Categories: Article

Nabi Nuh

Petikan dari Kitab Taurat: Kejadian 6:1-9:17.

1Apabila manusia sudah bertambah banyak sehingga tercerai-ceraidi seluruh dunia, dan anak-anak perempuan dilahirkan, 2makhluk-makhluk ilahi nampak bahawa gadis-gadis itu cantik. Makhluk- makhluk ilahi itu mengahwini gadis-gadis yang disukai oleh mereka. 3Kemudian TUHAN berfirman,

“Aku tidak membenarkan manusia hidup selama-lamanya; mereka makhluk fana yang harus mati. Mulai sekarang umur mereka tidak akan lebih daripada 120 tahun.”

4Pada zaman itu, dan juga selepas zaman itu, ada raksasa di bumi. Mereka keturunan gadis-gadis manusia yang berkahwin dengan makhluk-makhluk ilahi. Raksasa-raksasa itu pahlawan handalan dan termasyhur pada zaman dahulu kala.

5TUHAN nampak betapa jahatnya manusia di bumi; fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan. 6Oleh itu TUHAN menyesal  kerana sudah menjadikan manusia dan menempatkan mereka di bumi. TUHAN begitu kecewa 7sehingga Dia berfirman,

“Aku akan membinasakan manusia yang sudah Kuciptakan itu, dan juga semua binatang serta burung, kerana Aku menyesal menciptakan semuanya.” 8Tetapi Nuh menyenangkan hati TUHAN.

9-10Inilah riwayat Nuh. Dia mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Yafet, dan Ham. Nuh tidak berbuat salah, dan dia satu-satunya orang yang baik pada zamannya. Dia hidup akrab dengan Allah, 11tetapi semua orang lain jahat di sisi Allah, dan kekejaman terdapat di mana-mana. 12Allah memandang dunia dan nampak kejahatan sahaja, kerana kehidupan semua manusia jahat.

13Kemudian Allah berfirman kepada Nuh,

“Aku sudah mengambil keputusan untuk menamatkan hidup semua manusia. Aku akan membinasakan mereka berserta bumi, kerana bumi sudah penuh dengan kekejaman mereka. 14Binalah sebuah bahtera untukmu; sebuah bahtera daripada kayu keras. Buatlah bilik-bilik di dalamnya, dan lapisilah bahagian dalam dan luar bahtera itu dengan tar. 15Bahtera itu harus berukuran 133 meter panjang, 22 meter lebar, dan 13 meter tinggi. 16Buatlah bumbung pada bahtera itu, dan berilah jarak 44 sentimeter di antara bumbung dan dindingnya. Buatlah bahtera itu bertingkat tiga, dan pasanglah sebuah pintu di sisinya. 17Aku akan mendatangkan banjir untuk membinasakan setiap makhluk yang hidup di bumi. Segala sesuatu di bumi akan mati, 18tetapi Aku hendak membuat perjanjian dengan engkau. Masuklah ke dalam bahtera itu bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. 19-20Bawalah seekor jantan dan seekor betina daripada setiap jenis burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya semua itu tidak turut binasa. 21Bawalah juga segala jenis makanan untukmu dan untuk semua binatang itu.” 22Nuh melakukan segala sesuatu yang diperintahkan Allah.

7:1Kemudian TUHAN berfirman kepada Nuh,

“Aku mendapati engkau satu-satunya orang yang melakukan kehendak-Ku. Oleh itu masuklah ke dalam bahtera bersama-sama semua anggota keluargamu. 2-3Bawalah tujuh pasang daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, tetapi hanya satu pasang daripada tiap-tiap jenis yang haram. Lakukanlah hal itu supaya daripada setiap jenis binatang dan burung ada yang terselamat, lalu dapat membiak semula di bumi. 4Tujuh hari lagi Aku akan menurunkan hujan yang tidak akan berhenti selama empat puluh hari dan empat puluh malam, supaya semua makhluk hidup yang sudah Aku ciptakan itu binasa.” 5Lalu Nuh melakukan segala yang diperintahkan TUHAN.

6Nuh berumur enam ratus tahun ketika berlaku banjir di bumi. 7Nuh dan isterinya, bersama dengan anak-anaknya serta isteri-isteri mereka, masuk ke dalam bahtera untuk menyelamatkan diri daripada banjir. 8Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang, baik yang halal mahupun yang haram, 9masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh, seperti yang diperintahkan oleh Allah. 10Tujuh hari kemudian banjir melanda bumi.

11Ketika Nuh berumur enam ratus tahun, pada hari ketujuh belas, bulan kedua, segala mata air di bawah tanah terbelah. Segala pintu air di langit terbuka, 12lalu hujan turun selama empat puluh hari dan empat puluh malam. 13Pada hari itu juga, Nuh dan isterinya masuk ke dalam bahtera bersama dengan ketiga-tiga orang anak mereka, iaitu Sem, Yafet, dan Ham, serta isteri masing-masing. 14Bersama-sama mereka masuk pula setiap jenis binatang, baik yang jinak mahupun yang liar, yang besar mahupun yang kecil, dan juga setiap jenis burung. 15Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap makhluk hidup masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh, 16seperti yang diperintahkan oleh Allah. Selepas semuanya masuk, TUHAN menutup pintu bahtera.

17Banjir terus-menerus melanda bumi selama empat puluh hari, dan air naik sehingga bahtera terapung. 18Air semakin naik sehingga bahtera terapung-apung pada permukaan air. 19Air masih naik sehingga meliputi gunung-gunung yang paling tinggi. 20Air terus-menerus naik sampai tujuh meter lebih tinggi daripada puncak gunung. 21-23 TUHAN membinasakan semua makhluk yang hidup di bumi: manusia, burung, dan binatang darat yang kecil mahupun yang besar. Hanya Nuh dan semua yang ada bersama-sama dia di dalam bahtera tidak binasa. 24Air tidak kunjung surut selama seratus lima puluh hari.

8:1Allah tidak melupakan Nuh dan semua binatang yang ada bersama-samanya di dalam bahtera. Allah membuat angin bertiup sehingga air mulai surut. 2Segala mata air di bawah tanah dan pintu air di langit ditutup. Hujan berhenti, 3lalu air semakin surut. Selepas seratus lima puluh hari, paras air tidak berapa tinggi lagi. 4Pada hari ketujuh belas bulan ketujuh, bahtera itu terkandas di sebuah puncak di banjaran Ararat. 5Air semakin surut dan pada  haripertama bulan kesepuluh, puncak- puncak gunung mula kelihatan.

6Selepas empat puluh hari, Nuh membuka sebuah tingkap bahtera 7lalu melepaskan seekor burung gagak. Burung itu tidak kembali tetapi terbang kian ke mari sehingga air banjir surut sama sekali. 8Sementara itu, Nuh melepaskan seekor burung merpati untuk mengetahui sama ada air sudah surut. 9Oleh sebab air masih meliputi seluruh muka bumi, burung merpati itu tidak mendapat tempat untuk hinggap. Burung merpati itu kembali ke bahtera; Nuh menghulurkan tangannya lalu membawa burung itu ke dalam bahtera. 10Nuh menunggu selama tujuh hari, kemudian melepaskan burung itu semula. 11Pada petang hari, burung itu kembali kepada Nuh sambil membawa sehelai daun zaitun yang segar pada paruhnya. Dengan itu Nuh mengetahui bahawa air sudah surut. 12Dia menunggu selama tujuh hari lagi, lalu melepaskan merpati itu sekali lagi; kali ini merpati itu tidak kembali.

13Ketika Nuh berumur 601 tahun, pada hari pertama bulan pertama, air telah surut sama sekali. Nuh membuka bumbung bahtera dan memandang di sekelilingnya. Dia mendapati permukaan tanah sudah mulai kering. 14Pada hari kedua puluh tujuh bulan kedua, bumi telah kering.

15Kemudian Allah berfirman kepada Nuh,

16“Keluarlah dari bahtera bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. 17Bawalah keluar semua burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya burung dan binatang itu dapat berkembang biak dan tersebar ke seluruh bumi.”

18Nuh keluar dari bahtera bersama dengan isterinya, anak-anaknya serta isteri masing-masing. 19Semua burung dan binatang darat keluar dari bahtera, tiap-tiap jenis bersama dengan kelompok sejenisnya.

20Nuh mendirikan sebuah mazbah untuk TUHAN. Dia mengambil seekor daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, lalu di atas mazbah itu, dia mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 21Bau harum korban itu menyenangkan hati TUHAN, lalu TUHAN berfirman di dalam hati,

“Aku tidak lagi mengutuk bumi kerana perbuatan manusia; Aku tahu bahawa sejak masa muda, fikiran manusia itu jahat. Aku tidak lagi membinasakan semua makhluk hidup, seperti yang telah Aku lakukan kali ini. 22Selagi bumi ini ada, akan ada masa menanam dan masa menuai, musim sejuk dan musim panas, musim kemarau dan musim hujan, siang dan malam.”

9:1Allah memberkati Nuh dan anak-anaknya, serta berfirman kepada mereka,

“Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak supaya keturunan kamu mendiami seluruh bumi. 2Semua burung dan ikan, serta binatang lain akan takut kepada kamu; semuanya berada dalam kekuasaan kamu. 3Kini kamu boleh makan semuanya, serta tumbuh-tumbuhan hijau; Aku memberikan semua itu kepada kamu sebagai makanan. 4Hanya daging yang masih berdarahtidak boleh kamu makan, kerana nyawa itu terkandung di dalam darah. 5Setiap orang dan binatang yang membunuh manusia akan Kuhukum mati. 6Manusia diciptakan seperti Allah; oleh itu, sesiapa yang membunuh manusia akan dibunuh oleh manusia juga. 7Kamu harus mempunyai banyak anak cucu, supaya keturunan kamu dapat mendiami seluruh bumi.”

8Allah berfirman kepada Nuh dan anak-anaknya,

9“Sekarang Aku membuat perjanjian dengan kamu dan keturunan kamu, 10dan juga dengan semua makhluk hidup, iaitu burung dan binatang; semua yang keluar dari bahtera bersama dengan kamu. 11Inilah perjanjian-Ku dengan kamu. Aku berjanji bahawa semua makhluk hidup tidak akan dibinasakan oleh banjir lagi. Banjir tidak akan memusnahkan bumi lagi. 12Sebagai tanda perjanjian abadi yang Aku buat dengan kamu dan semua makhluk hidup, 13Aku menempatkan  pelangi-Ku di langit. Pelangi menjadi tanda perjanjian-Ku dengan dunia. 14Tiap-tiap kali Aku meliputi langit dengan awan dan pelangi itu kelihatan, 15Aku akan mengingat perjanjian-Ku dengan kamu dan dengan semua makhluk hidup, bahawa banjir tidak lagi akan membinasakan semua makhluk hidup. 16Apabila pelangi itu kelihatan di langit, Aku akan melihatnya dan mengingat perjanjian abadi antara Aku dan semua makhluk yang hidup di bumi. 17Itulah tanda perjanjian yang Aku buat dengan semua makhluk yang hidup di bumi.”

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini
admin

Recent Posts

Zaman Keemasan Islam (Bahagian 2/2)

Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…

2 years ago

Nasrani dalam Pengertian Islam (Bhg. 1/4)

Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…

2 years ago

Patuh SOP pada Sholat Eid Boleh Diterima?

Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…

3 years ago

Permulaan Transformasi Kalbu Jiwa

Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…

3 years ago

Sisi Gelap Kalbu Jiwa Manusia

Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…

3 years ago

Privacy Policy

Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…

4 years ago