Zabur Surah 19

Petikan dari Kitab Zabur Surah 19.

Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud.

1Seluruh langit mengakui kemuliaan Allah;

dan cakerawala menunjukkan ciptaan-Nya.

2Hari menyebutkan kepada hari;

malam memberitahu kepada malam.

3Tiada pertuturan atau Bahasa yang tidak mendengar suara mereka.

4Khabar mereka telah sampai ke serata bumi,

dan kata-kata mereka ke hujung dunia.

Tuhan telah mendirikan khemah di langit untuk matahari,

5yang seperti pengantin lelaki keluar dari astaka kamarnya,

seperti lelaki gagah ghairah berlumba.

6Matahari terbit lalu beredar dari satu hujung ke satu hujung langit;

tiada yang terlindung daripada panasnya.

7Taurat Tuhan sempurna,

mengubah jiwa.

Kesaksian Tuhan pasti,

memberi kebijaksanaan kepada orang yang tulus.

8Ajaran-ajaran Tuhan benar,

menggembirakan hati.

Perintah Tuhan suci,

memberi pengertian.

9Takut akan Tuhan itu murni,

kekal selama-lamanya.

Penghakiman Tuhan adil dan benar sepenuhnya.

10Segalanya lebih berharga daripada emas,

ya, daripada emas tulen;

dan lebih manis daripada madu,

madu daripada sarangnya.

11Dengannya hamba-Mu diingatkan;

dan sesiapa mematuhinya mendapat ganjaran besar.

12Siapakah yang dapat memahami kesalahan sendiri?

Bersihkan aku daripada kecelaan tersembunyi.

13Jauhkan juga hamba-Mu daripada dosa yang sengaja;

jangan sampai aku dikuasainya.

Supaya aku bebas daripada kesalahan,

bersih daripada keingkaran yang berat.

14Semoga segala yang kututurkan dengan lidah

dan kurenungkan dalam hati diterima oleh-Mu,

Ya Tuhan, sumber kekuatan dan Penebusku.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini