Petikan dari Kitab Injil: Markus 10:46-52.
46Setelah itu mereka tiba di Yerikho. Kemudian, ketika Dia keluar dari situ dengan para pengikut-Nya dan orang ramai itu, seorang buta bernama Bartimeus (anak Timeus), sedang duduk mengemis di tepi jalan. 47Ketika dia mendengar bahawa yang lalu itu Isa orang Nasaret, dia berteriak, ‘Isa, Anak Daud, kasihanilah aku!’
48Ramai orang menyuruhnya diam, tetapi dia semakin berteriak, ‘Anak Daud, kasihanilah aku!’
49Oleh itu Isa berhenti dan memberi perintah supaya dia dipanggil.
Mereka pun memanggil orang buta itu sambil berkata, ‘Bergembiralah! Dan bangkitlah! Dia memanggilmu.’ 50Orang buta itu mencampakkan jubahnya ke tepi lalu bangkit dan pergi kepada Isa.
51Isa berkata kepadanya, ‘Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?’
Orang itu menjawab, ‘Tuan Guru, aku ingin melihat.’
52Isa menjawab, ‘Pergilah, imanmu telah menyembuhkanmu.’ Serta-merta orang itu dapat melihat, lalu mengikut Isa dalam perjalanan-Nya.
Penyembuhan seorang lelaki yang buta sejak lahir
Petikan dari Kitab Injil: Yahya 9:1-41.
1Ketika Isa sedang lalu di suatu tempat, Dia terpandang seorang lelaki yang buta sejak lahir. 2Para pengikut-Nya bertanya, ‘Tuan Guru, siapakah yang berdosa, orang itu atau ibu bapanya, maka dia dilahirkan buta?’
3Isa menjawab, ‘Bukan dia dan bukan juga ibu bapanya. Dia begitu supaya kuasa Allah dapat dinyatakan melaluinya. 4Selagi siang, kita mesti melakukan tugas Dia yang telah mengutus-Ku. Malam akan tiba apabila seorang tidak dapat melakukan apa-apa lagi. 5Selama Aku di dunia, Akulah cahaya dunia.’
6Selepas itu, Isa berludah ke tanah untuk membuat tanah liat lalu menyapukannya pada mata orang itu. 7Isa berkata kepadanya, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam’ (Siloam bererti ‘diutus’ dalam bahasa Ibrani). Orang itu pun pergi membasuh muka. Apabila dia kembali, dia sudah dapat melihat.
8Jiran tetangga dan semua orang yang tahu dia buta bertanya, ‘Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?’ 9Ada yang berkata, ‘Ya, dialah.’ Ada pula yang berkata, ‘Bukan, hanya serupa dengannya.’
Tetapi orang itu sendiri mengaku, ‘Akulah orang itu.’
10Mereka bertanya kepadanya, ‘Bagaimanakah sekarang kamu dapat melihat?’
11Dia menjawab, ‘Orang yang bernama Isa telah membuat secebis tanah liat, disapukan-Nya ke mataku lalu berkata, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” Sebaik-baik sahaja aku membasuh muka di kolam itu, aku pun dapat melihat.’
12Mereka bertanya, ‘Di manakah orang itu?’
Dia menjawab, ‘Aku tidak tahu.’
Perselisihan pendapat tentang Isa
13Orang yang dahulunya buta itu dibawa mereka kepada orang Farisi. 14Isa telah membuat tanah liat dan menyembuhkan mata orang itu pada hari Sabat. 15Orang Farisi menanya orang itu bagaimana dia dapat melihat. Jawabnya, ‘Dia menyapukan tanah liat pada mataku, lalu aku membasuh muka, dan kemudian aku dapat melihat.’ 16Sebilangan orang Farisi itu berkata, ‘Dia bukan daripada Allah, kerana Dia melanggar peraturan hari Sabat.’ Tetapi ada pula yang berkata, ‘Kalau Dia orang berdosa, bagaimana Dia dapat melakukan mukjizat begini?’ Dengan demikian timbullah perselisihan pendapat di kalangan mereka.
17Orang Farisi bertanya lagi kepada orang yang dahulunya buta itu, ‘Kamu berkata Dia menyembuhkan matamu. Bagaimana pendapatmu tentang Dia?’
Orang itu menjawab, ‘Dia seorang nabi.’
18Orang Yahudi enggan percaya bahawa orang itu dahulu buta matanya. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya. 19Mereka bertanya, ‘Benarkah dia anak kamu yang buta sejak lahir? Bagaimana pula dia boleh celik?’
20Ibu bapa orang itu menjawab, ‘Ya, benar dia anak kami yang buta sejak lahir. 21Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang dan siapa yang menyembuhkan matanya. Dia sudah dewasa, tanyalah dia. Dia dapat menjawab sendiri.’ 22Ibu bapa orang itu berkata demikian kerana takut akan orang Yahudi itu yang telah bersetuju bahawa sesiapa yang mengakui Isa itu al-Masih akan disingkirkan dari saumaah. 23Maka itulah ibu bapanya berkata, ‘Dia sudah dewasa, tanyalah dia.’
24Mereka pun memanggil orang itu lagi dan berkata, ‘Akuilah kemuliaan Allah! Kamu tahu Dia itu orang berdosa.’
25Dia menjawab, ‘Sama ada Dia orang berdosa atau tidak, aku tidak tahu. Yang kutahu, dulu aku buta, sekarang aku dapat melihat.’
26Mereka bertanya lagi, ‘Apa yang dibuat-Nya kepadamu? Bagaimana Dia mencelikkan matamu?’
27Dia menjawab, ‘Aku telah pun memberitahumu, tetapi kamu tidak mendengar. Mengapakah kamu hendak mendengarnya lagi? Adakah kamu ingin menjadi pengikut-Nya juga?’
28Mereka mencacinya dan berkata, ‘Kamulah pengikut-Nya. Kami pengikut Musa. 29Kami tahu Allah berfirman kepada Musa. Orang itu, tiada siapa yang tahu dari mana Dia datang.’
30‘Hairan sekali,’ kata orang yang dahulunya buta itu. ‘Kamu tidak tahu dari mana Dia datang, tetapi Dia telah mencelikkan mataku! 31Kita tahu bahawa Allah tidak mendengar permintaan orang berdosa. Tetapi jika seseorang takut akan Allah dan melakukan kehendak-Nya, Allah akan mendengar permintaan-Nya. 32Sejak permulaan dunia, belum pernah kedengaran kisah orang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir. 33Jika orang itu bukan daripada Allah, tidaklah dapat Dia melakukannya.’
34Mereka berkata kepadanya, ‘Kamu orang berdosa sejak lahir. Kamu hendak cuba mengajar kami?’ Mereka pun menghalaunya keluar.
Kebutaan rohani
35Isa mendengar bahawa mereka telah menghalaunya keluar, dan selepas menemuinya, Dia bertanya, ‘Adakah kamu percaya kepada Putera Insan?
36Orang itu menjawab, ‘Siapakah Dia, Junjungan? Katakanlah kepadaku, supaya aku dapat percaya kepada-Nya.’
37Isa berkata, ‘Kamu sudahpun melihat-Nya. Dialah yang sedang bercakap denganmu sekarang.’
38Orang itu berkata, ‘Ya Junjungan, aku percaya.’ Dia pun sujud kepada Isa.
39Isa berkata, ‘Aku datang ke dunia ini untuk menghakimi manusia; supaya orang buta dapat melihat, manakala orang yang dapat melihat pula buta.’
40Ketika orang Farisi di situ mendengar kata-kata Isa, mereka bertanya kepada-Nya, ‘Adakah Kaumaksudkan kami juga buta?’
41Isa menjawab, ‘Kalaulah kamu buta, tidaklah kamu berdosa. Tetapi kamu berkata kamu dapat melihat, maka kamu tetap berdosa.’
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |
Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…
Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…
Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…
Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…
Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…
Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…