Petikan dari Kitab Injil: Kisah Para Rasul 1:3-11.
3Dia telah menampakkan diri-Nya dalam keadaan hidup kepada mereka selepas kesengsaraan-Nya dengan banyak keterangan sahih. Mereka melihat-Nya selama empat puluh hari dan dalam berbagai-bagai cara dan Dia bercakap tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan Allah. 4Pada suatu hari ketika Isa bersama mereka, Dia berpesan supaya mereka jangan meninggalkan Baitulmaqdis. Kata-Nya, ‘Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku; 5kerana Yahya telah mengimadkan orang dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Suci tidak berapa lama lagi.’
6Oleh itu, ketika mereka berhimpun, mereka pun bertanya kepada Isa, ‘Ya Junjungan, pada masa inikah Junjungan mengembalikan kerajaan ini kepada bangsa Israel?’
7Dia berkata kepada mereka, ‘Tidaklah diberi bagi kamu mengetahui waktu atau saat yang sudah ditetapkan oleh Bapa dalam kekuasaan-Nya sendiri. 8Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Suci datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Baitulmaqdis, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi.’
9Setelah Dia berkata demikian, di hadapan mata mereka Dia diangkat lalu disambut awan dan lenyap daripada pandangan mereka.
10Sedang mereka merenung ke langit ketika Dia diangkat, tiba-tiba dua orang yang berpakaian putih berdiri dekat mereka. 11Orang itu berkata, ‘Wahai orang Galilea, mengapa kamu berdiri memandang ke langit? Sebagaimana Isa telah diangkat ke syurga dari kalanganmu, begitu jugalah Dia datang kelak.’
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |