Categories: Article

Saudara-Saudara Yusuf Pergi ke Mesir untuk Membeli Gandum

Petikan dari Kitab Taurat: Kejadian 42:1-38.

1Apabila Yakub mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir, dia berkata kepada anak-anak lelakinya, “Mengapa kamu tidak melakukan sesuatu? 2Aku mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir; pergilah ke sana untuk membeli gandum supaya kita tidak mati kebuluran.” 3Oleh itu sepuluh orang abang tiri Yusuf pergi membeli gandum di Mesir. 4Tetapi Yakub tidak membenarkan Benyamin, adik kandung Yusuf, pergi bersama dengan mereka, kerana Yakub takut jangan-jangan terjadi sesuatu kecelakaan kepada anaknya itu.

5Anak-anak Yakub bersama dengan orang lain datang membeli gandum di Mesir, kerana ada kebuluran di negeri Kanaan. 6Yusuf, sebagai gabenor di Mesir, menjual gandum kepada orang dari seluruh dunia. Oleh itu saudara-saudara Yusuf datang dan sujud di hadapannya. 7Apabila Yusuf nampak saudara-saudaranya, dia mengenali mereka tetapi dia pura-pura tidak kenal. Dengan kasar dia bertanya kepada mereka, “Kamu dari mana?”

Mereka menjawab, “Kami dari Kanaan. Kami datang untuk membeli makanan.”

8Meskipun Yusuf mengenali abang-abangnya, mereka tidak mengenali dia. 9Kemudian dia teringat akan mimpi-mimpinya tentang mereka, lalu dia berkata, “Kamu ini pengintip; kamu datang untuk menyiasat kelemahan negeri kami.”

10Mereka menjawab, “Tidak, tuan. Kami, hamba-hamba tuan, datang hanya untuk membeli makanan. 11Kami ini bersaudara, tuan. Kami orang jujur, bukan pengintip.” 12Yusuf berkata kepada mereka, “Tidak! Kamu datang ke sini untuk menyiasat kelemahan negeri ini.”

13Mereka menjawab, “Tuan, kami dua belas orang adik-beradik, anak daripada satu bapa, di negeri Kanaan. Seorang daripada kami sudah meninggal dan yang bongsu ada bersama dengan bapa kami.”

14Yusuf menjawab, “Memang benar seperti kataku, kamu ini pengintip. 15Aku mahu menguji kamu. Aku bersumpah demi nama raja bahawa kamu tidak akan meninggalkan negeri ini kecuali adik kamu yang bongsu itu datang ke sini. 16Seorang daripada kamu harus pulang untuk membawanya ke mari. Sementara itu, kamu yang lain akan ditahan sampai kata-kata kamu itu terbukti benar. Jika tidak, demi nama raja, kamu ini pengintip!” 17Kemudian mereka dimasukkan ke dalam penjara selama tiga hari.

18Pada hari yang ketiga Yusuf berkata kepada mereka, “Aku orang yang takut dan taat kepada Allah. Aku akan menyelamatkan kamu dengan satu syarat. 19Untuk membuktikan bahawa kamu ini jujur, seorang daripada kamu akan ditahan di dalam penjara; yang lain boleh pulang dan membawa gandum yang dibeli untuk keluarga kamu yang sedang menderita kebuluran. 20Selepas itu kamu harus membawa adik kamu yang bongsu kepadaku. Itulah buktinya nanti bahawa kata-kata kamu itu benar, dan aku tidak akan menjatuhkan hukuman mati kepada kamu.”

Mereka setuju dengan keputusan gabenor itu. 21Kemudian mereka bercakap satu sama lain, “Sekarang kita dihukum kerana kesalahan kita terhadap adik kita dahulu; dia meminta tolong tetapi kita tidak mempedulikannya, walaupun kita nampak dia sangat menderita. Itulah sebabnya kita mengalami penderitaan ini sekarang.”

22Ruben berkata, “Dahulu aku melarang kamu menyakiti anak itu, tetapi kamu tidak mahu mendengar. Sekarang kita menerima balasan kerana kematiannya.” 23Yusuf memahami bahasa mereka tetapi mereka tidak mengetahui hal itu, kerana mereka berkata-kata dengan Yusuf melalui seorang jurubahasa. 24Yusuf meninggalkan mereka, lalu menangis. Apabila dia dapat berkata-kata lagi, dia kembali kepada mereka lalu memilih Simeon. Yusuf menyuruh orang mengikat Simeon di hadapan semua saudaranya.

Saudara-Saudara Yusuf Kembali ke Kanaan

25Yusuf memerintahkan supaya karung-karung yang dibawa saudara-saudaranya diisi dengan gandum, lalu wang masing-masing dimasukkan ke dalam karung-karung itu. Yusuf juga memerintahkan supaya mereka diberi bekal makanan untuk perjalanan. Perintahnya itu dilaksanakan. 26Selepas itu saudara-saudara Yusuf memuati keldai mereka dengan gandum yang sudah dibeli, lalu mereka berangkat. 27Di tempat mereka bermalam, seorang daripada mereka membuka karung gandumnya untuk memberi keldainya makanan, lalu menjumpai wangnya di atas gandum. 28“Wang aku dikembalikan,” serunya kepada saudara-saudaranya. “Tengoklah, wang ada di dalam karungku!” Hati mereka berdebar-debar, dan dengan takut mereka saling bertanya, “Apakah yang dilakukan Allah kepada kita?”

29Apabila mereka sampai di Kanaan, mereka menceritakan segala sesuatu yang dialami mereka, kepada bapa mereka. Mereka berkata, 30“Gabenor Mesir bercakap kasar kepada kami dan menuduh kami mengintip negerinya. 31Kami menjawab, ‘Kami orang jujur, bukan pengintip. 32Kami dua belas orang adik-beradik, anak daripada satu bapa, tetapi seorang sudah meninggal, dan yang bongsu ada bersama dengan bapa kami di Kanaan.’ 33Gabenor itu berkata, ‘Aku mahu menguji kamu untuk mengetahui sama ada kamu jujur. Seorang daripada kamu harus tinggal, tetapi yang lain boleh pulang dan membawa gandum kepada keluarga kamu yang sedang menderita kebuluran. 34Apabila kamu datang ke sini lagi, bawalah adik bongsu kamu. Dengan demikian aku akan tahu bahawa kamu bukan pengintip, melainkan orang jujur. Saudara kamu yang aku tahan itu akan kukembalikan kepada kamu, lalu kamu boleh tinggal di negeri ini dan bebas berdagang.’ ”

35Apabila mereka mengosongkan karung, masing-masing menjumpai kantung wangnya. Ketika mereka melihat wang itu, mereka dan bapa mereka takut. 36Kemudian bapa mereka berkata, “Kamu menyebabkan aku kehilangan semua anakku. Yusuf tiada lagi; Simeon pun tiada lagi; sekarang kamu mahu membawa pergi Benyamin pula. Akulah yang menderita!”

37Oleh itu Ruben berkata kepada bapanya, “Serahkanlah Benyamin ke bawah jagaan saya. Saya akan membawa dia kembali. Jika tidak, ayah boleh membunuh kedua-dua orang anak lelaki saya.”

38Tetapi Yakub berkata, “Tidak! Kamu tidak boleh membawa Benyamin. Abangnya sudah meninggal dan kini hanya dia yang tinggal. Jangan-jangan dia mendapat kecelakaan dalam perjalanan. Aku sudah tua, dan kesedihan yang kamu datangkan kepadaku akan mengakibatkan kematianku.”

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini
admin

Recent Posts

Zaman Keemasan Islam (Bahagian 2/2)

Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…

2 years ago

Nasrani dalam Pengertian Islam (Bhg. 1/4)

Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…

2 years ago

Patuh SOP pada Sholat Eid Boleh Diterima?

Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…

3 years ago

Permulaan Transformasi Kalbu Jiwa

Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…

3 years ago

Sisi Gelap Kalbu Jiwa Manusia

Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…

3 years ago

Privacy Policy

Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…

4 years ago