Categories: Article

Lembu Jantan daripada Emas

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 32:1-35.

Lembu Jantan daripada Emas

1Apabila orang Israel melihat bahawa Musa berada di gunung itu lama sekali, dan dia belum juga turun, mereka mengerumuni Harun dan berkata kepadanya, “Kita tidak tahu apa telah berlaku kepada si Musa, yang telah memimpin kita keluar dari Mesir; oleh itu buatlah satu tuhansatu tuhan; atau beberapa tuhan. bagi kami untuk memimpin kami.”

2Harun berkata kepada mereka, “Tanggalkanlah anting-anting emas yang dipakai oleh isteri, anak lelaki, dan anak perempuan kamu, lalu bawalah semuanya kepadaku.” 3Oleh itu mereka semua menanggalkan anting-anting emas dan memberikan semuanya kepada Harun. 4Harun mengambil anting-anting itu, meleburkan semuanya lalu mencurahkan emas itu ke dalam acuan, dan membuat sebuah patung lembu jantan.

Umat itu berkata, “Hai Israel, inilah tuhan kita yang telah membawa kita keluar dari Mesir!”

5Kemudian Harun membina sebuah mazbah di hadapan lembu emas itu dan mengumumkan, “Esok kita akan mengadakan pesta untuk menghormati TUHAN.” 6Awal pagi esoknya mereka membawa beberapa ekor binatang untuk dipersembahkan sebagai korban, dan beberapa ekor lagi bagi korban untuk memohon berkat kepada TUHAN. Mereka duduk untuk makan dan minum, lalu bangkit untuk berpesta liar.

7TUHAN berfirman kepada Musa, “Cepatlah turun kerana umatmu yang engkau pimpin keluar dari Mesir telah berdosa dan menolak Aku. 8Mereka telah menyimpang daripada perintah-Ku. Mereka telah membuat sebuah patung lembu daripada emas leburan, lalu menyembahnya; mereka juga mempersembahkan korban kepadanya. Mereka berkata bahawa itulah tuhan mereka yang telah memimpin mereka keluar dari Mesir. 9Aku tahu betapa degilnya umat itu. 10Sekarang, janganlah halang Aku. Aku murka terhadap mereka dan hendak membinasakan mereka. Tetapi Aku akan menjadikan engkau dan keturunanmu satu bangsa yang besar.”

11Tetapi Musa merayu kepada TUHAN, Allahnya dan berkata, “Ya TUHAN, mengapakah Engkau begitu murka terhadap umat-Mu yang telah Engkau bebaskan dari Mesir, dengan kuasa dan kekuatan yang besar? 12Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir akan berkata bahawa Engkau membawa mereka keluar dari Mesir justeru untuk membunuh mereka di pergunungan dan membinasakan mereka sama sekali. Janganlah murka lagi, ubahlah niat-Mu dan janganlah timpakan bencana ini kepada umat-Mu. 13Ingatlah akan hamba-Mu Abraham, Ishak, dan Yakub. Ingatlah akan janji-Mu kepada mereka untuk mengurniai mereka keturunan sebanyak bintang di langit, dan memberi mereka seluruh tanah ini untuk menjadi milik mereka selama-lamanya.” 14Oleh itu TUHAN mengubah niat-Nya dan tidak melaksanakan ancaman-Nya untuk menimpakan bencana kepada umat-Nya.

15Musa turun dari gunung sambil membawa dua buah batu tulis yang bertuliskan perintah Allah pada kedua-dua mukanya. 16Allah sendiri telah membuat dua buah batu tulis itu dan mengukirkan perintah-Nya di situ.

17Yosua mendengar orang Israel berteriak-teriak, lalu berkata kepada Musa, “Saya mendengar bunyi pertempuran di perkhemahan.”

18Musa berkata, “Bunyi itu bukan suara kemenangan ataupun kekalahan; bunyi itu suara orang menyanyi.”

19Apabila Musa menghampiri perkhemahan lalu melihat patung lembu daripada emas itu dan rakyat menari-nari, dia naik marah. Di situ, di kaki gunung, dia membanting batu-batu tulis yang dibawanya sehingga hancur berkeping-keping. 20Musa mengambil patung lembu daripada emas yang dibuat mereka itu, lalu melebur dan menumbuknya sehingga menjadi serbuk halus, kemudian dia mencampurnya dengan air. Selepas itu Musa menyuruh orang Israel minum air itu. 21Musa berkata kepada Harun, “Apakah yang telah dilakukan umat ini kepadamu sehingga engkau membiarkan mereka berdosa besar?”

22Harun menjawab, “Janganlah marah kepadaku. Engkau tahu betapa nekadnya umat ini untuk melakukan kejahatan. 23Mereka berkata kepadaku, ‘Kami tidak tahu apa telah berlaku kepada si Musa, yang memimpin kami keluar dari Mesir. Oleh itu, buatlah satu tuhan bagi kami untuk memimpin kami.’ 24Aku menyuruh mereka memberikan perhiasan emas kepadaku, lalu orang yang mempunyai perhiasan menanggalkannya dan memberikannya kepadaku. Aku mencampakkan perhiasan emas itu ke dalam api, lalu terbentuklah lembu ini.”

25Musa sedar bahawa Harun telah membiarkan orang Israel dalam keadaan yang tidak terkawal lagi, sehingga mempermalukan diri mereka sendiri di hadapan musuh. 26Oleh itu Musa berdiri di pintu gerbang perkhemahan dan berseru, “Tiap-tiap orang yang memihak kepada TUHAN harus datang ke mari!” Oleh itu segenap suku Lewi berhimpun mengelilingi Musa. 27Kemudian Musa berkata kepada mereka, “TUHAN, Allah Israel memerintahkan setiap orang menghunus pedang, dan pergi dari pintu perkhemahan ini ke pintu di sebelah sana, lalu membunuh saudara-saudara, kawan-kawan, dan jiran-jirannya.” 28Suku Lewi taat, lalu membunuh kira-kira tiga ribu orang pada hari itu. 29Musa berkata kepada suku Lewi, “Pada hari ini kamu telah mentahbiskan diriMenurut beberapa buah naskhah terjemahan kuno: Hari ini kamu sudah mentahbiskan diri. Menurut naskhah Ibrani: Tahbiskanlah diri kamu pada hari ini; atau Kamu sudah ditahbiskan pada hari ini. sebagai imam yang mengabdi kepada TUHAN, dengan membunuh anak lelaki kamu dan saudara-saudara kamu; maka TUHAN memberikan berkat-Nya kepada kamu.”

30Keesokan harinya, Musa berkata kepada orang Israel, “Kamu telah berdosa besar. Tetapi aku akan naik ke gunung itu lagi untuk menghadap TUHAN; mudah-mudahan aku boleh mendapatkan pengampunan bagi dosa kamu.” 31Musa kembali menghadap TUHAN dan berkata, “Umat itu telah melakukan dosa besar. Mereka telah membuat tuhan daripada emas dan menyembahnya. 32Ampunkanlah dosa mereka; jika tidak, hapuskanlah namaku dari kitab yang Engkau tuliskan dengan nama-nama umat-Mu.”

33TUHAN menjawab, “Hanya orang yang telah berdosa terhadap Aku akan Kuhapuskan namanya dari kitab-Ku itu. 34Pergilah sekarang, dan bawalah umat itu ke tempat yang telah Aku sebut kepadamu. Ingatlah, malaikat-Ku akan memimpin engkau, tetapi akan tiba masanya apabila Aku akan menghukum umat ini kerana dosa mereka.”

35Kemudian TUHAN mendatangkan penyakit kepada umat itu, kerana mereka telah memaksa Harun membuat patung lembu daripada emas.

 

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 33:1-33.

TUHAN Memerintah Orang Israel Meninggalkan Gunung Sinai

1TUHAN berfirman kepada Musa, “Tinggalkanlah tempat ini bersama dengan umat yang engkau bawa keluar dari Mesir, dan pergilah ke tanah yang telah Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, Yakub, dan keturunan mereka. 2Aku akan menghantar satu malaikat untuk memimpin kamu. Aku akan mengusir orang Kanaan, Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi. 3Kamu akan pergi ke tanah yang kaya dan subur. Tetapi Aku sendiri tidak akan pergi bersama-sama kamu, supaya kamu tidak Aku binasakan di tengah perjalanan, kerana kamu umat yang degil.”

4Selepas umat mendengar firman itu, mereka mula berkabung dan tidak lagi memakai barang kemas, 5kerana TUHAN telah menyuruh Musa menyampaikan firman-Nya kepada umat Israel, “Kamu umat yang degil. Jika Aku ikut bersama-sama kamu walau seketika pun, tentu kamu akan Kubinasakan sama sekali. Sekarang, tanggalkanlah barang kemas kamu; kemudian Aku akan menentukan apa yang Aku lakukan kepada kamu.” 6Oleh sebab itu, selepas orang Israel meninggalkan Gunung Sinai, mereka tidak lagi memakai barang kemas.

Khemah TUHAN

7Bila-bila sahaja orang Israel berkhemah, Musa akan mengambil Khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan mereka, tidak berapa jauh dari perkhemahan itu. Khemah itu dinamakan Khemah TUHAN. Sesiapa yang minta nasihat TUHAN akan pergi ke Khemah itu. 8Setiap kali Musa pergi ke Khemah itu, segenap umat akan berdiri di pintu khemah mereka dan memperhatikan Musa sehingga dia masuk ke dalam Khemah TUHAN. 9Setelah Musa masuk, tiang awan turun dan berhenti di pintu Khemah itu, lalu TUHAN berfirman kepada Musa dari awan itu. 10Sebaik sahaja umat melihat tiang awan di pintu Khemah TUHAN, mereka bersujud. 11TUHAN berfirman kepada Musa dengan bersemuka, sebagaimana seseorang bercakap dengan sahabatnya. Kemudian Musa kembali ke perkhemahan, tetapi Yosua anak Nun, pemuda yang menjadi pembantu Musa, tinggal di dalam Khemah TUHAN.

TUHAN Berjanji akan Menyertai Umat-Nya

12Musa berkata kepada TUHAN, “Memang benar Engkau telah menyuruh aku memimpin umat ini ke tanah yang telah Engkau janjikan, tetapi Engkau tidak memberitahu aku siapa yang Engkau utus untuk menyertai aku. Engkau berfirman bahawa Engkau mengenal aku dengan baik serta berkenan kepadaku. 13Jika hal ini benar, nyatakanlah rancangan-Mu supaya aku dapat mengabdikan diri kepada-Mu dan tetap menyenangkan hati-Mu. Ingatlah juga bahawa Engkau telah memilih umat ini menjadi milik-Mu sendiri.”

14TUHAN berfirman, “Aku akan ikut engkau, dan Aku akan memberikan ketenangan fikiran kepadamu.”

15Musa menjawab, “Jika Engkau tidak ikut kami, jangan suruh kami meninggalkan tempat ini. 16Bagaimanakah orang lain tahu bahawa Engkau berkenan kepada umat-Mu dan aku, jika Engkau tidak ikut kami? Hadirat-Mu di tengah-tengah kami akan membezakan kami daripada bangsa lain di bumi.”

17TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan melakukan seperti yang engkau minta, kerana Aku mengenal engkau dengan baik dan Aku berkenan kepadamu.”

18Kemudian Musa memohon, “Benarkanlah aku melihat cahaya hadirat-Mu.”

19TUHAN menjawab, “Aku akan lalu dengan segala keagungan-Ku di hadapanmu, sambil mengucapkan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. Aku akan menunjukkan rahmat dan belas kasihan kepada orang yang Aku pilih. 20Engkau tidak boleh melihat wajah-Ku, kerana tiada manusia yang tetap hidup setelah melihat wajah-Ku. 21Berdirilah di atas bukit batu yang terletak di sebelah-Ku. 22Apabila cahaya hadirat-Ku lalu, Aku akan memasukkan engkau ke dalam celah bukit batu dan menghalangi penglihatanmu dengan tangan-Ku sehingga Aku telah lalu. 23Kemudian Aku akan mengangkat tangan-Ku dan engkau akan nampak belakang-Ku, tetapi tidak nampak wajah-Ku.”

 

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 34:1-35.

Dua Buah Batu Tulis yang Baru

1TUHAN berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua buah batu tulis seperti yang dahulu. Pada batu tulis itu, Aku akan menulis firman yang sama dengan firman yang ada pada batu tulis yang pertama, yang telah engkau pecahkan. 2Bersiap-siaplah esok pagi, dan naiklah ke Gunung Sinai untuk menghadap Aku di puncak gunung itu. 3Tiada sesiapa pun boleh naik bersama-samamu, atau kelihatan di bahagian mana pun gunung itu; domba ataupun lembu tidak boleh meragut di kaki gunung itu.” 4Kemudian Musa memahat dua buah batu tulis seperti yang dahulu, dan pada awal pagi esoknya dia membawa batu tulis itu, lalu naik ke Gunung Sinai, seperti yang diperintahkan TUHAN.

5TUHAN turun dalam awan; Dia berdiri dengan Musa di tempat itu dan menyebut nama-Nya yang suci, iaitu TUHAN. 6Kemudian TUHAN lalu di hadapan Musa dan berfirman, “Aku TUHAN, Allah yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar. 7Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan,beribu-ribu keturunan; atau beribu-ribu orang. serta mengampunkan kejahatan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman. Aku juga akan menghukum anak-anak dan cucu-cicit mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan yang keempat, kerana dosa ibu bapa mereka.”

8Dengan segera Musa bersujud menyembah. 9Dia berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, aku mohon Engkau ikut dengan kami. Umat ini degil, tetapi ampunkanlah kejahatan serta dosa kami, dan terimalah kami sebagai umat-Mu sendiri.”

Perjanjian Dibaharui

10TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku membuat suatu perjanjian dengan umat Israel. Di depan mata mereka, Aku akan melakukan perkara-perkara besar, yang belum pernah dilakukan antara bangsa-bangsa di seluruh bumi. Semua bangsa akan melihat apa yang dapat Aku, TUHAN lakukan, kerana Aku akan melakukan perkara yang hebat untuk kamu. 11Taatilah hukum yang Aku berikan kepadamu hari ini. Aku akan mengusir orang Amori, Kanaan, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi apabila kamu pergi ke sana. 12Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri yang akan kamu duduki, kerana hal itu akan menjadi perangkap yang mengakibatkan kebinasaan kamu. 13Robohkanlah mazbah-mazbah mereka; hancurkanlah tugu-tugu keramat mereka, dan tebanglah lambang-lambang Asyera, berhala mereka.

14Jangan sembah tuhan-tuhan lain, kerana Aku, TUHAN, tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. 15Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri itu, kerana apabila mereka menyembah tuhan-tuhan mereka dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu, mereka akan menjemput kamu. Maka kamu akan tergoda untuk makan makanan yang dipersembahkan mereka kepada tuhan-tuhan itu. 16Anak-anak lelaki kamu mungkin akan berkahwin dengan anak-anak perempuan mereka, yang akan menyebabkan anak-anak lelaki kamu tidak lagi setia kepada-Ku, dan menyembah tuhan-tuhan lain.

17Jangan buat tuhan-tuhan daripada logam, dan jangan sembah tuhan-tuhan itu.

18Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi. Sebagaimana telah Aku perintahkan, makanlah roti tidak beragi selama tujuh hari pada bulan Abib, kerana pada bulan itu kamu telah meninggalkan Mesir.

19Setiap anak lelaki sulung dan anak jantan sulung ternakan adalah milik-Ku. 20Tetapi kamu harus menebus setiap anak sulung keldai kamu dengan mempersembahkan seekor domba sebagai penggantinya. Jika kamu tidak menebus keldai itu, patahkanlah lehernya. Kamu harus menebus setiap anak lelaki sulung kamu.

Tidak seorang pun boleh menghadap Aku tanpa membawa persembahan.

21Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi jangan bekerja pada hari ketujuh, walaupun pada masa membajak atau masa menuai.

22Rayakanlah Perayaan Menuai apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu. Rayakanlah juga Perayaan Pondok Daun pada musim luruh, apabila kamu memetik buah-buahan.

23Tiga kali setahun, semua orang lelaki mesti datang menyembah Aku TUHAN, Allah Israel. 24Setelah Aku mengusir bangsa-bangsa dari hadapan kamu dan meluaskan wilayah kamu, tiada sesiapa pun yang akan cuba menakluki negeri kamu pada waktu tiga perayaan itu.

25Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Sisa binatang yang disembelih pada masa Perayaan Paska tidak boleh disimpan sehingga esok pagi.

26Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama dari tanah kamu ke rumah TUHAN, Allah kamu.

Jangan masak anak domba atau anak kambing dalam air susu induknya.”

27TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman ini Aku membuat perjanjian dengan engkau dan dengan Israel.” 28Musa tinggal di tempat itu bersama-sama TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, tanpa makan dan minum. Musa menulis perkataan perjanjian itu, iaitu Sepuluh Hukum, pada batu-batu tulis itu.

Musa Turun dari Gunung Sinai

29Apabila Musa turun dari Gunung Sinai sambil membawa Sepuluh Hukum itu, mukanya bercahaya kerana dia telah bercakap dengan TUHAN, tetapi Musa sendiri tidak tahu bahawa mukanya bercahaya. 30Harun dan segenap umat melihat bahawa muka Musa bercahaya. Oleh itu mereka takut mendekati Musa, 31tetapi Musa memanggil mereka. Kemudian Harun bersama dengan para pemimpin umat mendekatinya, dan Musa berkata-kata kepada mereka. 32Selepas itu, segenap umat Israel berkumpul di sekeliling Musa. Lalu kepada mereka, Musa menyampaikan segala hukum yang diberikan TUHAN kepadanya di Gunung Sinai. 33Selepas Musa berucap kepada mereka, dia menutup mukanya dengan selubung. 34Setiap kali Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN untuk bercakap dengan TUHAN, Musa membuka selubungnya. Selepas Musa keluar, dia menyampaikan segala yang diperintahkan TUHAN kepada segenap umat Israel, 35dan mereka nampak mukanya bercahaya. Kemudian Musa menutup mukanya semula sehingga sampai masanya dia bercakap lagi dengan TUHAN.

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini
admin

Recent Posts

Zaman Keemasan Islam (Bahagian 2/2)

Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…

2 years ago

Nasrani dalam Pengertian Islam (Bhg. 1/4)

Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…

2 years ago

Patuh SOP pada Sholat Eid Boleh Diterima?

Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…

3 years ago

Permulaan Transformasi Kalbu Jiwa

Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…

3 years ago

Sisi Gelap Kalbu Jiwa Manusia

Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…

3 years ago

Privacy Policy

Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…

4 years ago