Zabur Surah 18

Petikan dari Kitab Zabur Surah 18.

Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud, hamba Tuhan. Dia telah menuturkan kata-kata dalam lagu ini kepada Tuhan pada hari Tuhan menyelamatkannya daripada semua musuhnya dan daripada Saul. Kata Daud:

1Aku mengasihi-Mu, Ya Tuhan, Engkaulah kekuatanku.

2Tuhan adalah batu pejal perkasaku, kubuku dan penyelamatku;

Allah Tuhanku adalah batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung.

Dialah perisaiku, teras penyelamatanku, benteng pertahananku.

3Aku akan berseru kepada Tuhan yang layak dipuji,

maka aku akan diselamatkan daripada musuhku.

4Seksa maut telah mengepungku;

banjir kejahatan mengerikanku.

5Seksa kubur mengelilingiku;

jerat kematian menunggu di hadapanku.

6Dalam kesusahan aku berseru kepada Tuhan;

Aku meraung kepada Allah Tuhanku.

Dia mendengar suaraku dari rumah suci-Nya;

raunganku sampai ke hadirat dan pendengaran-Nya.

7Maka bumi pun gempa dan gementar,

tapak bukit-bukau bergegar dan bergoncang;

kerana Dia murka.

8Dia menghembuskan asap;

dan api yang membakar,

lalu menyalakan arang batu.

9Dia menundukkan langit lantas turun;

dengan kegelapan di bawah kaki-Nya.

10Dia terbang mengenderai malaikat kerub;

Dia melayang di sayap angin.

11Dia menjadikan kegelapan tempat rahsia-Nya —

diselubungi perairan kelam dan awan tebal di langit.

12Daripada cahaya di hadapan-Nya awan tebal berlalu,

dengan hujan batu dan arang yang menyala.

13Tuhan mengguntur dari langit;

Yang Maha Tinggi mendengarkan panah suara-Nya.

14Dia melepaskan anak-anak panah-Nya sehingga musuh bertempiaran,

Dia memancarkan kilat sabung-menyabung lalu menumpaskan mereka.

15Maka saluran di dasar lautan terserlah

dan asas bumi terdedah akibat kemurkaan-Mu,

Ya Tuhan, dan hembusan hebat nafas-Mu.

16Dia menghulurkan tangan-Nya dari langit,

Dia menarikku keluar daripada pelbagai bencana yang menenggelamkan.

17Dia menyelamatkanku daripada musuhku yang kuat,

daripada mereka yang membenciku, kerana mereka terlalu perkasa bagiku.

18Mereka menyerangku ketika aku dalam kesusahan,

tetapi Tuhan menolongku.

19Dia membawaku ke tempat yang luas;

Dia menyelamatkanku kerana Dia berkenan kepadaku.

20Tuhan memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar;

Dia menggantikan deritaku dengan rahmat kerana tanganku bersih daripada dosa.

21Kerana aku telah mengikut jalan Tuhan;

dan tidak menyeleweng daripada Allah Tuhanku dengan melakukan kejahatan.

22Segala hukum-Nya ada di hadapanku sebagai panduan;

dan aku tidak mengetepikan ketetapan-Nya.

23Di hadirat-Nya aku tidak bercela

dan aku mengatasi kejahatan dalam diriku.

24Maka Tuhan memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar,

kerana Dia tahu tanganku bersih daripada dosa.

25Kepada orang yang setia Engkau menunjukkan kesetiaan-Mu,

kepada orang yang tidak bercela Engkau menunjukkan Engkau tidak bercela,

26kepada orang yang suci Engkau memperlihatkan kesucian-Mu,

kepada yang menipu Engkau memperlihatkan kebijaksanaan-Mu.

27Engkau menyelamatkan orang yang rendah diri

tetapi akan menundukkan orang yang angkuh.

28Engkau, Ya Tuhan, akan menyalakan lampuku;

Allah Tuhanku akan menerangi kegelapanku.

29Dengan kekuatan daripada-Mu aku dapat melawan musuh yang ramai;

dengan kekuatan daripada Tuhanku aku dapat melompati tembok.

30Jalan Allah itu sempurna;

firman Tuhan terbukti benar.

Dialah perisai pelindung semua yang bernaung kepada-Nya.

31Tiada Tuhan melainkan Allah,

tiada Batu Pejal melainkan Allah Tuhan kita.

32Allah yang memberiku kekuatan berjuang

dan menjadikan jalan hidupku sempurna.

33Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa;

dan memantapkan jejakku di pergunungan.

34Dia melatih tanganku berperang;

berupaya melengkungkan busur gangsa.

35Engkau telah memberiku perisai penyelamatan-Mu,

tangan kanan-Mu telah memberiku kekuatan;

kelunakan-Mu menjadikan aku besar.

36Engkau meluaskan jalan yang kutempuh,

supaya kakiku tidak tergelincir.

37Aku telah memburu musuhku dan berdepan dengan mereka;

aku tidak berpatah balik hingga kuhapuskan mereka.

38Aku telah melukakan mereka sehingga mereka tidak berdaya bangkit lagi;

mereka telah rebah di bawah kakiku.

39Kerana Engkau telah memberiku kekuatan berperang;

Engkau telah menundukkan di bawahku

mereka yang bangkit menyerangku dulu.

40Engkau telah menyerahkan nyawa musuhku ke tanganku,

supaya aku membinasakan mereka yang membenciku.

41Mereka berteriak, tetapi tiada siapa menyelamatkan mereka —

malah mereka merayu kepada Tuhan, tetapi Dia tidak menyahut mereka.

42Lalu aku menghancurkan mereka seperti debu ditiup angin;

aku menghumbankan mereka seperti sampah-sarap di jalan.

43Engkau telah menyelamatkan aku daripada serangan;

Engkau menjadikan aku pemerintah bangsa asing;

bangsa yang tidak kukenali akan tunduk kepadaku.

44Sebaik-baik mereka mendengar tentangku, mereka taat kepadaku;

orang asing itu tunduk kepadaku.

45Mereka menjadi putus asa;

dan datang dengan ketakutan dari tempat persembunyian.

46Tuhan hidup selama-lamanya! Segala puji bagi Tuhan, Batu Pejalku!

Segala kemuliaan bagi Allah, Penyelamatku!

47Allah yang membalas kejahatan orang terhadapku,

dan menundukkan bangsa asing di bawahku,

48Dia menyelamatkanku daripada musuhku.

Engkau, Ya Tuhan,

mengangkatku mengatasi mereka yang bangkit menyerangku;

Engkau telah menyelamatkanku daripada manusia yang ganas.

49Maka itu aku akan mengucap syukur kepada-Mu,

Ya Tuhan, di kalangan bangsa asing;

dan menyanyi memuji nama-Mu.

50Tuhan telah memberi penyelamatan besar kepada orang yang dijadikan-Nya raja;

Dia melimpahkan kebaikan kepada orang yang diurapi-Nya,

kepada Daud, sampai ke anak cucu selama-lamanya.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini