Petikan dari Kitab Taurat Surah 1 Raja-Raja 6:1-38.
Raja Salomo Membina Rumah TUHAN
1Selepas 480 tahun umat Israel meninggalkan Mesir, pada tahun keempat pemerintahan Raja Salomo, pada bulan Ziv, iaitu bulan kedua, Raja Salomo mula membina Rumah TUHAN. 2Ukuran bahagian dalam Rumah TUHAN adalah seperti berikut: panjangnya 27 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 13.5 meter. 3Bilik di sebelah depan panjangnya 4.5 meter, dan lebarnya 9 meter, selebar Rumah itu juga. 4Tembok Rumah TUHAN mempunyai beberapa buah tingkap, yang ukuran sebelah luarnya lebih kecil daripada ukuran sebelah dalam. 5Pada tembok di sebelah luar, iaitu di sebelah kiri, kanan, dan belakang Rumah TUHAN, bilik-bilik yang bertingkat tiga dibina. Setiap tingkat tingginya 2.2 meter. 6Setiap bilik di tingkat bawah, lebarnya 2.2 meter. Setiap bilik di tingkat tengah, lebarnya 2.7 meter. Setiap bilik di tingkat atas, lebarnya 3.1 meter. Tembok Rumah TUHAN di tiap-tiap tingkat lebih tipis daripada tingkat di bawahnya, supaya kasau bilik-bilik tambahan itu dapat dihubungkan dengan tembok Rumah TUHAN tanpa melubangi tembok itu.
7Batu-batu yang dipakai untuk membina Rumah TUHAN disediakan di kuari, sehingga tidak terdengar bunyi penukul, kapak, atau perkakas besi yang lain pada masa Rumah TUHAN dibina.
8Pintu bagi tingkat pertama bilik tambahan itu dibuat di sebelah selatan Rumah TUHAN, dan tingkat-tingkat itu dihubungkan dengan tangga. 9Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN. Dia menggunakan kasau-kasau dan papan daripada kayu sedar untuk siling Rumah TUHAN. 10Bilik tambahan yang bertingkat tiga itu, yang tingginya 2.2 meter bagi setiap tingkat, dibina di sebelah luar tembok Rumah TUHAN dan dihubungkan dengan kasau-kasau daripada kayu sedar.
11TUHAN berfirman kepada Raja Salomo, 12“Jika engkau taat kepada semua hukum dan perintah-Ku, maka bagimu Aku akan lakukan apa yang telah Kujanjikan kepada Daud, bapamu. 13Aku akan tinggal bersama dengan umat-Ku Israel di Rumah yang engkau bina ini, dan Aku tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka.”
Perabot Rumah TUHAN
14Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN. 15Tembok di sebelah dalam Rumah TUHAN dilapisi kayu sedar dari lantai sampai ke siling. Lantainya dibuat daripada kayu sipres. 16Sebuah bilik yang dinamakan Bilik Maha Suci dibina di bahagian belakang Rumah TUHAN. Panjangnya 9 meter, dan disekat dari lantai sampai siling dengan papan daripada kayu sedar. 17Bilik di hadapan Bilik Maha Suci itu panjangnya 18 meter. 18Tembok bahagian dalam seluruh Rumah TUHAN dilapisi kayu sedar, sehingga batu-batu temboknya tidak kelihatan sama sekali. Lapisan itu dihiasi ukiran buah labu dan bunga mekar.
19Di bahagian belakang Rumah TUHAN, sebuah bilik dibina untuk menyimpan Tabut Perjanjian TUHAN. 20Bilik itu panjangnya 9 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 9 meter; seluruhnya dilapisi emas tulen. Mazbah di hadapan bilik itu dilapisi papan daripada kayu sedar. 21Bahagian dalam Rumah TUHAN dilapisi emas, dan rantai emas direntangkan pada pintu masuk bilik itu. Pintu ini juga dilapisi emas. 22Seluruh bahagian dalam Rumah TUHAN dilapisi emas. Demikian juga mazbah di Bilik Maha Suci.
23Dua kerub yang dibuat daripada kayu zaitun diletakkan di Bilik Maha Suci. Setiap kerub tingginya 4.4 meter. 24-26Kedua-duanya sama besar dan serupa. Setiap kerub mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya 2.2 meter. Jarak antara kedua-dua hujung sayap itu 4.4 meter jauhnya. 27Kedua-dua kerub itu diletakkan berdampingan di Bilik Maha Suci, supaya kedua-dua hujung sayapnya saling menyentuh di tengah-tengah bilik, dan hujung kedua-dua sayap yang satu lagi menyentuh dinding. 28Kedua-dua kerub itu dilapisi emas.
29Seluruh dinding bahagian dalam Rumah TUHAN dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. 30Seluruh lantai di dalam Rumah TUHAN dilapisi emas.
31Pada pintu masuk Bilik Maha Suci itu dipasang dua daun pintu daripada kayu zaitun. Bahagian atas ambang pintu itu berbentuk lengkungan yang tajam. 32Daun-daun pintunya dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Daun pintu, kerub, dan pokok palma semuanya dilapisi emas.
33Bingkai pintu masuk ke bilik depan berbentuk segiempat bujur dan dibuat daripada kayu zaitun. 34Ada dua lagi daun pintu yang dapat dilipat, yang dibuat daripada kayu sipres. 35Daun-daun pintu itu dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Semuanya dilapisi emas.
36Sebuah halaman dibina di depan Rumah TUHAN. Halaman ini dikelilingi tembok yang dibuat berlapis-lapis: satu lapis kayu sedar bagi tiap-tiap tiga lapis batu.
37Asas Rumah TUHAN diletakkan pada bulan kedua, iaitu bulan Ziv, pada tahun keempat pemerintahan Raja Salomo. 38Pada bulan kelapan, iaitu bulan Bul, pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Salomo, pembinaan Rumah TUHAN selesai, tepat seperti yang telah dirancangkan. Pembinaan itu memakan masa tujuh tahun.
Petikan dari Kitab Taurat Surah 1 Raja-Raja 7:13-51.
Tugas Huram
13Raja Salomo menyuruh orang menjemput seorang yang bernama Huram, seorang tukang gangsa yang tinggal di kota Tirus. 14Bapa Huram, yang sudah meninggal, berasal dari kota Tirus. Dahulu bapa Huram itu pun seorang tukang gangsa yang handal. Ibu Huram keturunan suku Naftali. Huram seorang tukang yang mahir, pandai, dan berpengalaman. Dia menyambut jemputan Raja Salomo untuk mengurus pembuatan barang-barang daripada gangsa.
Dua Batang Tiang Gangsa
15Huram membuat dua batang tiang gangsa; setiap tiang tingginya 8 meter dan lingkarnya 5.3 meter. 16Dia juga membuat dua buah kepala tiang daripada gangsa; setiap kepala tiang itu tingginya 2.2 meter, dan diletakkan di atas tiang-tiang itu. 17Bahagian atas tiang-tiang itu dihiasi dengan untaian rantai yang dijalin 18dan dua baris buah delima yang dibuat daripada gangsa.
19Kepala tiang itu berbentuk bunga bakung, tingginya 1.8 meter, 20dan diletakkan pada bahagian bulat di atas anyaman rantai tadi. Semuanya ada 200 buah delima dalam dua baris pada setiap kepala tiang yang kedua.
21Huram mendirikan tiang-tiang itu di depan pintu Rumah TUHAN. Tiang yang di sebelah selatan dinamakan Yakhin, dan yang di sebelah utara dinamakan Boas. 22Kepala tiang yang berbentuk bunga bakung dan dibuat daripada gangsa diletakkan di atas tiang.
Demikianlah Huram menyelesaikan pembuatan tiang-tiang itu.
Tangki Gangsa
23Kemudian Huram membuat sebuah tangki bulat daripada gangsa; dalamnya 2.2 meter, garis tengahnya 4.4 meter, dan lilitannya 13.2 meter. 24Dua baris buah labu yang diacu bersama dengan tangki itu menghiasi sekeliling tepi sebelah luar tangki itu. 25Tangki itu diletakkan di atas belakang dua belas lembu jantan yang dibuat daripada gangsa, yang menghadap ke luar: tiga menghadap ke utara, tiga ke barat, tiga ke selatan, dan tiga ke timur. 26Tebal tepi tangki itu 75 milimeter. Tepi tangki itu serupa tepi cawan, yang melengkung ke luar seperti kelopak bunga bakung. Tangki itu dapat menampung air sebanyak 40,000 liter.
Pedati Gangsa
27Huram juga membuat sepuluh buah pedati gangsa. Tiap-tiap pedati itu panjangnya 1.8 meter, lebarnya 1.8 meter dan tingginya 1.3 meter. 28Pedati itu dibuat daripada papan-papan empat segi yang berbingkai, 29dan dihias dengan ukiran gambar singa, lembu jantan, dan kerub. Pada bingkainya, di sebelah atas dan di sebelah bawah gambar singa dan lembu jantan itu, terdapat ukiran timbul rangkaian bunga. 30Tiap-tiap pedati mempunyai empat roda gangsa dengan gandar daripada gangsa juga. Pada keempat-empat penjuru pedati itu terdapat penyangga gangsa untuk menyangga sebuah besen. Penyangga itu dihias dengan ukiran timbul rangkaian bunga. 31Bahagian atas keempat-empat penyangga itu dihubungkan oleh sebuah bingkai bulat untuk menyangga besen itu. Penyangga itu menonjol setinggi 44 sentimeter di atas papan empat segi itu, dan 22 sentimeter di bawahnya. Di sekeliling bingkai itu ada ukiran. 32Roda pedati itu setinggi 66 sentimeter, dan dipasang di bawah papan-papan yang berbingkai. Gandar roda itu seiras dengan pedati. 33Roda pedati itu seperti roda kereta kuda. Gandar roda, rim, jari-jari, dan pusat roda pedati itu semuanya dibuat daripada gangsa. 34Di sebelah bawah keempat-empat sudut setiap pedati, terdapat empat penyangga yang juga seiras dengan pedati itu. 35Di sekeliling bahagian atas pedati itu ada pinggiran selebar 22 sentimeter. Penyangga pedati dan papan-papannya seiras dengan pedati itu. 36Semua penyangga dan papan itu berukir gambar kerub, singa, dan pokok palma pada semua tempat yang dapat diukir, dan juga dihias dengan ukiran timbul rangkaian bunga di sekelilingnya. 37Demikianlah caranya pedati-pedati itu dibuat; semuanya serupa, baik bentuk mahupun ukurannya.
38Huram juga membuat 10 buah besen, sebuah bagi tiap-tiap pedati. Garis tengah setiap besen berukuran 1.8 meter, dan dapat menampung air sebanyak 800 liter. 39Huram meletakkan lima buah pedati itu di bahagian selatan Rumah TUHAN, dan lima buah lagi di bahagian utara. Tangki gangsa itu diletakkannya di sudut sebelah tenggara.
Senarai Perkakas di Rumah TUHAN
40-45Huram juga membuat periuk, penyodok, dan mangkuk. Dia menyelesaikan segala pekerjaannya bagi Raja Salomo untuk digunakan di Rumah TUHAN. Inilah senarai perkakas yang dibuatnya:
2 batang tiang
2 buah kepala tiang yang berbentuk mangkuk yang diletakkan di atas tiang-tiang
Jalinan rantai pada setiap kepala tiang
400 buah delima daripada gangsa yang disusun dalam dua baris di sekeliling jalinan rantai pada setiap kepala tiang
10 buah pedati
10 buah besen
1 buah tangki gangsa
12 lembu jantan daripada gangsa untuk menunjang tangki
Periuk-periuk, belanga-belanga, penyodok-penyodok, dan mangkuk-mangkuk
Semua perkakas Rumah TUHAN yang dibuat oleh Huram bagi Raja Salomo dibuat daripada gangsa yang digilap. 46Sesuai dengan perintah raja, semua perkakas itu dibuat di peleburan logam di antara Sukot dan Sartan, di Lembah Yordan. 47Raja Salomo tidak menimbang perkakas-perkakas gangsa itu, kerana terlalu banyak bilangannya. Oleh itu beratnya tidak diketahui.
48Raja Salomo juga menyuruh orang membuat perabot-perabot emas bagi Rumah TUHAN: mazbah, meja untuk roti yang dipersembahkan kepada Allah, 49sepuluh buah kaki pelita yang diletakkan di hadapan Bilik Maha Suci – lima buah di sebelah selatan dan lima buah di sebelah utara, bunga, pelita, penyepit, 50cawan, alat untuk membersihkan sumbu pelita, mangkuk, pinggan untuk menyimpan kemenyan, perbaraan, engsel untuk pintu Bilik Maha Suci dan pintu-pintu luar Rumah TUHAN. Semua perkakas itu dibuat daripada emas.
51Selepas Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN, baginda menyimpan perak, emas, dan barang-barang lain yang telah ditahbiskan kepada TUHAN oleh Raja Daud, ayahanda baginda. Barang-barang itu disimpan di dalam stor-stor Rumah TUHAN.
Petikan dari Kitab Taurat Surah 1 Raja-Raja 8:1-66.
Tabut Perjanjian Dibawa ke Rumah TUHAN
1Kemudian Raja Salomo menyuruh semua pemimpin suku dan puak Israel menghadapnya di Yerusalem, untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN dari Sion, Kota Daud, ke Rumah TUHAN. 2Mereka semua berkumpul sempena Perayaan Pondok Daun, iaitu dalam bulan ketujuh, dalam bulan Etanim. 3Setelah semua pemimpin itu berkumpul, para imam mengangkat Tabut Perjanjian 4dan membawanya ke dalam Rumah TUHAN. Orang Lewi dan para imam juga memindahkan Khemah TUHAN dan semua perkakasnya ke Rumah TUHAN. 5Raja Salomo dan segenap umat Israel berkumpul di hadapan Tabut Perjanjian, lalu mempersembahkan korban berupa domba dan lembu yang banyak sekali, sehingga tidak terkira bilangannya. 6Selepas itu para imam membawa Tabut Perjanjian ke dalam Rumah TUHAN, dan meletakkannya di Bilik Maha Suci, di bawah patung kerub. 7Sayap kerub-kerub itu terkembang dan menutupi Tabut Perjanjian serta kayu-kayu pengusungnya. 8Kayu pengusung itu panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari arah lain. (Kayu-kayu pengusung itu masih di situ hingga sekarang.) 9Tabut Perjanjian hanya mengandungi dua buah batu yang diletakkan di situ oleh Musa, di Gunung Sinai dahulu, ketika TUHAN membuat perjanjian-Nya dengan umat Israel, selepas mereka keluar dari Mesir.
10Sedang para imam meninggalkan Rumah TUHAN, tiba-tiba Rumah itu dipenuhi awan. 11Awan itu berkilauan dengan cahaya hadirat TUHAN, sehingga mereka tidak dapat masuk kembali untuk menyelenggarakan tugas mereka. 12Kemudian Raja Salomo berdoa,
“Ya TUHAN, Engkau telah menempatkan matahari di langit, namun Engkau lebih suka tinggal dalam kegelapan awan.
13Sekarang aku telah membina sebuah rumah yang megah bagi-Mu, sebagai tempat kediaman-Mu selama-lamanya.”
Titah Ucapan Raja Salomo kepada Rakyat
14Sedang rakyat berkumpul di situ, Raja Salomo berpaling untuk menghadap mereka, lalu memohon Allah memberkati mereka. 15Raja bertitah, “Terpujilah TUHAN, Allah Israel! Dia telah menepati janji yang dibuat-Nya kepada ayahanda beta, Raja Daud, ketika Dia berfirman kepada Raja Daud demikian, 16‘Semenjak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah, tempat beribadat kepada-Ku. Tetapi Aku telah memilih engkau, hai Daud, untuk memerintah umat-Ku.’ ”
17Raja Salomo bertitah lagi, “Ayahanda beta, Raja Daud, bercadang untuk membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel. 18Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, ‘Maksudmu untuk membina sebuah rumah bagi-Ku memang baik, 19tetapi engkau tidak akan membinanya. Anakmu, anakmu sendiri, akan membina rumah-Ku.’
20Sekarang TUHAN telah menepati janji-Nya. Beta telah menggantikan ayahanda beta sebagai raja Israel, dan beta telah membina sebuah rumah sebagai tempat ibadat kepada TUHAN, Allah Israel. 21Beta juga telah menyediakan tempat di dalam Rumah TUHAN untuk Tabut Perjanjian yang mengandungi batu perjanjian antara TUHAN dengan nenek moyang kita, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir.”
Doa Raja Salomo
22Kemudian di hadapan rakyat, Raja Salomo berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya 23lalu berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati. 24Engkau telah menepati janji-Mu kepada ayahandaku, Raja Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan. 25Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji-Mu yang satu lagi kepada ayahandaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada-Mu seperti Raja Daud. 26Oleh itu, ya Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada ayahandaku Raja Daud, hamba-Mu.
27Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah kubina! 28Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku hari ini. 29Lindungilah Rumah ini siang dan malam, tempat yang telah Engkau pilih sebagai tempat beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap tempat ini dan berdoa kepada-Mu. 30Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami.
31Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah, 32dengarkanlah dari syurga, ya TUHAN, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah setimpal dengan perbuatannya dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah.
33Apabila umat-Mu Israel dikalahkan musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni, 34semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka.
35Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini, dan berdoa kepada-Mu dengan rendah hati, 36semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa raja dan rakyatnya, orang Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar. Selepas itu, ya TUHAN, turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya.
37Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang musuh, atau penyakit, 38dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini, 39dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan ampunilah dan tolonglah mereka. Hanya Engkau yang tahu isi hati manusia. Oleh itu, perlakukanlah tiap-tiap orang setimpal dengan perbuatannya, 40supaya umat-Mu sentiasa taat kepada-Mu dan tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami.
41-42Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang kebesaran-Mu, dan juga tentang mukjizat-mukjizat yang telah Engkau lakukan bagi umat-Mu, lalu datang menyembah-Mu dan berdoa di Rumah ini, 43dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu.
44Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, 45dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan.
46Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu – kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa – dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh, 47dengarkanlah umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya TUHAN. 48Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, 49dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah permintaan mereka dan kasihanilah mereka. 50Ampunkanlah semua dosa dan pemberontakan mereka terhadap-Mu, dan buatlah musuh mereka mengasihani mereka. 51Mereka umat-Mu sendiri, yang Engkau bawa keluar dari Mesir, tempat mereka diseksa.
52Ya TUHAN Raja, semoga Engkau sentiasa berkenan kepada umat-Mu Israel dan raja mereka. Dengarkanlah doa mereka setiap kali mereka berseru kepada-Mu meminta tolong. 53Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa untuk menjadi umat-Mu sendiri; itulah firman-Mu kepada mereka melalui hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir.”
Doa Penutup
54Demikianlah Raja Salomo berdoa kepada TUHAN sambil berlutut dan mengangkat tangan. Selepas itu baginda berdiri di hadapan mazbah. 55Dengan suara kuat baginda berdoa minta Allah memberkati semua orang yang berkumpul di situ, katanya, 56“Terpujilah TUHAN yang telah memberi umat-Nya kesejahteraan seperti yang dijanjikan-Nya melalui Musa, hamba-Nya. Semua yang baik yang dijanjikan-Nya telah ditepati-Nya. 57Semoga TUHAN, Allah kita menyertai kita sebagaimana Dia menyertai nenek moyang kita. Semoga Dia tidak meninggalkan kita atau membuang kita. 58Semoga Dia menjadikan kita orang yang taat kepada-Nya supaya kita sentiasa hidup menurut kehendak-Nya, dan mentaati semua hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita. 59Semoga TUHAN, Allah kita, sentiasa ingat akan doa dan permintaan yang beta sampaikan kepada-Nya ini. Semoga Dia sentiasa mengasihani umat-Nya Israel dan raja mereka, dengan memberi mereka apa yang diperlukan setiap hari. 60Dengan demikian semua bangsa di bumi akan tahu bahawa TUHAN sahaja Allah, dan tiada yang lain. 61Semoga kamu umat-Nya sentiasa setia kepada TUHAN, Allah kita, sambil taat kepada semua hukum dan perintah-Nya seperti yang kamu lakukan pada hari ini.”
Pentahbisan Rumah TUHAN
62Selepas itu Raja Salomo dan segenap umat yang berkumpul di situ mempersembahkan korban kepada TUHAN. 63Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah Raja Salomo dan segenap rakyat mentahbiskan Rumah TUHAN. 64Pada hari itu raja juga mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu kawasan sebelah depan Rumah TUHAN. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibina baginda, terlalu kecil untuk semua korban itu.
65Di Rumah TUHAN itu juga, Raja Salomo dan segenap umat Israel merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Banyak sekali orang yang datang untuk merayakan perayaan itu. Mereka dari daerah sejauh Genting Hamat di utara dan sempadan negeri Mesir di selatan. 66Pada hari kelapan, Raja Salomo menyuruh semua orang itu pulang. Mereka pulang dengan sukacita, sambil memuji raja bagi segala berkat yang telah diberikan TUHAN kepada Raja Daud, hamba-Nya, dan segenap umat-Nya Israel.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |