Contact Information

Theodore Lowe, Ap #867-859
Sit Rd, Azusa New York

We Are Available 24/ 7. Call Now.

Petikan dari Kitab Injil: Matius 13:1-52.

Ibarat seorang penabur

1Pada hari itu juga, Isa keluar dari rumah lalu duduk di tepi laut. 2Sungguh ramai orang datang berhimpun mendapatkan-Nya. Isa pun masuk ke dalam sebuah perahu dan duduk di situ manakala orang ramai itu berdiri di pantai. 3Isa berbicara kepada mereka melalui ibarat: ‘Seorang penyemai benih telah pergi menabur. 4Sebahagian benih yang ditaburnya jatuh di tepi jalan lalu dimakan burung. 5Sesetengahnya jatuh di tempat-tempat berbatu yang tidak banyak tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam. 6Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu kering kepanasan, lantas layu kerana tidak berakar. 7Ada pula yang jatuh di semak duri, lalu tewas ditindas tumbuhan duri. 8Namun, ada yang jatuh di tanah yang subur dan memberikan hasil: seratus kali ganda, enam puluh kali ganda, atau tiga puluh kali ganda. 9Sesiapa yang ada telinga, dengarlah!’

10Para pengikut Isa datang bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa Junjungan bercakap kepada mereka melalui ibarat?’

11Isa menjawab, ‘Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan syurga, tetapi mereka tidak. 12Sesiapa yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, sehingga melimpah-limpah. Sebaliknya, sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil. 13Aku bercakap kepada mereka melalui ibarat:

‘ “Kerana mereka melihat tetapi tidak nampak,

mereka mendengar tetapi tidak mengerti.”

14‘Keadaan mereka ini tepat seperti terdapat dalam nubuat Nabi Yasyaya:

‘ “Kamu terus mendengar tetapi tidak mengerti;

kamu akan terus melihat tetapi tidak mengetahui.

15Kerana hati umat ini telah buntu,

mereka pekakkan telinga,

dan pejamkan mata.

Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat

dengan mata,

mendengar dengan telinga,

dan mengerti dengan hati,

lalu berpaling kepada-Ku

dan Aku menyembuhkan mereka.”

16‘Tetapi berbahagialah matamu kerana melihat, dan telingamu kerana mendengar. 17Sesungguhnya, Kukatakan kepadamu, ramai nabi dan orang yang benar berhasrat melihat apa yang kamu lihat dan mendengar apa yang kamu dengar, tetapi hasrat mereka tidak tercapai.

18‘Oleh itu dengarlah maksud ibarat penyemai benih: 19Apabila seseorang mendengar perkhabaran kerajaan Allah dan tidak memahaminya, akan datanglah si durjana menyambar apa yang telah ditabur dalam hatinya. Orang inilah yang menerima benih di tepi jalan. 20Orang yang menerima benih di tempat-tempat berbatu pula bermaksud orang yang mendengar perkhabaran itu dan terus menerimanya dengan sukacita. 21Tetapi perkhabaran itu tidak berakar dalam dirinya, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik dia menghadapi kesusahan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, imannya pun luntur. 22Orang yang menerima benih di semak duri ialah orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal duniawi dan godaan harta kekayaan mengasyikkannya lalu dia tidak dapat menghasilkan apa-apa. 23Tetapi orang yang menerima benih di tanah subur ialah orang yang mendengar perkhabaran itu dan memahaminya lalu menghasilkan seratus kali, enam puluh kali atau tiga puluh kali ganda.’

Ibarat tentang lalang di antara gandum

24Isa menceritakan satu ibarat lagi: ‘Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya. 25Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu. 26Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga.

27‘Hamba peladang berkata, “Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?”

28‘Jawab peladang itu, “Ini perbuatan musuh.”

‘Hamba itu bertanya, “Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?”

29‘ “Tidak,” jawab peladang itu, “takut tercabut gandum juga. 30Biarkanlah lalang tumbuh di antara gandum hingga sampai musim menuai. Ketika itu aku akan menyuruh orang yang menuai nanti mencabut lalang dahulu, mengikat dan membakarnya. Selepas itu barulah gandum dituai dan disimpan di dalam jelapang.” ’

Ibarat tentang biji sesawi dan ragi

31Seterusnya Isa mengisahkan ibarat demikian: ‘Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditanam di ladangnya. 32Biji sesawi itu paling kecil di antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung membuat sarang.’

33Kemudian Isa menceritakan suatu ibarat lagi, ‘Kerajaan syurga seperti ini: Seorang wanita mencampurkan sedikit ragi dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.’

34Demikianlah Isa mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat. 35Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi:

‘Aku akan bertutur kepada mereka

melalui ibarat,

Aku akan menyampaikan

kepada mereka

hal-hal yang dirahsiakan sejak

dunia dicipta.’

Ibarat tentang lalang diterangkan

36Selepas itu Isa meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah. Pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Terangkanlah kepada kami maksud ibarat lalang di antara gandum itu.’

37Isa berkata, ‘Orang yang menabur benih baik itu Putera Insan. 38Ladang itu dunia; benih yang baik itu orang yang menjadi umat Allah manakala lalang ialah orang yang menyebelahi si durjana. 39Musuh yang menanam lalang itu Iblis. Masa menuai ialah hari akhir dan para penuai itu malaikat.

40‘Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar, demikianlah halnya akan terjadi pada hari akhir. 41Putera Insan akan memerintahkan malaikat-Nya mengumpulkan semua di kalangan umat-Nya yang melakukan kejahatan dan yang menyebabkan orang berdosa. 42Mereka akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi. 43Orang yang benar akan bersinar laksana matahari dalam kerajaan Allah, Bapa mereka. Jika kamu mempunyai telinga, dengarlah!’

Ibarat tentang harta tersembunyi dan mutiara

44‘Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu.

45‘Kerajaan syurga juga umpama seorang saudagar yang mencari mutiara yang paling tinggi nilainya. 46Apabila dia menjumpai mutiara yang paling bernilai, dia pun menjual semua yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.

Ibarat tentang pukat

47‘Kerajaan syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat aneka jenis ikan. 48Setelah sarat dan ditarik ke darat, para nelayan memeriksanya, lalu menyimpan yang baik dan membuang yang tidak baik. 49Demikianlah yang akan terjadi pada akhir zaman. Malaikat akan datang mengasingkan orang durjana daripada orang yang benar. 50Orang durjana itu akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi.

51‘Fahamkah kamu hal-hal ini?’ Isa bertanya kepada para pengikut-Nya.

‘Kami faham,’ jawab mereka.

52Isa berkata, ‘Oleh itu setiap guru Taurat yang telah menerima ajaran tentang kerajaan syurga adalah seperti ketua rumah yang mengeluarkan barang baru dan barang lama simpanannya.’

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini
Share:

administrator