Petikan dari Kitab Zabur Surah 139.
Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud.
1Ya Tuhan, Engkau telah menelitiku
dan mengenalku.
2Engkau mengenal dudukku dan berdiriku;
Engkau memahami fikiranku dari jauh.
3Engkau meneliti jalanku dan baringku;
serta mengerti semua caraku.
4Sebelum ada sepatah kata di lidahku, Ya Tuhan,
Engkau telah mengetahui seluruhnya.
5Engkau telah merangkulku — di belakang dan di hadapan;
dan meletakkan tangan-Mu ke atasku.
6Pengetahuan demikian terlalu menakjubkan bagiku,
tingginya tidak tercapai olehku.
7Ke mana dapat aku pergi daripada Roh-Mu?
Atau ke mana dapat aku lari dari hadirat-Mu?
8Jika aku naik ke syurga, Engkau di sana;
jika aku membuat tempat tidurku di neraka, lihatlah, Engkau di sana.
9Jika kuambil sayap pagi,
dan tinggal di bahagian laut yang paling dalam,
10di sana pun tangan-Mu akan memimpinku,
tangan kanan-Mu akan memegangku.
11Jika aku berkata,
‘Tentulah kegelapan akan menyelubungiku dan cahaya sekelilingku akan menjadi malam,’
12sesungguhnya kegelapan tidak gelap bagi-Mu;
dan malam terang-benderang seperti siang, kegelapan dan cahaya serupa bagi-Mu.
13Kerana Engkau telah membentuk bahagian-bahagian dalamku;
Engkau melindungiku di dalam rahim ibuku.
14Aku akan memuji-Mu, kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan;
sungguh menakjubkan ciptaan-Mu, dan ini amat diketahui oleh jiwaku.
15Bentukku tidak tersembunyi daripada-Mu
ketika aku dicipta dalam rahsia
dan diukir dengan mahir di bahagian bumi yang paling bawah.
16Mata-Mu telah melihat zatku yang masih belum dibentuk. Dan di dalam kitab-Mu segalanya tersurat
hari-hari yang ditentukan untukku.
17Betapa bernilai fikiran-Mu juga bagiku, Ya Allah!
Betapa besar jumlahnya!
18Jika kuhitung,
jumlahnya lebih banyak daripada pasir.
Apabila aku terjaga,
aku masih bersama-Mu.
19Semoga Engkau musnahkan orang zalim, Ya Allah!
Maka pergilah daripadaku, hai orang yang suka menumpahkan darah!
20Kerana mereka bercakap menentang-Mu dengan durjana;
musuh-Mu menyebut nama-Mu sewenang-wenang.
21Tidakkah aku membenci mereka yang membenci-Mu, Ya Tuhan,
dan membenci mereka yang bangkit menentang-Mu?
22Aku membenci mereka dengan sepenuh kebencian;
aku menganggap mereka musuhku.
23Telitilah aku, Ya Allah, dan kenallah hatiku;
dugalah aku dan ketahuilah kebimbanganku.
24Lihatlah jika ada kecenderungan durjana di dalamku,
dan pimpinlah aku ke jalan yang kekal selama-lamanya.
Cerita yang sebelum ini | Senarai Cerita Nabi | Cerita yang selepas ini |