Contact Information

Theodore Lowe, Ap #867-859
Sit Rd, Azusa New York

We Are Available 24/ 7. Call Now.

Petikan dari Kitab Taurat Surah Yeremia 31:23-34.

Kemakmuran Umat Allah pada Masa Depan

23TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman,

“Apabila Aku mengembalikan umat-Ku ke negeri mereka, maka di negeri Yehuda dan di kota-kotanya akan terdengar lagi orang berkata,

‘Semoga TUHAN memberkati bukit suci, bukit di Yerusalem yang menjadi sebahagian daripada kawasan Rumah TUHAN dan istana. di Yerusalem tempat kediaman yang khas bagi-Nya.’

24Orang akan tinggal di Yehuda dan di semua kotanya. Di sana akan ada petani, dan gembala dengan ternakan mereka. 25Aku akan menyegarkan mereka yang lelah, dan mengenyangkan mereka yang lemah kerana lapar. 26Pada masa itu orang akan berkata,

‘Setelah tidur nyenyak, aku berasa segar.’

27Aku, TUHAN, berfirman bahawa akan tiba masanya apabila Aku memenuhi negeri Israel dan Yehuda dengan manusia dan haiwan. 28Sebagaimana dahulu Aku telah berjaga untuk mencabut, meruntuhkan, menggulingkan, memusnahkan dan menghancurkan mereka, begitu juga Aku akan berjaga untuk menegakkan dan membangunkan mereka semula. 29Pada masa itu orang tidak lagi berkata,

‘Ibu bapa makan buah anggur yang masam, tetapi anak-anak yang berasa ngilu.’

30Tetapi sesiapa makan buah anggur yang masam, dia sendirilah yang akan berasa ngilu. Setiap orang akan mati kerana dosanya sendiri.”

31TUHAN berfirman,

“Akan tiba masanya Aku membuat perjanjian yang baru dengan umat Israel dan Yehuda. 32Perjanjian itu tidak seperti perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka ketika Aku menuntun mereka keluar dari Mesir. Walaupun Aku seperti seorang suami kepada mereka, namun mereka mengingkari perjanjian-Ku dengan mereka. 33Inilah perjanjian baru yang akan Kubuat dengan umat Israel: Aku akan menyimpan hukum-Ku dalam batin mereka, dan menulisnya pada hati mereka. Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku. 34Tidak seorang pun antara mereka perlu mengajar sesamanya untuk mengenal TUHAN, kerana mereka semua, besar kecil, akan mengenal Aku. Aku akan melupakan kesalahan mereka dan mengampunkan dosa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

 

Petikan dari Kitab Taurat Surah Yeremia 32:36-44.

Janji yang Memberikan Harapan

36TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadaku,

“Hai Yeremia, bangsa Israel berkata bahawa peperangan, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan raja Babilonia. Sekarang, dengarlah lagi firman-Ku. 37Aku akan mengumpulkan bangsa ini dari semua negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka kerana kemurkaan dan kegeraman-Ku terhadap mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tempat ini dan membolehkan mereka tinggal di sini dengan selamat. 38Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka. 39Aku akan memberi mereka satu tujuan hidup: untuk menghormati Aku sepanjang masa bagi kebaikan mereka sendiri dan keturunan mereka. 40Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka. Aku tidak akan berhenti berbuat baik untuk mereka. Aku akan menyebabkan mereka takut dan hormat kepada-Ku dengan sepenuh hati supaya mereka tidak meninggalkan Aku. 41Dengan senang hati Aku akan berbuat baik kepada mereka, dan Aku akan membuat mereka menetap di negeri ini selama-lamanya.

42Sebagaimana Aku telah mendatangkan bencana kepada bangsa ini, begitu juga Aku akan memberi mereka semua yang baik, yang telah Kujanjikan. 43Orang berkata bahawa negeri ini akan menjadi seperti padang gurun yang tidak didiami oleh manusia dan binatang, dan negeri ini akan jatuh ke tangan orang Babilonia. Tetapi ladang-ladang di negeri ini akan dibeli orang lagi. 44Orang akan membeli ladang dan surat pembeliannya ditandatangani dan dimeterai di hadapan saksi-saksi. Hal itu akan berlaku di wilayah Benyamin, di pekan-pekan di sekitar Yerusalem, di kota-kota Yehuda, di kota-kota di kawasan perbukitan, di kawasan kaki bukit, dan di bahagian selatan Yehuda. Aku akan mengembalikan bangsa ini ke negeri mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

 

Petikan dari Kitab Taurat Surah Yeremia 33:1-22.

Janji Lain yang Memberikan Harapan

1Ketika aku masih ditahan di halaman istana, TUHAN menyampaikan perkhabaran lain kepadaku. 2TUHAN, yang menciptakan bumi dan membentuk serta meletakkannya di tempatnya, berfirman kepadaku. Dia yang bernama TUHAN berfirman,

3“Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab; Aku akan memberitahu engkau hal-hal yang indah dan mengagumkan, yang belum engkau ketahui. 4Aku, TUHAN, Allah Israel, berfirman bahawa rumah-rumah di Yerusalem dan istana raja Yehuda akan dirobohkan, akibat kepungan dan serangan musuh. 5Beberapa orang akan berperang melawan orang Babilonia, yang akan memenuhkan rumah-rumah dengan mayat orang yang Aku pukul sehingga mati ketika Aku murka dan berang. Aku telah meninggalkan kota ini kerana kejahatan penduduknya. 6Tetapi kelak Aku akan memulihkan keadaan kota ini dan menyembuhkan penduduknya. Aku akan melimpahkan kedamaian dan keamanan kepada mereka. 7Aku akan menjadikan Yehuda dan Israel makmur, dan membangun mereka semula sehingga menjadi seperti dahulu. 8Aku akan menyucikan mereka daripada dosa mereka terhadap-Ku; Aku akan mengampunkan dosa dan pemberontakan mereka. 9Yerusalem akan menjadi kegembiraan, kehormatan, dan kebanggaan-Ku. Semua bangsa di dunia akan takut dan gentar, apabila mendengar tentang segala kebaikan yang Aku lakukan untuk penduduk Yerusalem, dan tentang kemakmuran yang Aku berikan kepada kota itu.”

10TUHAN berfirman,

“Orang berkata bahawa tempat ini seperti gurun, dan tiada orang atau binatang yang tinggal di sini. Kata-kata mereka memang benar, kerana kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem lengang semuanya; tiada orang atau binatang yang tinggal di situ. Tetapi di tempat-tempat itu akan terdengar lagi 11suara kesukaan dan kegembiraan serta keriuhan pesta perkahwinan. Kami akan mendengar orang menyanyi sambil mereka membawa korban kesyukuran ke Rumah-Ku. Mereka akan berkata, ‘Bersyukurlah kepada TUHAN Yang Maha Kuasa, kerana Dia baik dan kasih-Nya kekal abadi.’

Aku akan menjadikan negeri ini makmur seperti dahulu. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

12TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman,

“Di negeri yang seperti padang gurun ini, yang tidak didiami oleh manusia ataupun binatang, sekali lagi akan terdapat padang rumput, tempat orang menggembalakan domba mereka. 13Di kota-kota di kawasan perbukitan, di kaki bukit, di bahagian selatan Yehuda, di wilayah Benyamin, di pekan-pekan di sekitar Yerusalem, dan di kota-kota Yehuda, sekali lagi para gembala akan menghitung domba mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

14TUHAN berfirman,

“Akan tiba masanya apabila Aku menepati janji-Ku kepada penduduk Israel dan Yehuda. 15Pada masa itu Aku akan memilih seorang yang adil daripada keturunan Daud untuk menjadi raja. Raja itu akan melakukan apa yang benar dan adil di seluruh negeri. 16Penduduk Yehuda dan Yerusalem akan diselamatkan, dan mereka akan hidup dengan aman. Kota itu akan dinamakan ‘TUHAN Penyelamat Kita’. 17Aku, TUHAN, berjanji bahawa selalu akan ada seorang daripada keturunan Daud yang menjadi raja Israel; 18dan selalu akan ada imam daripada suku Lewi untuk mengabdi kepada-Ku dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku, korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, dan korban-korban lain.”

19TUHAN berfirman kepadaku,

20“Aku telah membuat perjanjian dengan siang dan malam, supaya siang dan malam selalu datang tepat pada waktunya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan. 21Demikian juga Aku telah membuat perjanjian dengan hamba-Ku Daud, bahawa daripada keturunannya selalu akan ada seorang yang menjadi raja; dan Aku telah membuat perjanjian dengan para imam keturunan Lewi, bahawa mereka akan selalu mengabdi kepada-Ku. Perjanjian-perjanjian itu tidak sekali-kali akan dibatalkan. 22Aku akan menambah bilangan keturunan hamba-Ku Daud, dan bilangan para imam keturunan Lewi, sehingga jumlah mereka tidak dapat dihitung seperti bintang di langit dan pasir di pantai.”

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini
Share:

administrator