Sepuluh Hukum Allah

Petikan daripada Kitab Taurat: Keluaran 20:1-21.

1Kemudian Allah berfirman, dan inilah firman-Nya,

2“Akulah TUHAN, Allah kamu yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba.

3Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja.

4Jangan buat patung bagi diri kamu, patung yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi. 5Jangan sujud atau sembah kepada patung apa pun, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu, dan Aku tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Aku juga menghukum keturunan mereka sehingga generasi yang ketiga dan keempat. 6Tetapi Aku menunjukkan kasih-Ku kepada beribu-ribu keturunan orang yang mengasihi Aku dan taat kepada hukum-Ku.

7Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat kerana Aku TUHAN, Allah kamu, menghukum sesiapa sahaja yang menyalahgunakan nama-Ku.

8Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah hari itu sebagai hari yang suci. 9Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, 10tetapi hari yang ketujuh ialah hari rehat yang ditahbiskan untuk Aku. Pada hari itu satu pun tidak boleh bekerja: sama ada kamu, anak kamu, abdi kamu, ternakan kamu, atau bangsa asing yang tinggal di negeri kamu. 11Dalam masa enam hari Aku, TUHAN, telah menciptakan bumi, langit, laut, dan semua yang ada di dalam segalanya itu, tetapi pada hari yang ketujuh Aku berehat. Itulah sebabnya Aku, TUHAN, memberkati hari Sabat dan mengekhaskannya bagi-Ku.

12Hormatilah bapa dan ibu kamu, supaya kamu panjang umur di tanah yang akan Aku berikan kepada kamu.

13Jangan membunuh.

14Jangan berzina.

15Jangan mencuri.

16Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain.

17Jangan ingini kepunyaan orang lain: rumahnya, isterinya, abdinya, ternakannya, keldainya atau apa-apa pun miliknya.”

18Apabila orang Israel mendengar bunyi guruh dan trompet, serta melihat kilat dan gunung berasap, mereka gementar ketakutan lalu berdiri jauh dari situ. 19Mereka berkata kepada Musa, “Jika tuan bercakap kepada kami, kami akan mendengar. Tetapi jika Allah berfirman kepada kami, kami akan mati.”

20Musa menjawab, “Jangan takut; Allah datang hanya untuk menguji kamu, supaya kamu tetap taat kepada-Nya dan supaya kamu tidak berdosa.” 21Tetapi umat itu masih berdiri jauh dari situ, dan hanya Musa yang menghampiri awan gelap di tempat Allah berada.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini