Categories: Article

Allah Memanggil Musa

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 3:1-22.

Allah Memanggil Musa

1Pada masa itu Musa menggembala kawanan domba dan kambing Yitro mentuanya, imam di negeri Midian. Ketika Musa sedang menggiring ternakan itu ke seberang padang gurun, dia tiba di Gunung Sinai, gunung yang suci. 2Di sana malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak. Musa nampak semak itu menyala, tetapi tidak terbakar. 3“Aneh!” fikirnya. “Mengapa semak itu tidak terbakar? Baiklah aku melihat dari dekat.”

4Apabila TUHAN nampak Musa menghampiri-Nya, TUHAN memanggil dia dari tengah semak itu, “Musa, Musa!”

Musa menjawab, “Ya, aku di sini.”

5Allah berfirman, “Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci. 6Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.” Oleh itu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Allah.

7Kemudian TUHAN berfirman, “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir; Aku telah mendengar seruan mereka mohon dibebaskan daripada pengerah-pengerah abdi. Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka. 8Oleh itu Aku turun untuk membebaskan mereka daripada orang Mesir, dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke suatu negeri yang luas, kaya, dan subur. Pada masa ini, negeri itu didiami oleh orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi. 9Sesungguhnya Aku telah mendengar seruan umat-Ku dan melihat bagaimana orang Mesir menindas mereka. 10Sekarang Aku mengutus engkau untuk menghadap raja Mesir supaya engkau dapat memimpin umat-Ku keluar dari negeri raja itu.”

11Tetapi Musa berkata kepada Allah, “Siapakah aku ini? Aku tidak sanggup menghadap raja dan membawa orang Israel keluar dari Mesir.”

12Allah berfirman, “Aku akan menyertai engkau. Apabila engkau telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada-Ku di gunung ini. Itulah buktinya bahawa Aku telah mengutus engkau.”

13Tetapi Musa berkata, “Jika aku menemui orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Allah nenek moyang kamu telah mengutus saya kepada kamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah namanya?’ Apakah yang harus aku katakan kepada mereka?”

14Allah berfirman kepada Musa, “Aku adalah AKU. Inilah yang mesti engkau katakan kepada mereka, ‘Dia yang menyebut diri-Nya AKU sudah mengutus saya kepada kamu.’ 15Beritahulah umat Israel, bahawa AKU, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah mengutus engkau kepada mereka. Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya; itulah nama panggilan-Ku yang harus digunakan oleh semua keturunan yang akan datang. 16Pergilah dan himpunkanlah para pemimpin Israel dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu. Beritahulah mereka bahawa Aku telah datang kepada mereka dan telah melihat apa yang dilakukan orang Mesir terhadap mereka. 17Aku telah mengambil keputusan untuk membawa mereka keluar dari Mesir, tempat mereka ditindas, dan membawa mereka ke suatu tanah yang kaya dan subur, iaitu negeri orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi.

18Umat-Ku akan mendengarkan segala katamu. Kemudian engkau mesti menghadap raja Mesir bersama dengan para pemimpin Israel dan berkata kepadanya, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, telah menampakkan diri kepada kami. Sekarang benarkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang gurun untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami.’ ” 19Allah berfirman lagi, “Aku tahu bahawa raja Mesir tidak akan membenarkan kamu pergi, kecuali dia dipaksa berbuat demikian. 20Tetapi Aku akan menggunakan kuasa-Ku dan menghukum Mesir dengan melakukan hal-hal yang menakutkan di sana. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi.

21Aku akan menyebabkan orang Mesir menghormati kamu supaya apabila kamu, umat-Ku meninggalkan tempat itu, kamu tidak akan pergi dengan tangan kosong. 22Setiap wanita Israel akan minta pakaian, serta barang perhiasan emas dan perak daripada jirannya orang Mesir dan daripada wanita Mesir yang tinggal di rumah jirannya itu. Kamu akan memakaikannya pada anak-anak kamu. Dengan cara itu kamu akan merampas harta orang Mesir.”

 

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 4:1-17.

Allah Memberikan Kuasa kepada Musa untuk Melakukan Mukjizat

1Kemudian Musa berkata kepada TUHAN, “Bagaimana pula jika umat Israel tidak mempercayai aku dan tidak mahu mempedulikan kata-kataku? Apakah yang harus aku buat jika mereka berkata bahawa Engkau tidak menampakkan diri kepadaku?”

2Oleh itu TUHAN bertanya kepada Musa, “Apakah yang engkau pegang itu?”

“Tongkat,” jawab Musa.

3TUHAN berfirman, “Campakkanlah tongkat itu ke tanah.” Apabila Musa mencampakkannya ke tanah, tongkat itu berubah menjadi ular dan Musa berundur untuk menjauhi ular itu. 4Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Dekatilah ular itu dan peganglah ekornya.” Musa menghampirinya dan menangkap ekor ular itu, lalu ular itu berubah menjadi tongkat semula. 5TUHAN berfirman, “Buatlah demikian untuk membuktikan kepada bangsa Israel bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu.”

6TUHAN berfirman lagi kepada Musa, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya putih sekali kerana kena penyakit kulit yang mengerikan. 7Kemudian TUHAN berfirman, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu sekali lagi.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah sembuh dan sihat seperti seluruh badannya. 8TUHAN berfirman, “Jika mereka tidak mahu percaya kepadamu, atau tidak yakin setelah melihat mukjizat yang pertama, maka mukjizat yang kedua akan meyakinkan mereka. 9Jika mereka masih tidak mahu percaya kepadamu walaupun sudah melihat kedua-dua mukjizat itu, dan mereka tidak mahu mempedulikan kata-katamu, ambillah sedikit air dari Sungai Nil dan curahkannya ke tanah. Air itu akan berubah menjadi darah.”

10Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.”

11Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN. 12Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.”

13Tetapi Musa menjawab, “Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain.”

14Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, “Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau. 15Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan. 16Dia akan berkata-kata kepada umat itu bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau menjadi seperti Allah yang memberitahu apa yang harus dikatakannya. 17Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.”

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini
admin

Recent Posts

Zaman Keemasan Islam (Bahagian 2/2)

Berbagai dalil dan dasar matematika juga diperoleh dari terjemahan yang berasal dari India. Selain itu…

2 years ago

Nasrani dalam Pengertian Islam (Bhg. 1/4)

Bismillah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, ikhwah fillah. Saudaraku yang dirahmati Allah! Insya Allah aku akan mulai…

2 years ago

Patuh SOP pada Sholat Eid Boleh Diterima?

Pengertian Sholat Secara Etimologi Terminologi Standar masyarakat Islam Asia Tenggara ini adalah an-edukated yang kurang…

3 years ago

Permulaan Transformasi Kalbu Jiwa

Terimalah rahmat dan kasih karunia Allah s.w.t. Hiduplah dalam rahmat dan kasih karunia-Nya. Berjalanlah dalam…

3 years ago

Sisi Gelap Kalbu Jiwa Manusia

Sebab utama manusia jatuh ke dalam dosa ialah pikiran perasaan kehendak yang berpusat pada kalbu…

3 years ago

Privacy Policy

Polisi Privasi Ya-Rahman Media ... laman web dan semua app ... Laman web ... https://ya-rahman.org…

4 years ago