Categories: Article

Kebesaran Kerajaan Raja Salomo

Petikan dari Kitab Taurat Surah 1 Raja-Raja 4:20-34.

Kebesaran Kerajaan Raja Salomo

20Penduduk Yehuda dan Israel sangat banyak, sebanyak pasir di pinggir laut. Mereka mempunyai cukup makanan dan minuman, serta hidup senang. 21Kerajaan Raja Salomo meliputi semua negeri dari Sungai Efrat sampai ke Filistea dan sempadan negeri Mesir. Penguasa negeri-negeri itu membayar ufti kepada Raja Salomo, dan mereka takluk kepada baginda sepanjang hayatnya.

22Bahan makanan yang diperlukan oleh Raja Salomo pada tiap-tiap hari ialah 5,000 liter tepung halus dan 10,000 liter tepung kasar, 2310 ekor lembu kandang, 20 ekor lembu padang, dan 100 ekor domba, selain rusa, kijang, rusa dandi, dan unggas.

24Raja Salomo menguasai seluruh tanah di sebelah barat Sungai Efrat, dari Tifsah di Sungai Efrat sampai sejauh kota Gaza di sebelah barat. Semua raja di sebelah barat Sungai Efrat takluk kepada Raja Salomo, dan baginda bersahabat dengan semua negeri jiran. 25Selama hayat Raja Salomo, penduduk di seluruh Yehuda dan Israel hidup dengan tenteram, tiap-tiap keluarga mempunyai ladang anggur dan kebun ara.

26Raja Salomo mempunyai 40,000 buah kandang untuk kuda yang menarik kereta kuda, dan 12,000 ekor kuda bagi pasukan berkuda. 27Dua belas orang pegawai daerahnya, masing-masing bertanggungjawab terhadap makanan yang diperlukan oleh Raja Salomo dan semua orang yang makan di istananya. Para pegawai daerah itu bertanggungjawab pada bulan-bulan yang telah ditentukan bagi mereka. Mereka sentiasa menyediakan semuanya dengan secukupnya. 28Tiap-tiap pegawai daerah juga menyediakan barli dan jerami untuk kuda tunggangan dan kuda yang menarik kereta kuda, di mana sahaja makanan haiwan diperlukan.

29Allah memberi Raja Salomo kebijaksanaan dan hikmat yang luar biasa serta pengetahuan yang amat dalam. 30Raja Salomo menjadi lebih bijak daripada orang bijak di negeri Timur dan orang bijak di negeri Mesir. 31Baginda adalah orang yang paling bijaksana: lebih bijak daripada Etan orang Ezrahi dan Heman, Kalkol dan Darda, anak-anak Mahol. Nama Raja Salomo termasyhur di semua negeri jiran. 32Baginda mengarang 3,000 bidalan dan lebih daripada 1,000 mazmur. 33Baginda dapat berbicara tentang pokok dan tumbuh-tumbuhan: daripada pokok sedar yang tumbuh di pergunungan Lebanon sampai kepada rumput hisop yang tumbuh di tembok. Baginda berbicara tentang binatang, burung, reptilia, dan ikan. 34Raja-raja di seluruh dunia mendengar tentang kebijaksanaan Raja Salomo, dan mereka mengutus orang kepada baginda untuk mendengar ucapan baginda.

 

Petikan dari Kitab Taurat Surah 1 Raja-Raja 10:1-29.

Ratu Negeri Syeba Mengunjungi Raja Salomo

1Ratu negeri Syeba mendengar tentang kemasyhuran Raja Salomo. Maka ratu itu berangkat ke Yerusalem untuk menguji Raja Salomo dengan pertanyaan-pertanyaan yang sukar. 2Ratu itu datang bersama dengan banyak pengiring serta unta-unta dengan muatan rempah, batu permata, dan emas yang banyak sekali. Apabila ratu itu berjumpa dengan Raja Salomo, ratu itu mengemukakan kepada Raja Salomo semua pertanyaan yang dapat difikirkannya. 3Raja Salomo menjawab semua pertanyaan ratu itu. Tiada satu pun yang terlalu sukar bagi Raja Salomo. 4Ratu negeri Syeba mendengar sendiri kebijaksanaan Raja Salomo dan melihat istana yang dibina oleh Raja Salomo. 5Ratu negeri Syeba melihat tata kerja para pegawai istana, pakaian seragam, dan perumahan mereka. Ratu itu nampak makanan yang dihidangkan, dan para pelayan yang melayani Raja Salomo pada masa perayaan; ratu itu juga melihat korban-korban yang dipersembahkan oleh Raja Salomo di Rumah TUHAN. Semua itu membuat ratu negeri Syeba kagum dan terpesona. 6Oleh itu ratu negeri Syeba bertitah kepada Raja Salomo, “Memang benar apa yang beta dengar di negeri beta tentang dan kebijaksanaan tuanku! 7Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata beta sendiri. Tetapi apa yang beta dengar itu tidak pun separuh daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuan lebih besar daripada apa yang telah beta dengar. 8Berbahagialah isteri-isteri tuanku! Berbahagialah para pekerja yang sentiasa melayani tuanku, kerana mereka berpeluang mendengar kata-kata bijak yang tuanku ucapkan! 9Terpujilah TUHAN, Allah tuanku! Dia telah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada tuanku dengan menjadikan tuanku raja Israel. Oleh sebab kasih-Nya kekal terhadap Israel, Dia telah menjadikan tuanku raja mereka supaya tuanku dapat melaksanakan hukum dan keadilan.”

10Ratu negeri Syeba mempersembahkan hadiah-hadiah yang telah dibawanya kepada Raja Salomo, iaitu lebih daripada 4,000 kilogram emas, dan rempah serta batu permata yang banyak sekali. Rempah yang diberikan oleh ratu itu kepada Raja Salomo adalah yang terbanyak yang pernah diterima oleh Raja Salomo.

(11Kumpulan kapal Raja Hiram yang membawa emas dari Ofir, juga membawa banyak kayu cendana dan batu permata dari sana. 12Raja Salomo menggunakan kayu itu untuk membuat susuran bagi Rumah TUHAN dan istananya, dan juga untuk membuat kecapi dan gambus bagi para pemuzik. Kayu cendana itu kayu cendana yang terbaik yang pernah dibawa ke Israel. Sejak itu, kayu cendana yang sebaik itu tidak pernah dilihat lagi.)

13Selain daripada hadiah-hadiah yang biasa diberikan oleh Raja Salomo, raja juga memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Kemudian ratu itu dan semua pengiringnya pulang ke negeri Syeba.

Kekayaan Raja Salomo

14-15Selain cukai yang dibayar oleh para pedagang, keuntungan daripada perdagangan, ufti yang dibayar oleh raja-raja Arab dan para gabenor negeri Israel, Raja Salomo menerima hampir 23,000 kilogram emas pada setiap tahun.

16Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 7 kilogram emas. 17Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 2 kilogram emas. Raja Salomo meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon.

18Raja Salomo juga membuat sebuah takhta gading yang besar, yang dilapis dengan emas tulen. 19-20Takhta itu mempunyai enam buah anak tangga, dan pada hujung kiri dan kanan tiap-tiap anak tangga itu ada sebuah patung singa. Kesemuanya ada dua belas buah patung singa. Di belakang takhta itu ada sebuah patung kepala lembu jantan, dan pada setiap lengan takhta itu ada sebuah patung singa. Tiada kerajaan mana pun pernah mempunyai takhta seperti itu.

21Semua cawan Raja Salomo dibuat daripada emas, dan semua perkakas di Dewan Hutan Lebanon dibuat daripada emas tulen. Perak tidak digunakan sama sekali, kerana pada zaman Raja Salomo, perak tidak dianggap berharga. 22Raja Salomo mempunyai banyak kapal besar yang belayar di samudera raya bersama dengan kapal-kapal Raja Hiram. Sekali dalam tiga tahun, kapal-kapal Raja Salomo pulang dengan membawa emas, perak, gading, beruk, dan burung merak.

23Raja Salomo lebih kaya dan lebih bijaksana daripada raja lain di dunia. 24Semua orang di seluruh dunia ingin datang untuk mendengar kebijaksanaan yang telah dikurniakan Allah kepadanya. 25Tiap-tiap orang yang mengunjungi Raja Salomo membawa hadiah bagi baginda – barangan daripada perak dan emas, pakaian, senjata, rempah, kuda, serta baghal. Hal ini berlangsung tahun demi tahun.

26Raja Salomo melengkapi angkatan perangnya dengan 1,400 buah kereta kuda dan 12,000 ekor kuda untuk pasukan berkuda. Sebahagian angkatan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkannya di berbagai-bagai kota lain. 27Pada masa pemerintahan Raja Salomo, perak merupakan barangan biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar banyak seperti kayu ara di kaki-kaki bukit di Yehuda. 28Para peniaga yang bertugas untuk raja, mengimport kuda dari Musri dan Kilikia 29dan mengimport kereta kuda dari Mesir. Kemudian kuda dan kereta kuda itu dieksport kepada raja-raja Het dan raja-raja Siria dengan harga 600 keping wang perak untuk sebuah kereta kuda, dan 150 keping wang perak untuk seekor kuda.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini
admin

Recent Posts

Zaman Keemasan Islam (Bahagian 2/2)

Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…

2 years ago

Nasrani dalam Pengertian Islam (Bhg. 1/4)

Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…

2 years ago

Patuh SOP pada Sholat Eid Boleh Diterima?

Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…

3 years ago

Permulaan Transformasi Kalbu Jiwa

Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…

3 years ago

Sisi Gelap Kalbu Jiwa Manusia

Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…

3 years ago

Privacy Policy

Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…

4 years ago