Contact Information

Theodore Lowe, Ap #867-859
Sit Rd, Azusa New York

We Are Available 24/ 7. Call Now.

Petikan dari Kitab Injil: Yahya 4:4-42.

4Dalam perjalanan-Nya itu, Isa semestinya melalui Samaria. 5Di Samaria, Isa sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf. 6Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Isa duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam yang keenam.

7Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Isa berkata kepadanya, ‘Berilah Aku minum.’ 8Pengikut-pengikut Isa telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.

9Perempuan Samaria itu menjawab, ‘Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?’ (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.)

10Isa menjawab, ‘Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, “Berilah Aku minum,” tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup.’

11Perempuan itu berkata, ‘Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu? 12Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini.’

13Isa berkata, ‘Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula; 14tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air di dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.’

15Perempuan itu berkata, ‘Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.’

16Isa menjawab, ‘Pergilah dulu, bawa suamimu ke mari.’

17Perempuan itu berkata, ‘Aku tidak ada suami.’

Isa pun berkata, ‘Memang benar engkau tidak ada suami sekarang. 18Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.’

19Perempuan itu berkata, ‘Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi. 20Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Baitulmaqdis.’

21Isa berkata, ‘Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Baitulmaqdis. 22Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. 23Akan sampai saatnya, malah sudahpun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian. 24Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.’

25Perempuan itu berkata, ‘Aku tahu Mesias yang disebut al-Masih akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.’

26Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.’

27Pada ketika itu para pengikut Isa pulang ke situ. Mereka hairan melihat Isa bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, ‘Apa hajatmu?’ atau kepada Isa, ‘Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?’

28Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku. 29Perempuan itu berkata, ‘Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu al-Masih?’ 30Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Isa.

31Sementara itu, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Tuan Guru, silalah makan.’

32Isa menjawab, ‘Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.’

33Lalu para pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, ‘Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?’

34Isa berkata, ‘Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya. 35Bukankah kamu berkata, “Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?” Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai. 36Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama. 37Dalam hal ini benarlah pepatah, “Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.” 38Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.’

39Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Isa setelah mendengar perempuan itu berkata, ‘Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.’ 40Oleh yang demikian, ketika mereka datang menemui Isa, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Isa pun tinggal di situ selama dua hari. 41Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Isa kerana kata-kata-Nya.

42Mereka berkata kepada perempuan itu, ‘Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah al-Masih, Penyelamat umat manusia di dunia.’

Cerita yang sebelum ini Senarai Cerita Nabi Cerita yang selepas ini
Share:

administrator