Yakub dan Keluarganya Pergi ke Mesir

Petikan dari Kitab Taurat: Kejadian 46:1-34.

1Yakub mengemaskan segala kepunyaannya lalu berangkat. Apabila dia sampai di Bersyeba dia mempersembahkan korban kepada Allah yang disembah oleh Ishak, bapanya. 2Pada waktu malam, dalam suatu penglihatan, Allah berfirman kepadanya, “Yakub, Yakub!”

“Ya, aku mendengar,” jawabnya.

3Allah berfirman, “Aku Allah, Allah yang disembah bapamu. Jangan takut pergi ke Mesir. Aku akan menjadikan keturunanmu bangsa yang besar di sana. 4Aku akan menyertai engkau ke Mesir, dan membawa keturunanmu kembali ke negeri ini. Yusuf akan berada di sampingmu apabila engkau meninggal.”

5Kemudian Yakub berangkat dari Bersyeba. Anak-anak lelakinya menaikkan bapa serta anak isteri mereka ke atas pedati-pedati yang dikirimkan oleh raja Mesir. 6Mereka juga membawa ternakan dan segala harta benda yang diperoleh mereka di Kanaan, lalu berangkat ke Mesir. Yakub membawa semua keturunannya, iaitu 7semua anak cucunya, lelaki dan perempuan.

8Inilah anggota keluarga Yakub yang pergi bersama dengan dia ke Mesir: 9Ruben, anak lelaki yang sulung dan anak-anak lelakinya: Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. 10Simeon dan anak-anak lelakinya: Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan juga Syaul, anak lelaki daripada seorang perempuan Kanaan. 11Lewi dan anak-anak lelakinya: Gerson, Kehat, dan Merari. 12Yehuda dan anak-anak lelakinya: Syela, Peres, dan Zerah, tetapi anak lelaki Yehuda yang lain, Er dan Onan sudah meninggal di Kanaan. Anak-anak lelaki Peres ialah Hezron dan Hamul. 13Isakhar dan anak-anak lelakinya: Tola, Pua, Yasyub, dan Simron. 14Zebulon dan anak-anak lelakinya: Sered, Elon, dan Yahleel. 15Mereka semua ialah anak yang dilahirkan oleh Lea bagi Yakub di Mesopotamia, selain anak perempuannya, Dina. Semua keturunan Yakub daripada isterinya Lea berjumlah tiga puluh tiga orang.

16Gad dan anak-anak lelakinya: Zifyon, Hagi, Syuni, Ezbon, Eri, Arodi, dan Areli. 17Asyer dan anak-anak lelakinya: Yimna, Yiswa, Yiswi, Beria, dan Serah, saudara perempuan mereka. Anak-anak lelaki Beria ialah Heber dan Malkiel. 18Enam belas orang itu ialah keturunan Yakub dan Zilpa, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Lea, anak perempuannya.

19Rahel, isteri Yakub mempunyai dua orang anak lelaki, Yusuf dan Benyamin. 20Di Mesir Yusuf dan isterinya Asnat, mempunyai dua orang anak lelaki, Manasye dan Efraim. Bapa Asnat ialah Potifera, imam di Heliopolis. 21Benyamin dan anak-anak lelakinya: Bela, Bekher, Asybel, Gera, Naaman, Ehi, Ros, Mupim, Hupim, dan Ared. 22Empat belas orang itu keturunan Yakub dan isterinya Rahel.

23Dan serta anak lelakinya Husyim. 24Naftali dan anak-anak lelakinya: Yahzeel, Guni, Yezer, dan Syilem. 25Tujuh orang itu ialah keturunan Yakub daripada Bilha, hamba perempuan yang diberikan oleh Laban kepada Rahel, anak perempuannya.

26Keturunan Yakub yang pergi ke Mesir semuanya berjumlah enam puluh enam orang, tidak termasuk menantu perempuannya. 27Dua orang anak lelaki Yusuf yang dilahirkan di Mesir menjadikan jumlah bilangan keluarga Yakub yang berada di Mesir sebanyak tujuh puluh orang.

Yakub dan Keluarganya di Mesir

28Yakub menyuruh Yehuda pergi lebih dahulu untuk memanggil Yusuf supaya menemui mereka di Gosyen. Apabila mereka sampai di Gosyen, 29Yusuf menaiki kereta kudanya untuk berjumpa dengan bapanya di situ. Ketika mereka berjumpa, Yusuf memeluk bapanya dan menangis lama sekali. 30Yakub berkata kepada Yusuf, “Sekarang aku rela mati setelah melihat engkau dan tahu bahawa engkau masih hidup.”

31Oleh itu Yusuf berkata kepada saudara-saudaranya dan sanak saudaranya yang lain, “Aku harus pergi dan memberitahu raja bahawa saudara-saudaraku dan semua sanak saudaraku yang tinggal di Kanaan sudah datang. 32Aku akan katakan bahawa kamu gembala domba dan lembu, dan sudah membawa ternakan serta segala kepunyaan kamu. 33Jika raja memanggil kamu dan bertanya tentang kerja kamu, 34katakanlah kepada baginda bahawa kamu ini gembala ternakan sejak kecil, sama seperti nenek moyang kamu. Dengan demikian raja akan menyuruh kamu tinggal di daerah Gosyen.” Yusuf mengatakan hal itu kerana orang Mesir berasa hina untuk bergaul dengan gembala ternakan.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini