Petikan dari Kitab Injil: Matius 4:1-11.
1Setelah itu Isa dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis. 2Isa berpuasa empat puluh hari empat puluh malam. Dia menanggung kelaparan. 3Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Jika Engkau Putera Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.’
4Isa menjawab, ‘Telah tersurat: “Manusia hidup bukan dengan roti saja tetapi dengan setiap firman Allah.” ’
5Selepas itu Iblis membawa Isa ke kota suci Baitulmaqdis dan meletakkan-Nya di puncak rumah ibadat. 6Iblis berkata kepada Isa, ‘Jika Engkau Putera Allah, terjunlah, kerana telah tersurat:
“Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya menjaga-Mu dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.” ’
7Isa menjawab, ‘Tetapi telah tersurat: “Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.” ’
8Iblis membawa pula Isa ke atas gunung yang amat tinggi lalu menunjukkan semua kerajaan di dunia dan kekayaannya. 9Kata Iblis kepada Isa, ‘Semua ini akan kuberikan kepada-Mu jika Engkau sujud menyembahku.’
10Jawab Isa, ‘Nyah engkau, Iblis. Telah tersurat: “Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu dan kepada-Nya saja engkau beribadat.” ’
11Iblis pun meninggalkan Isa dan para malaikat datang melayani-Nya.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |