Petikan dari Kitab Taurat: Kejadian 2:5-3:24.
2:5Pada masa TUHAN Allah menciptakan alam semesta, belum ada benih yang bercambah dan belum ada tumbuh-tumbuhan di atas bumi, kerana Allah belum menurunkan hujan dan belum ada orang yang mengusahakan tanah, 6tetapi air keluar dari bawah permukaan bumi dan mengairi tanah.
7Kemudian TUHAN Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk manusia, lalu menghembuskan nafas yang memberi hidup ke dalam lubang hidungnya; maka hiduplah manusia itu.
8Selanjutnya TUHAN Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur, lalu menempatkan manusia yang sudah dibentuk-Nya itu di situ. 9Di taman itu TUHAN Allah menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang menghasilkan buah-buahan baik. Di tengah-tengah taman itu tumbuh juga pokok yang memberi hidup, dan pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat.
10Sebatang sungai mengalir dari Eden dan mengairi taman itu; di luar Eden sungai itu terbahagi menjadi empat batang sungai. 11Sungai yang pertama bernama Pison, yang mengalir mengelilingi tanah Hawila. 12Di situ terdapat emas tulen, dan juga wangi-wangian yang sukar didapati, serta batu-batu permata. 13Sungai yang kedua bernama Gihon, yang mengalir mengelilingi tanah Kus. 14Sungai yang ketiga bernama Tigris, yang mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat bernama Efrat.
15Kemudian TUHAN Allah menempatkan manusia itu di Taman Eden untuk mengusahakan serta memelihara taman itu. 16Allah berfirman kepada manusia itu, “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, 17kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak bolehmakan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati pada hari itu juga.”
18Kemudian TUHAN Allah berfirman,”Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.” 19Oleh itu Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk semua jenis binatang dan burung. Kemudian Allah membawa semuanya kepada manusia itu untuk mengetahui nama yang akan diberikannya kepada binatang dan burung. Demikianlah caranya tiap-tiap binatang dan burung mendapat nama. 20Manusia itu memberikan nama kepada semua binatang dan burung, tetapi tiada satu pun antaranya dapat menjadi teman yang sesuai untuk menolong dia.
21Kemudian TUHAN Allah menyebabkan manusia itu tidur dengan nyenyak. Sementara dia terlena, TUHAN mengeluarkan satu daripada tulang rusuk manusia itu, lalu menutupnya semula dengan daging. 22Daripada tulang rusuk itu, Allah membentuk seorang perempuan, lalu membawanya kepada lelaki itu. 23Kemudian lelaki itu berkata,
“Inilah dia, orang yang sama dengan aku — tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku. Aku namakan dia perempuan, kerana dia diambil daripada lelaki.”
24Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu. 25Lelaki dan perempuan itu bertelanjang, tetapi mereka tidak berasa malu.
3:1Ular ialah binatang yang paling licik antara semua binatang yang dijadikan oleh TUHAN Allah. Ular itu bertanya kepada perempuan itu, “Benarkah Allah melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?”
2“Kami boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini,” jawab perempuan itu, 3“kecuali buah pokok yang ada di tengah-tengah taman. Allah melarang kami makan buah pokok itu ataupun menyentuhnya; jika kami berbuat demikian, kami akan mati.”
4Ular itu menjawab, “Itu tidak benar; kamu tidak akan mati. 5Allah berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Allah dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.”
6Perempuan itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa baiknya jika dia menjadi bijaksana. Oleh itu dia memetik buah pokok itu dan memakannya. Dia juga memberikan buah pokok itu kepada suaminya, dan suaminya pun makan buah itu. 7Sebaik sahaja mereka makan buah itu, fikiran mereka terbuka dan mereka sedar bahawa mereka bertelanjang. Oleh itu mereka merangkaikan daun ara, lalu menutupi tubuh mereka dengan rangkaian daun itu.
8Pada petang itu, mereka mendengar TUHAN Allah berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya. 9Tetapi TUHAN Allah memanggil lelakiitu, “Di manakah engkau?”
10Lelaki itu menjawab, “Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang.”
11“Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?” tanya Allah. “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.”
12Lelaki itu menjawab, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.”
13TUHAN Allah bertanya kepada perempuan itu, “Mengapa engkau melakukan hal itu?”
Perempuan itu menjawab, “Ular menipu aku sehingga aku makan buah itu.”
14Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada ular itu, “Terkutuklah engkau kerana perbuatan itu; antara semua binatang, hanya engkau yang harus menanggung kutukan ini. Mulai sekarang engkau akan menjalar dan makan debu seumur hidupmu. 15Engkau dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan. Keturunannya akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumit mereka.”
16TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Aku akan menambah kesusahanmu semasa engkau hamil, dan juga kesakitanmu pada masa engkau bersalin. Walaupun demikian, engkau akan tetap berahi kepada suamimu, namun engkau akan tunduk kepadanya.”
17Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada lelaki itu, “Engkau mendengarkan kata-kata isterimu, lalu makan buah yang Aku larang engkau makan. Oleh sebab perbuatanmu itu, terkutuklah tanah. Engkau mesti bekerja keras seumur hidupmu agar tanah ini dapat menghasilkan makanan yang cukup. 18Tanah akan menghasilkan semak dan duri; tumbuh-tumbuhan liar akan menjadi makananmu. 19Engkau akan bekerja keras dan berpeluh-peluh untuk membuat tanah ini menghasilkan sesuatu, sampai engkau kembali ke tanah kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.”
20Adam menamakan isterinya Hawa, kerana perempuan itu menjadi ibu segenap umat manusia. 21Kemudian TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya, lalu mengenakan pakaian itu pada mereka.
22TUHAN Allah berfirman, “Sekarang manusia telah menjadi seperti Kita dan mempunyai pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat. Oleh sebab itu manusia mesti dilarang makan buah daripada pokok yang memberi hidup, supaya manusia tidak hidup selama-lamanya.” 23Maka TUHAN Allah mengusirmanusia itu keluar dari Taman Eden dan menyuruhnya mengusahakan tanah, yang daripadanya manusia dibentuk.
24Kemudian di sebelah timur taman itu, TUHAN Allah menempatkan kerub, dan sebilah pedang berapi yang berpusing ke segala arah, untuk mengawal jalan ke pokok yang memberi hidup. Dengan demikian seorang pun tidak dapat masuk dan menghampiri pokok itu.
Cerita ini yang pertama | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |