Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 11:1-10.
Musa Meramalkan Kematian Anak Lelaki Sulung
1Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan menjatuhkan hanya satu hukuman lagi kepada raja Mesir dan rakyatnya. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi. Malah, dia akan menghalau kamu dari sini. 2Oleh itu, berucaplah kepada segenap umat Israel; suruhlah mereka semua meminta barang perhiasan emas dan perak daripada jiran mereka.” 3TUHAN menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel. Para pegawai dan rakyat Mesir sangat menghormati Musa.
4Kemudian Musa berkata kepada raja, “Inilah yang difirmankan TUHAN, ‘Pada kira-kira tengah malam, Aku akan menjelajahi negeri Mesir. 5Setiap anak lelaki sulung di Mesir akan mati, mulai daripada putera sulung raja yang menjadi waris takhta, hingga kepada anak lelaki sulung abdi perempuan yang mengisar biji-bijian. Anak sulung semua ternakan juga akan mati. 6Tangisan yang kuat akan terdengar di seluruh Mesir; hal itu belum pernah terjadi dan tidak akan berlaku lagi. 7Tetapi di kalangan orang Israel, baik manusia mahupun binatang, tidak akan diganggu. Dengan itu, engkau akan tahu bahawa Aku, TUHAN, membuat perbezaan antara orang Mesir dengan orang Israel.’ ” 8Akhirnya Musa berkata, “Semua pegawai tuanku akan datang dan bersujud di hadapan hamba. Mereka akan memohon supaya hamba membawa seluruh bangsa hamba meninggalkan negeri ini. Selepas itu hamba akan pergi.” Lalu dengan sangat marah, Musa meninggalkan raja.
9TUHAN sudah berfirman kepada Musa, “Raja tidak akan mendengarkan kata-katamu, supaya Aku dapat melakukan lebih banyak mukjizat di negeri Mesir.” 10Musa dan Harun melakukan segala mukjizat itu di hadapan raja, tetapi TUHAN menyebabkan raja itu berdegil, sehingga raja tidak mahu membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya.
Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 12:29-51.
Anak Sulung Dibunuh
29Pada tengah malam itu TUHAN membunuh semua anak lelaki sulung di Mesir, mulai daripada putera raja yang menjadi waris takhta hingga kepada anak lelaki sulung orang tawanan di dalam penjara bawah tanah. Semua anak sulung binatang pun dibunuh. 30Pada malam itu raja dan semua pegawainya, serta semua orang Mesir terjaga. Tangisan yang kuat terdengar di seluruh negeri Mesir, kerana di setiap rumah terdapat kematian anak lelaki. 31Pada malam itu juga, raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah, kamu dan semua orang Israel! Tinggalkan negeri beta! Pergilah beribadat kepada TUHAN kamu, seperti yang kamu minta. 32Bawalah domba, kambing dan lembu kamu dan tinggalkan tempat ini. Mohonlah berkat untuk beta juga.”
33Orang Mesir mendesak orang Israel agar meninggalkan negeri mereka dengan segera. Orang Mesir berkata, “Kami semua akan mati jika kamu tidak meninggalkan tempat ini.” 34Oleh itu orang Israel mengisi mangkuk mereka dengan adunan roti yang tidak beragi, membungkusnya dengan kain, lalu memikul bungkusan itu. 35Orang Israel telah melakukan apa yang disuruh oleh Musa. Mereka telah meminta barang kemas yang dibuat daripada perak dan emas, serta pakaian daripada orang Mesir. 36TUHAN menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel sehingga orang Mesir memberikan segala permintaan orang Israel. Dengan demikian orang Israel merampas kekayaan orang Mesir.
Orang Israel Meninggalkan Negeri Mesir
37Orang Israel berangkat dengan berjalan kaki dari kota Raamses ke kota Sukot. Mereka berjumlah 600,000 orang lelaki, tidak termasuk perempuan dan anak-anak. 38Mereka membawa banyak lembu, domba, dan kambing. Sejumlah besar orang asing juga mengikut mereka. 39Mereka membakar roti yang tidak beragi daripada adunan yang dibawa dari Mesir. Mereka diusir dari situ dengan mendadak, sehingga tidak sempat menyiapkan bekal atau menyediakan roti yang beragi.
40Umat Israel tinggal di Mesir selama 430 tahun. 41Apabila genap tahun yang ke-430, semua suku daripada umat TUHAN meninggalkan negeri Mesir. 42Pada malam itu TUHAN terus-menerus berjaga untuk membawa mereka keluar dari negeri Mesir. Malam itu ditahbiskan bagi TUHAN untuk selama-lamanya sebagai malam ketika orang Israel pun harus berjaga.
Peraturan tentang Perayaan Paska
43TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Inilah peraturan Perayaan Paska: Orang asing tidak boleh makan makanan Paska. 44Tetapi hamba yang kamu beli boleh makan makanan itu, jika dia sudah disunat. 45Penduduk sementara ataupun pekerja yang diupah tidak boleh makan makanan Paska. 46Seluruh makanan Paska itu mesti dimakan di dalam rumah, di tempat makanan itu disediakan. Makanan itu tidak boleh dibawa keluar. Jangan patahkan satu pun tulang binatang itu. 47Segenap umat Israel mesti merayakan perayaan ini. 48Orang yang tidak disunat tidak boleh makan makanan itu. Jika seorang asing tinggal bersama dengan kamu dan ingin merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, terlebih dahulu kamu mesti menyunatkan semua orang lelaki dalam keluarga orang itu. Kemudian dia akan dianggap sebagai orang Israel asli dan boleh ikut dalam perayaan itu. 49Peraturan yang sama berlaku juga kepada orang Israel dan orang asing yang tinggal bersama dengan kamu.” 50Semua orang Israel mematuhi peraturan itu dan melakukan segala yang telah diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun. 51Pada hari itu TUHAN membawa semua suku Israel keluar dari Mesir.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |