas itu baginda pergi beribadat di Rumah TUHAN. Kemudian baginda kembali ke istana, minta dihidangkan makanan, lalu makan. 21Para pegawai baginda berkata kepadanya, “Hamba sekalian tidak faham, tuanku. Ketika putera tuanku masih hidup, tuanku berpuasa dan menangisi dia. Tetapi sebaik saja dia mangkat, tuanku bangun lalu makan!”

22“Ya,” jawab Raja Daud, “memang beta berpuasa dan menangis ketika anak itu masih hidup kerana beta berfikir, mungkin TUHAN akan mengasihani beta dan membolehkan anak itu hidup. 23Tetapi sekarang, setelah dia mangkat, apakah gunanya beta terus berpuasa? Dapatkah beta menghidupkan dia semula? Nanti beta akan pergi juga ke tempat dia berada, tetapi sekarang dia tidak akan kembali kepada beta.”

Salomo Lahir

24Raja Daud menghibur hati Batsyeba isterinya, lalu berseketiduran dengan dia. Kemudian Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Salomo oleh Raja Daud. TUHAN mengasihi anak itu 25dan menyuruh Nabi Natan menamakan anak itu Yedija, kerana TUHAN mengasihi dia.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini
admin

Recent Posts

Zaman Keemasan Islam (Bahagian 2/2)

Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…

2 years ago

Nasrani dalam Pengertian Islam (Bhg. 1/4)

Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…

2 years ago

Patuh SOP pada Sholat Eid Boleh Diterima?

Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…

3 years ago

Permulaan Transformasi Kalbu Jiwa

Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…

3 years ago

Sisi Gelap Kalbu Jiwa Manusia

Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…

3 years ago

Privacy Policy

Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…

4 years ago