Petikan dari Kitab Taurat: Kejadian 47:1-31.
1-2Kemudian Yusuf membawa lima orang daripada saudaranya, lalu menghadap raja. Yusuf berkata, “Bapa dan saudara-saudara hamba sudah datang bersama dengan kawanan kambing dan domba, lembu, dan segala kepunyaan mereka dari Kanaan. Sekarang mereka berada di daerah Gosyen.” Selepas itu, dia memperkenalkan saudara-saudaranya kepada raja. 3Raja bertanya kepada mereka, “Apakah pekerjaan kamu?”
Mereka menjawab, “Hamba sekalian gembala ternakan seperti nenek moyang hamba sekalian. 4Hamba semua datang untuk tinggal di negeri ini kerana kebuluran di tanah Kanaan terlalu dahsyat, sehingga tiada lagi rumput untuk ternakan. Benarkanlah hamba sekalian tinggal di daerah Gosyen.” 5Lalu raja bertitah kepada Yusuf, “Sekarang bapa dan saudara-saudaramu telah tiba di sini. 6Anggaplah negeri Mesir sebagai negerimu sendiri. Biarlah mereka menetap di daerah Gosyen, daerah yang terbaik di negeri ini. Jika ada orang yang cekap antara mereka, tugaskanlah orang itu menjaga ternakan beta.”
7Yusuf juga membawa bapanya menghadap raja. Yakub memberkati raja, 8lalu raja bertanya kepadanya, “Berapakah umurmu?”
9Yakub menjawab, “Hamba sudah hidup seratus tiga puluh tahun sebagai pengembara. Hidup hamba ini singkat dan penuh dengan kesukaran, tidak seperti panjangnya umur nenek moyang hamba yang hidup sebagai pengembara.” 10Selepas itu Yakub memberkati raja, lalu meninggalkan tempat itu. 11Yusuf membantu bapa dan saudara-saudaranya menetap di Mesir. Dia memberi mereka tanah sebagai hak milik di kawasan yang terbaik di negeri itu, dekat kota Rameses, sebagaimana yang diperintahkan raja. 12Yusuf menyediakan makanan bagi bapanya, saudara-saudaranya, dan sanak saudaranya, termasuk yang paling muda.
Masa Kebuluran
13Kebuluran sangat dahsyat sehingga tiada lagi makanan di mana-mana pun. Penduduk Mesir dan Kanaan lemah, serta tidak berdaya kerana kebuluran. 14Setiap kali mereka membeli gandum, Yusuf mengumpulkan wang pembayar gandum, lalu menyimpannya di istana raja. 15Apabila wang di Mesir dan di Kanaan habis dibelanjakan, orang Mesir datang kepada Yusuf dan berkata, “Berilah kami makanan! Jangan biar kami mati. Wang kami sudah habis.”
16Yusuf menjawab, “Jika wang kamu sudah habis, berikanlah ternakan kamu, lalu aku akan memberikan makanan kepada kamu sebagai ganti ternakan.” 17Oleh itu mereka memberikan ternakan kepada Yusuf. Kemudian Yusuf memberikan makanan kepada mereka sebagai ganti kuda, domba, kambing, lembu, dan keldai. Pada tahun itu, Yusuf memberikan makanan kepada mereka dan mereka membayarnya dengan ternakan.
18Pada tahun yang berikut mereka datang lagi kepada Yusuf dan berkata, “Kami berterus terang kepada tuan bahawa wang kami sudah habis dan ternakan kami sudah menjadi milik tuan. Kami tidak mempunyai apa-apa lagi yang dapat diberikan kepada tuan, selain diri kami sendiri dan tanah kami. 19Jangan biar kami mati! Jangan biar ladang-ladang kami menjadi tandus. Belilah kami dan tanah kami dengan gandum. Kami dan tanah kami akan menjadi milik raja. Berilah kami gandum untuk menyambung hidup kami, dan juga benih untuk ditanam di ladang!”
20Kemudian Yusuf membeli seluruh tanah di Mesir untuk raja. Tiap-tiap orang Mesir terpaksa menjual tanahnya kerana masa kebuluran itu sangat dahsyat. Lalu seluruh tanah di Mesir menjadi milik raja. 21Rakyat seluruh Mesir dijadikan hamba oleh Yusuf. 22Hanya tanah kepunyaan para imam yang tidak dibeli oleh Yusuf. Mereka tidak perlu menjual tanah kerana raja memberi mereka elaun tetap untuk keperluan hidup. 23Yusuf berkata kepada rakyat, “Sekarang aku telah membeli kamu dan tanah kamu untuk raja. Oleh itu, ambillah benih ini untuk ditanam di ladang kamu. 24Pada waktu menuai nanti, kamu mesti memberikan seperlima daripada hasilnya kepada raja. Kamu boleh menggunakan bakinya sebagai benih, dan untuk makanan kamu serta keluarga kamu.”
25Mereka menjawab, “Tuan sudah berjasa kepada kami; tuan sudah menyelamatkan kami. Oleh itu kami rela menjadi hamba raja.” 26Kemudian Yusuf menjadikan hal itu undang-undang di negeri Mesir, iaitu seperlima daripada hasil tuaian mesti menjadi milik raja. Sampai sekarang undang-undang itu masih berlaku. Hanya tanah milik para imam yang tidak dijadikan milik raja.
Permintaan Yakub yang Terakhir
27Demikianlah orang Israel menetap di Mesir, di daerah Gosyen. Mereka menjadi kaya dan mempunyai banyak anak cucu di situ. 28Yakub tinggal di Mesir selama tujuh belas tahun sehingga dia berusia seratus empat puluh tujuh tahun. 29Apabila hampir saatnya dia meninggal, dia memanggil Yusuf, anaknya, lalu berkata kepadanya, “Letakkanlah tanganmu di antara pangkal pahaku dan bersumpahlah bahawa engkau tidak akan mengebumikan aku di Mesir. 30Aku mahu dikebumikan di tempat nenek moyangku. Bawalah jenazahku keluar dari negeri ini dan kuburkanlah aku di kuburan mereka.”
Yusuf menjawab, “Saya akan melakukan apa yang dikatakan ayah.”
31Yakub berkata, “Bersumpahlah bahawa engkau akan melakukannya.” Yusuf bersumpah, lalu Yakub mengucapkan syukur di tempat tidurnya.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |
Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…
Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…
Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…
Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…
Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…
Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…